Berita

Pemuda DAP mohon Karpal kekal Pengerusi

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Ketua Pemuda DAP (DAPSY), Teo Kok Seong memohon Karpal Singh menimbang semula perletakan jawatannya sebagai Pengerusi DAP.

“Kami menghormati keputusan beliau, namun adalah wajar bagi semua ahli parti terus memberi sokongan dan memohon beliau menimbang semula keputusan.

“Keputusan meletak jawatan ini sesungguhnya satu lagi pengorbanan besar Karpal untuk DAP,” katanya dilaporkan Harakah Daily.

Karpal yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, semalam mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP sementara menunggu keputusan rayuan ke atas kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948.

Karpal semalam menamakan timbalannya, Tan Kok Wai akan memangku jawatan itu sementara menunggu keputusan rayuan selesai.

‘Harimau Jelutong’ itu dijatuhkan hukuman denda RM4,000 oleh mahkamah kerana didapat bersalah dalam isu krisis perlembagaan Perak beberapa tahun lalu.

Mengikut Seksyen 9A(1)(b) Akta Pertubuhan, seseorang yang disabitkan dengan kesalahan dan denda lebih RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun akan hilang kelayakan, tidak boleh atau kekal sebagai pemegang jawatan, penasihat atau kakitangan persatuan berdaftar.

Menerusi hukuman itu, kedudukan Karpal sebagai Pengerusi DAP dikatakan turut terjejas menurut undang-undang pertubuhan dan beliau enggan merayu kepada Pendaftar Pertubuhan untuk diberikan pengecualian.

“Dengan kata lain, Karpal meletakkan jawatan adalah kerana mahu mempertahankan maruah DAP,” ujar Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah. – Roketkini.com