Berita

PR bangkit isu salah guna kuasa badan kehakiman di Parlimen minggu depan

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Pakatan Rakyat (PR) akan membangkitkan isu salah guna kuasa badan kehakiman di Parlimen minggu depan kerana ia semakin berleluasa.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR bimbang kerana badan kehakiman kini lebih cenderung menjadi alat politik pemerintah, tidak lagi berteraskan prinsip dan kedaulatan undang-undang.

“PR memandang serius isu salah laku kehakiman dan kami mahu Parlimen menjadi lebih tegas.

“Di manakah pengasingan kuasa? Apabila badan kehakiman kini dilihat hanya bertujuan memerangi pemimpin pembangkang dan menjadi ‘kaki tangan’ kepada UMNO.

“Parlimen merupakan tempat paling sesuai untuk kami membahaskan isu ini, jika tidak di mana lagi? Dan ia perlu disegerakan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Awal pagi semalam, Anwar yang juga Ketua Umum PKR gagal dalam usaha memadamkan kenyataan fitnah dalam keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendakwa beliau mempunyai kecenderungan homoseksual.

Lima anggota panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusi Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebulat suara menolak permohonan semakan Anwar agar kenyataan itu dibuang daripada penghakiman sembilan tahun lalu oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Mengulas mengenai perkara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh menegaskan bahawa Abdul Hamid kini adalah penasihat kepada kumpulan ektremis Melayu, Perkasa, yang berkait rapat dengan UMNO, ia sekaligus membuktikan bagaimana badan kehakiman itu disalahgunakan.

“Dengan keputusan yang dibuat mahkamah terhadap saya dan Karpal Singh, pemimpin PR lain juga dijangka akan mengalami nasib yang sama tidak lama lagi.

“Ini satu trend yang tidak sihat, mahkamah semakin hari semakin menjadi alat pemerintah,” kesalnya.

Pada 11 Mac lalu, Karpal didenda RM4,000 selepas didapati bersalah mengikut Akta Hasutan 1948 kerana kenyataannya berhubung rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada 2009.

Anwar pula dihukum penjara lima tahun kerana didapati bersalah dalam kes fitnah liwat dua oleh Mahkamah Rayuan.

Berikutan hukuman itu, kedua-dua pimpinan tertinggi PR ini mungkin hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. -Roketkini.com