Berita

MH370: Apa maksud kenyataan ‘telah berakhir’ Najib

KUALA LUMPUR, 2 APR: Pakatan Rakyat menggesa kerajaan menjelaskan maksud sebenar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan penerbangan MH370 “berakhir di Selatan Lautan Hindi.”

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menganggap kenyataan sedemikian adalah satu kesilapan besar kerana ia lebih mengelirukan rakyat.

“Najib seharusnya berkata terdapat kemungkinan atau tanda-tanda berlakunya sesuatu ke atas pesawat itu.

“Tapi beliau memilih untuk mengeluarkan satu kenyataan yang langsung tidak meyakinkan umum dan mendorong rakyat membuat andaian berterusan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Najib membawa usul khas di Parlimen untuk menyatakan simpati kepada keluarga penumpang MH370 dengan mengandaikannya sebagai telah ‘terhempas’.

Dalam usul itu beliau juga menyatakan bahawa majlis khas akan dibuat oleh kerajaan tidak lama lagi untuk mengenang semua penumpang termasuk anak kapal.

Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut mempertikaikan usul Najib yang tidak rasional itu.

Beliau juga mencabar Najib supaya menyaman semua akhbar termasuk media tempatan yang membuat laporan bahawa pesawat MH370 telah terhempas.

“Kerajaan mendakwa untuk menyaman media antarabangsa termasuk media kita kerana kononnya melaporkan berita palsu.

“Pada saya, apa yang dilaporkan mereka adalah berdasarkan kenyataan Najib (24 Mac lalu) yang mengatakan pesawat itu sudah ‘berakhir’. Mengapa tidak beliau saman saja semua media?” soalnya sinis. – Roketkini.com