Berita

DAP simpan posisi CEC kerana yakin Karpal akan kembali – Lim Guan Eng

GEORGETOWN, 31 MAC: Tempat untuk Karpal Singh dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan disimpan walaupun beliau meletakkan jawatan pengerusi secara sukarela, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, cadangan menyimpan tempat untuk Karpal itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat CEC 7 April ini.

“Saya rasa semua kami bersependapat bersetuju menyimpan kedudukan CEC untuk Karpal.

“Kami percaya, jika Karpal berjaya dalam rayuannya, beliau akan kembali semula sebagai Pengerusi DAP Kebangsan,” katanya pada sidang media di Pulau Pinang, semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menegaskan, tindakan mahkamah menjatuhkan hukuman kepada Karpal bukan petunjuk bahawa karier panjang politik Karpal akan berakhir.

Jelasnya, hukuman sedemikian bukan kali pertama dikenakan terhadap pemimpin pembangkang kerana beliau sendiri pernah mengalaminya namun tetap kembali berjuang selepas itu.

“Sebelum ini apabila berada di penjara, saya juga tidak boleh memegang sebarang jawatan (dalam parti), kini kejadian sama berulang,” kata Guan Eng merujuk hukuman penjara 12 bulan yang dihadapinya pada 1999.

“Ada sebilangan pihak yang mendakwa karier Karpal sudah berakhir. Tanggapan itu sama sekali salah kerana beliau dipaksa oleh undang-undang dan sebagai peguam hanya mematuhinya.

“Saya berani katakan, Karpal akan kembali,” tegasnya.

Karpal mengetuai DAP selama hampir 10 tahun sejak mengambil alih peranan itu daripada Lim Kit Siang pada September 2004.

Namun, 21 Februari lalu, beliau didapati bersalah mengikut Akta Hasutan dalam krisis perlembagaan Perak 2009.

Bulan lalu, Karpal dengan lantang mengkritik kerajaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana masih menggunakan Akta Hasutan walaupun berjanji memansuhkan undang-undang lapuk berusia 66 tahun itu pada Julai 2012.

Ramai pemimpin pembangkang dan aktivis yang tidak memihak pada kerajaan didakwa mengikut akta kuno itu. -Roketkini.com