Berita

‘Kalaulah Sarawak seperti Selangor…’

SHAH ALAM, 28 MAC: “Kalaulah Sarawak seperti Selangor…,” kata Jaytson Lenjau Lian, yang membandingkan perbezaan ketara pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan negerinya yang lebih 50 tahun dikuasai Barisan Nasional (BN).

Butir bicaranya jelas menggambarkan rasa marah dan kecewa, mengenangkan negerinya yang kaya dengan sumber asli, namun hanya dinikmati sekelompok kecil penguasa BN.

Jaytson adalah seorang daripada peserta lawatan sambil belajar empat hari tiga malam Pemimpin Tempatan Bintulu Belaga ke Selangor anjuran bersama NGO Borneo Care dan DAP Sarawak, bagi melihat kaedah pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.

Katanya, pengertian sebenar Persekutuan Malaysia ketika ia mula ditubuhkan dulu adalah untuk semua negeri berkongsi kekayaan dan bersama-sama maju sebagai sebuah negara merdeka.

“Memanglah saya terpegun melihat Selangor. Kalaulah dapat Sarawak juga macam ini, hidup (sejahteralah) kita dalam Persekutuan Malaysia ini,” katanya selepas sesi lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, semalam.

Sambungnya lagi, pentadbiran Selangor jauh lebih telus dan bersungguh-sungguh berkhidmat kepada rakyat, berbanding BN yang sehingga kini masih gagal memberi kemudahan asas kepada penduduk di Bumi Kenyalang.

“Tambahan pula, YB-YB kita di sini, kita boleh berjabat tangan, berbincang dengan dia. Di Sarawak, nak tengok pun tak dapat. Polis kata ‘jangan dekat, ini YB!’,” katanya lagi.

Program semalam dimulakan dengan lawatan ke Parlimen. Di sana, mereka diberi taklimat berhubung prosedur penggubalan undang-undang dan dasar oleh Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Selepas itu, mereka ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dan disambut Speaker, Hannah Yeoh sebelum melawat Dewan Undangan Negeri Selangor.

Program diteruskan dengan sesi dialog bersama Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirao berhubung Perubahan dan Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor dan lawatan ke Pusat Wanita Berdaya di Batu Tiga.

Hari ini, mereka akan menyertai dialog bersama Jaringan Orang Asli Malaysia dan Gereja Iban di Serdang.-Roketkini.com