Berita

MH370: DAP gesa tubuh JK Parlimen segera, tidak perlu tunggu kotak hitam

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Jawantankuasa Pilihan Parlimen mengenai tragedi MH370 mesti ditubuhkan segera, tidak kira sama ada kotak hitam pesawat itu ditemui atau sebaliknya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya semalam menggesa Kabinet yang akan bermesyuarat hari ini juga mencadangkan supaya jawatankuasa itu diketuai pembangkang.

Menurut beliau, hilangnya keyakinan pihak di dalam dan di luar negara terhadap pentadbiran kerajaan Malaysia berikutan pengendalian tragedi kehilangan pesawat MH370 perlu dipulihkan segera.

“Langkah pembentukan jawatankuasa berkenaan akan memberi mesej jelas bahawa Malaysia dan Kerajaan Malaysia tidak cuba menyembunyikan sesuatu dan bersungguh-sungguh hendak memberi pendedahan lengkap dan telus mengenai bencana MH370,” ujarnya

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kerja awal perlu dijalankan dengan segera untuk melancarkan siasatan ke atas tragedi MH370.

Menurut beliau, memandangkan Malaysia adalah peneraju operasi SAR yang membabitkan pelbagai negara, maka Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diketuai pembangkang juga perlu membentuk gugusan siasatan Parlimen berbilang negara mengenai bencana MH370 yang menyatukan sumber dan kepakaran 26 negara.

Kit Siang menyeru menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini menolak cadangan untuk menjalankan siasatan hanya setelah kotak hitam ditemui.

Bagi beliau tindakan sedemikian akan menunjukkan bahawa kerajaan hendak menghindari siasatan penuh selain dilihat oleh dunia sebagai satu percubaan untuk meneruskan dasar tidak bertanggungjawab dan telus.

“Apa akan berlaku jika “kotak hitam” gagal ditemui sampai bila-bila, sepertimana yang pernah berlaku dalam kemalangan udara sebelum ini?

“Apakah ini bermakna bahawa tiada siasatan akan dibuat bagi menyelidiki punca bencana besar bagi negara dan dunia ini? Ini akan menyebabkan dunia lebih mentertawakan Malaysia,” ujarnya lagi.

Kit Siang turut mempertikai kenapa tidak ada sebarang tindakan susulan oleh pihak berkuasa udara awam dan tentera antara jam 1.21 dan 2.40 pagi itu ketika dilaporkan radar tentera di Butterworth mengesan MH370 selepas jam 2.40 pagi.

“Persoalan ini perlu dijawab dan ia tidak bergantung kepada kotak hitam,” katanya.

Tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal, masuk hari ke 20. Bagaimanapun masih banyak persoalan yang belum terjawab. Operasi mencari dan menyelamat di darat dan udara membabitkan 26 negara masih berjalan. – Roketkini.com