Sastera

Masokis menuju ruang hampa – Oleh Aliff Fikri

BEBERAPA bulan lalu, ketika melepak di Jalan Walter Granier, seorang kawan meluahkan dengan nada penuh kecewa bahawa masalah terbesar manusia adalah wujudnya perasaan sentimental.

Perbualan itu sedikit sebanyak mengganggu hidup aku yang sehingga kini masih terbelenggu dengan perasaan sentimental tidak bertempat tapi berpura-pura tenang sepanjang masa.

Sesetengah orang mengatakan manusia terlalu mengambil berat dan peduli pada perkara remeh iaitu perasaan. Hal yang kita fikirkan bakal menjadi sumber kebahagiaan, kemudian menjadi wajah lain sebuah penderitaan termasuk apa yang kita sangkakan sebuah kebenaran, tapi realitinya hanyalah kepalsuan dengan gincu merah tebal. Cinta, sama saja dengan ukuran seluar mat rock yang mengecil daripada atas ke bawah, tentunya ada kerumitan lain.

“Kau ni macam LRT Isnin jam 8 pagi. Sesak, sempit dan penuh dengan manusia pelbagai wajah,” kata Si Perempuan, merajuk.

“Kau pula sama macam Tuhan dalam tulisan Leo Tolstoy, tahu tapi memilih untuk menunggu,” balas Si Lelaki.

Hidup ini seringkali tidak serumit membaca atau menerjemahkan karya Chaim Potok ke bahasa Melayu. Si Perempuan diam. Matanya lebih muram daripada malam yang memilih untuk tidak berbicara. Si Lelaki tahu ia berpunca daripada hidup wanita itu yang dipenuhi harapan. Sakit yang paling dahsyat dan mengerikan bukanlah luka atau kecederaan tubuh badan tapi luka daripada penantian.

“Aku nak dengar cerita dongeng purbakala itu. Tak kisah fragmen mana, bacakan saja, Babad Pendekar Jawa, mungkin?” pinta Si Perempuan.

Perempuan itu hanya bekerja di pejabat biasa di ibu kota. Maaf kalau ada antara anda yang tidak menggemari frasa bekerja di pejabat biasa atau ‘budak pejabat’ kerana saya juga seperti anda masih keliru apakah ada ‘pekerja pejabat luar biasa’ atau ‘pekerja pejabat bukan biasa’.

Pada saya, di kota yang memelihara mayat hidup ini semua pekerja pejabat adalah sama. Mereka semua adalah zombie yang bangun pagi, bersesak-sesak menaiki pengangkutan awam, memaki-hamun kesesakan lalu lintas, terlambat ke tempat kerja dan esoknya ulang perkara sama. Di kota ini, fungsi harapan hanya untuk dipijak sehingga lumat tanpa sekelumit sisa.

“Aku rasa malas pergi kerja hari ni. Aku cuma mahu baring sepanjang hari, dengar kau bercakap mengenai watak manusia di Kuala Lumpur.”

“Sejak bila kau jadi melankolik ni?”

“Sejak kenal kau. Sejak dengar kau kata, kau sayang aku dan tidak peduli aku sayang kau atau tidak.”

Lelaki itu diam, masih ligat menekan papan kunci komputer riba, membaca laporan bil elektrik kediaman rasmi Najib Razak yang mencecah RM2.2 juta dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Dia bukan aktivis, hanya seorang warganegara yang kononnya peduli isu semasa.

“Wei, kau dengar tak aku cakap apa tadi?” kata Si Perempuan, suara yang semakin tinggi.

Si Lelaki masih tidak beri sebarang reaksi. Dia hanya perlukan wanita untuk lepaskan kebosanan dan memicit kepalanya ketika pening, pada dia banyak lagi krisis dunia yang maha penting. Lelaki itu kini sedang bercita-cita untuk ke Crimea dan melihat dengan mata kepala sendiri perebutan wilayah itu antara Pro Eropah di Kiev dan Kremlin yang diterajui Presiden Russia, Vladimir Putin.

“Aku dengar,” kata Si Lelaki, “Kau cakap pasal apa tadi?”.

Bagi Si Lelaki, dia tidak ada masa dan ruang walau sedikit pun untuk hal sentimental. Dia hanya tahu akibat dan rumus fizik tapi tidak dapat mencerna puisi.

“Kau ni sibuk sangat dengan masalah dunia.”

“Aku ‘ulat’ Google. Aku perlu tahu, ambil tahu dan ceritakan pada orang lain supaya mereka percaya,” jawab si lelaki. Ya, dengan adanya internet, manusia mampu mengetahui banyak perkara.

“Tapi faham mengenai sesuatu dan tahu mengenai sesuatu itu berbeza. Pemahaman hanya diperoleh selepas proses renungan sedangkan pengetahuan pula diperoleh melalui pembacaan atau pengalaman. Kau tahu ke?”

“Tahu apa?”

Si Perempuan masih di situ. Tempat dia baring tadi. Walaupun wajahnya muram akibat kurang tidur, dia tetap menarik dan cantik.

“Hei, nak cakap biar habislah, jangan separuh-separuh atau setengah-setengah. Tahu apa?”

“Ilmu pertukangan. Setiap tukang hebat lahir sebagai kuli. Mereka hanya pandai meniru, buat salah, belajar, buat salah, belajar dan buat salah lagi. Rodanya berputar berulang-ulang sampai mahir dan kemudian bertukar menjadi apa yang disebut dalam bahasa Sepanyol sebagai Habil,” bebel Si Lelaki tanpa menoleh.

Suasana bilik tiba-tiba jadi hening dan sepi, kedengaran hanya ketukan ‘keyboard’ dan dengung ‘motherboard’ komputer riba yang seharian bekerja tanpa henti. Anggaplah saja mereka berdua kini sedang sibuk melayani fikiran masing-masing. Mungkin sedang memikirkan perasaan seekor itik yang ditinggalkan dalam sebuah kotak di hadapan pejabat MalaysiaKini, harga barangan keperluan yang makin mahal, bait lirik lagu Radiohead bertajuk ‘How To Disappear Completely’, ke mana perginya mak cik goreng pisang depan ofis atau kenangan masa lalu yang membosankan.

“Aku tak dapat teruskan,” kata Si Perempuan selepas seketika.

“Aku tidak pernah minta untuk tinggal dan sentiasa bersama kau,” jawab Si Lelaki, kali ini, dia pusingkan badannya sambil tersenyum.

“Lagi pula kita tak pernah ada apa-apa. Kita bukan siapa-siapa dan seharusnya tidak perlukan apa-apa,” katanya sambil terus menggenggam tangan wanita itu. Memang klise, tapi itulah yang terjadi.

Lelaki itu sudah begitu lama menantikan saat ini. Tapi ia bukan kerana benci, cintanya terhadap wanita itu lebih tulus daripada dirinya sendiri, lebih daripada darah dagingnya.

“Ada beberapa perkara memang patut tidak dimulakan atau segera diakhiri sebelum ia berkembang terlalu jauh,” kata Si Lelaki..

“Apa maksud kau? Kau dah tak nak kat aku?” balas Si Perempuan.

“Jadi sekarang kita harus berpisah tanpa ada sedikit pun perjuangan untuk mempertahankannya,” katanya cepat dan lancar.

“Eh, bukankah kita sememangnya tidak pernah memulakan apa-apa? Hanya sekadar teman ‘jalan-jalan’ di kota biadab ini. Tidak pernah lebih dan mungkin kurang daripada itu,” lelaki menjawab sambil mula melepaskan genggaman tangan.

Kini wanita itu gugup, ‘Shoshone Falls’ di selatan Idaho mula runtuh. Dalam fikirannya berkata kenapa harus perempuan yang menangis dalam perpisahan? Mengapa bukan lelaki? Aku bukan korban, kami setara. Aku tidak ingin dan tidak mahu menangis. Si Perempuan melukiskan ceritanya sendiri.

“Tak mengapalah kalau begitu,” kata Si Perempuan, dan mula mengemas barangnya. Sebuah buku bertajuk Hari dan Hara tulisan datuk Dian Sastrowardoyo iaitu Subagio Sastrowardoyo, pemain MP3 dan selendang yang dibeli di Jalan TAR, empat hari sebelum Aidilfitri tahun lalu.

Senja tiba. Senja membuatkan mata lelaki itu kurang menyedari bahawa perempuan kesayangannya kini hangus dibakar rasa malu dan kemarahan. Si Perempuan keluar daripada bilik, terus menuju ke luar rumah.

Si Lelaki masih tidak beranjak daripada tempatnya. Dia tidak berniat langsung untuk mengejar atau memperbaiki apa yang mungkin mampu diselamatkan. Lalu berkata:

“Hoi penulis, kau tak payah masuk campur. Ini urusan kami, watak dalam tulisanmu. Orang yang tidak merasai peritnya cinta jangan nak memandai terjun ke dalamnya,” katanya pada aku yang sedang menaip.

Di luar rumah, Si Perempuan bersedih. Dia duduk dalam kereta yang dipinjam daripada kakaknya. Dia menunggu Si Lelaki keluar memujuk, supaya mereka dapat bertepuk tampar dan berasmara semula. Bersembang mengenai filem, muzik dan buku. Melakukan ‘premarital sex’ seperti biasa dan menghirup nescafe pahit sambil bercerita tentang filem hebat daripada pengarah yang tidak diketahui umum namanya. Contohnya Jean Luc Godard dan Darren Aronofsky.

“Cepatlah keluar, cepat, cepat,” keluh Si Perempuan dalam hati.

Aku boleh saja membantu kau menuliskan cerita ini menjadi ‘happy ending’ dan indah seperti lelaki itu keluar lalu terus memeluk dan menciummu.

“Kalau boleh mengapa tidak tulis? Jangan seksa aku begini,” tanya wanita pada penulis.

Aku berkuasa terhadap apa yang aku tulis. Tapi kau yakin bahawa itu yang kau mahukan? Mendapatkan lelaki kerana kawalan dan arahan orang lain, bukan sebab dia sendiri menginginkannya?

Aku tahu kau mencintainya sebab aku yang tulis cerita ini. Aku boleh menulis apa saja, contohnya seperti ini: dia datang mengheret kau masuk ke dalam rumah, lalu secara berahi memperkosa dan membunuh kau dengan keji, tiba-tiba hilang saat cuba untuk keluar daripada rumah, dibawa lari musuh politik, dikurung atau diculik makhluk asing.

“Oh Tuhan, jangan. Aku masih perlukan dia.”

Ini pelik. Aku tak suka perempuan lemah dan watak kau, aku tulis sebagai seorang yang tabah dan berdikari. Merdeka pada pilihanmu sendiri. Apakah penyakit lupa aku telah datang? Lupa pada perkara yang aku tulis sendiri?

“Tidak, aku memang perempuan yang bebas dan merdeka daripada apa saja. Malah daripada kehendak kau yang menuliskan cerita ini,” jerit Si Perempuan itu sambil menghalakan jari telunjuk dan tengahnya pada aku.

Jadi kau mahu si lelaki mencintaimu kerana aku menulisnya atau kau mahu rebut apa yang mampu kau peroleh sendiri?

“Akhir cerita ini memang ‘happy ending’ bukan?” dia tanya lagi, dengan nada yang mendesak.

Itu aku tak pasti. Ketika aku mula menulis cerita ini, sebenarnya aku ingin menulis rencana pendek dan bukannya cerpen cinta. Tapi tiba-tiba, kalian, watak yang aku cipta melompat terlalu jauh daripada apa yang aku inginkan dan mengambilalih perananku. Apakah aku perlu mengakhiri tulisan ini sekarang? Ini tentu amat menggelikan. Lagi pun kau berdua hanya watak dalam cerita, kenapa begitu ceramuk nak tentukan nasib sendiri?

“Kerana kami watak dalam cerita ini. Kami yang menjalani liku-likunya, bukan kau. Kau hanya menulis apa yang difikirkan bagus dan boleh menarik orang untuk membacanya. Tapi kami yang bergelumang dengannya. Perpisahan, keretakan, kesedihan, kesakitan,” Si Perempuan menentang aku habis-habisan.

“Buat masa sekarang aku tidak mahu ia ditulis dengan pengakhiran yang menyakitkan. Aku akan memperjuangkan kebahagiaan yang dinikmati selama ini dan kau penulis tidak berhak menentukan kisahku semahumu lagi,” tegas Si Perempuan, secepat mungkin keluar daripada kereta, menuju semula ke rumah dengan wajah kemenangan menyerupai perilaku David Moyes selepas memenangi perlawanan menentang kelab kerdil.

Ya, pembaca sekalian, seperti yang anda boleh agak, tulisan ini pada rangka awalnya akan berakhir dengan kesudahan tragik (klise?), tapi malangnya kedua-dua watak menolak takdirnya ditentukan penulis. Penulis pun dah bosan dan buat keputusan cerita ini habis di sini. -Roketkini.com