Rencana

ANAK MAMI DI PERANTAUAN – Mengaku salah, minta maaf; segera! Ini budaya DAP

DAP memang parti skema. Parti budak baik, rambut sikat tepi, seluar pakai hampir ke dada. Parti pengawas sekolah, ketua darjah dan pengerusi kelab debat. Ini parti yang kalau terpijak kaki orang di gig kumpulan punk, akan segera hulur tangan mohon maaf dan berlalu pergi. Jarang buat salah, jarang kena marah, justeru apabila sahaja ditegur, terus sahaja minta maaf.

Kalau masih ingat, sewaktu berlaku sedikit masalah dalam pengumuman pemilihan parti dua tahun lalu, DAP juga bingkas memohon maaf dan membetulkan keadaan. Ini dilakukan tanpa desakan atau dikantoikan oleh sesiapa. Ini kelaziman yang dibiasakan DAP. Salah, mengaku, minta maaf segera.

Tidak seperti sesetengah pihak yang meski tahu salah, sampai kiamat tiada mahu mengaku. Apatah lagi mahu minta maaf.

Maka hendak dijadikan cerita, Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng dilaporkan sebuah portal berita sebagai berkata (mafhumnya) ‘Senang sahaja, jadikan seorang daripada pemimpin DAP komander angkatan udara atau laut, kita akan temui MH370’.

Sekali baca pun kita sudah boleh agak sama ada benda yang disebut ini dinyatakan secara serius atau bergurau. Dan kemudian langsung kita akan sedikit tengadah lalu ketawa kecil sambil berkata ‘Apa bendalah yang Lip Eng mengarut ni’.

Namun malang bagi beliau, kenyataannya itu dilaporkan sebagai bahan berita dan menerima maklum balas yang cukup negatif daripada ramai pihak. Ya lah, isu masih hangat dan rakyat masih sensitif dengan tragedi yang berlaku. Ini bukan masa yang sesuai untuk berseloroh atau menyebut sesuatu jenaka tanpa niat berjenaka.

Kejadahnya nak dibagi pemimpin DAP yang tengok laut pun belum tentu dada tak gemuruh jadi panglima angkatan laut. Yang takut naik kapal terbang pun barangkali ada. Takkanlah nak dijadikan komander jet pejuang segala bagai.

Lip Eng, seorang peguam dan Ahli Parlimen Segambut; dengan pantas menarik balik kenyataannya itu seraya memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan kata-katanya.

Hmmm.. berapa kali dalam setahun anda melihat seorang Ahli Parlimen mengaku tersalah tutur kata dan memohon maaf? – Roketkini.com