Berita

Wee Ka Siong usah berbohong, salahkan kerajaan Selangor mengenai projek SRJK (C) Kajang Utama/Kajang 2

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Wee Ka Siong digesa menghentikan fitnah jahatnya terhadap Kerajaan Selangor berhubung isu pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Kajang Utama/Kajang 2.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, tindakan Ka Siong menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor adalah tidak berasas dan dianggap satu pembohongan.

Menurutnya, ia terbukti berdasarkan dokumen yang diberikan Pejabat Tanah Hulu Langat bahawa permohonan hak milik tanah itu diterima pada Mei 2012.

“Selangor melalui ‘Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’ pula meluluskannya pada 13 Mac 2013. Manakala notis untuk membayar premium tanah (Notis 5A) sudah dikeluarkan pada 1 April tahun sama yang berjumlah RM1,369 sudah dibayar Kerajaan Persekutuan.

“Apabila premium sudah dibayar, Kerajaan Persekutuan secara tidak langsung adalah pemilik tanah dan boleh mengemukakan permohonan untuk Perintah Pembangunan (Kebenaran Merancang/KM) kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

“Namun, sehingga kini, Kementerian Pendidikan tidak mengemukakan sebarang permohonan Perintah Pembangunan untuk dua sekolah berkenaan. Tanpa permohonan, kerja pembinaan sekolah tidak boleh dimulakan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pada 20 Mac lalu, Ka Siong mendakwa projek membina sekolah itu tidak dapat dimulakan kerana Kerajaan Persekutuan masih belum mendapat hak milik tanah walaupun sudah memohonnya sejak April 2012.

Beliau yang juga Strategis Pilihanraya DAP menegaskan, dakwaan Ka Siong itu terbukti tidak benar kerana mereka sendiri sebenarnya mengabaikan tanggungjawab dengan tidak mengemukakan permohonan mendapatkan perintah pembangunan.

“Daripada memfitnah MPKj dan Kerajaan Negeri Selangor, Ka Siong sepatutnya bertanya kepada Menteri Pendidikan mengapa beliau tidak memberi arahan untuk sekolah yang dijanjikan sejak 2012 ini?

“Saya bersama rakan DAP sudah melawat tapak sekolah berkenaan pada 21 Mac lalu. Tapi malangnya tidak ada satu batu-bata pun kelihatan di kawasan itu.

“Kerajaan perlu menunaikan janjinya untuk membina sekolah ini dan tidak menggunakan hasil PRK Kajang untuk ‘menghukum’ pengundi dengan tidak membina atau melengahkan pembinaan SRJK (C) Kajang Utama serta Kajang 2,” gesa Kian Ming. -Roketkini.com