Berita

Kerajaan BN terus berbohong tentang kos pembinaan KLIA 2

KUALA LUMPUR, 1 APR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk ke sekian kalinya menipu rakyat berhubung kos pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) apabila Timbalan Menteri Pengangkutan Dato’ Abdul Aziz Kaprawi akhirnya mengakui bahawa pembinaan lapangan terbang itu akan menelan kos lebih dari RM4 bilion.

Menurut Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua, kerajaan telah berulangkali menegaskan bahawa kos pembinaan KLIA2 tidak akan melebihi RM4 bilion setelah CEO AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes membuat dakwaan pada bulan Julai 2012 bahawa kos pembinaan lapangan terbang berkenaan telah mencecah RM5 bilion.

“Pada bulan Oktober 2012, kita diberitahu di Parlimen oleh Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu, Dato’ Abdul Rahim Bakri, bahawa kos pembinaan telah meningkat kepada RM4 bilion. Pemangku Menteri Pengangkutan sekarang, Dato’ Seri Hishammuddin pada bulan Ogos 2013 menegaskan bahawa kos pembinaan tidak akan melebihi RM4 bilion.

Pada 9 Februari tahun ini, Dato’ Abdul Aziz Kaprawi yang kini mengetuai Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan KLIA2 sekali lagi mengesahkan bahawa kos lapangan terbang itu tidak akan melebihi RM4 bilion walaupun perkara itu diragui oleh beberapa pihak dalam industri terbabit.”

Bagaimanapun, Aziz dalam laporan The Edge kelmarin mengakui bahawa Financial Daily bahawa kos KLIA2 adalah lebih daripada RM4 bilion berikutan perubahan dalam skop kerja dan “perkara lain yang tidak dijangka,” tanpa menyebut secara jelas sebesar mana peningkatan kos.

Aziz dilaporkan telah menerima taklimat dari pegawai MAHB mengenai peningkatan kos KLIA 2 yang menurut beliau akan ditanggung syarikat pengendali lapangan terbang bukannya dana awam, namun bagi Tony Pua Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) adalah syarikat milik kerajaan yang telah diamanahkan dengan wang rakyat.

“MAHB khususnya dengan jelas menunjukkan ketidakcekapan, salah urus dan menyembunyikannya dengan menggunakan penipuan serta pembohongan secara terang-terangan,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan atasan MAHB.

Katanya lagi, Menteri Pengangkutan juga harus dikenakan tindakan kerana gagal memantau MAHB.

“Paling penting, kontrak Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid yang telah dilanjutkan dua kali sejak kos pembinaan KLIA2 melonjak kepada RM4 bilion mesti ditamatkan serta-merta,” ujar Tony.

Menurut beliau lagi, Najib perlu menghukum Bashir untuk memberi peringatan kepada semua GLC lain bahawa atau beliau tidak akan bertolak-ansur dengan ketidakcekapan dan salah-urus yang melibatkan pembohongan terang-terangan.

Bajet awal KLIA2 ketika kali pertama diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pada Julai 2007 adalah sebanyak RM1.7 bilion.

Jumlah berkenaan kemudian meningkat kepada RM2.0 bilion pada Mac 2009, RM2.5 bilion pada Oktober 2010 dan MAHB pada November 2011 memaklumkan bahawa kos KLIA2 meningkat sehingga RM3.9 bilion. – Roketkini.com