Berita

Krisis Air Selangor: Gamuda jadikan rakyat tebusan untuk peras tawaran lumayan

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Pakatan Rakyat menyelar tindakan Gamuda, selaku pemilik Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (SPLASH) yang menjadikan rakyat Selangor sebagai tebusan dengan menolak tawaran untuk mengambil alih SPLASH, semata-mata untuk memeras tawaran lebih lumayan daripada kerajaan negeri.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua mengutuk tindakan Gamuda itu, terutama kerana kearjaan negeri telah mengemukakan tawaran yang munasabah dan malahan lebih tinggi daripada yang diperuntukkan dalam perjanjian konsesi.

“Jelas, mereka menggunakan konsesi bekalan air terawat yang sangat penting untuk penduduk bagi memeras tawaran lebih lumayan daripada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan bersama Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad.

The Edge Financial Daily 28 Mac lalu melaporkan kritikan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad Datuk Lin Yun Ling terhadap kerajaan persekutuan yang bersedia untuk menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (AIPA) dalam pengambilalihan operasi air negeri itu.

Lin menganggap kesediaan itu tidak menunjukkan bahawa kerajaan tidak memelihara “kesucian kontrak” dan tidak selari dengan semangat “saling setuju” antara pembeli dan penjual.

AIPA membenarkan menteri, demi kepentingan negara dan kelulusan kerajaan Persekutuan, mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil alih operasi bekalan air daripada syarikat konsesi.

Gamuda tiada hak cakap tentang ‘menghormati kontrak’

Mengulas kenyataan itu, Pua berkata, Gamuda selaku pemilik Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (SPLASH) tiada hak untuk bercakap tentang “menghormati kontrak” kerana dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani Gamuda terdapat terma jelas berhubung penamatan konsesi dan pembelian balik oleh kerajaan persekutuan atau negeri.

“Terma itu menyatakan bahawa ketika penamatan konsesi, kerajaan hanya perlu beri pampasan mengikut nilai aset di bawah konsesi, serta pastikan syarikat konsesi terima pulangan 12 peratus setahun untuk tahun-tahun operasi sebelumnya. Tiada keperluan undang-undang untuk ambil alih pinjaman yang dibuat syarikat, seperti apa yang dilakukan kerajaan Persekutuan kepada SPLASH.

“Jelas, Lin sebenarnya yang tidak mahu patuh pada kontrak yang ditandatangani syarikatnya sendiri kerana beliau inginkan pulangan tidak munasabah untuk pemegang saham,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi.

Katanya lagi, kerajaan Negeri telah mencuba sedaya upaya untuk mengadakan proses pengambilalihan seara persetujuan bersama selama enam tahun, namun gagal.

“Maka kami sokong penuh pendirian kerajaan Negeri dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk desak kerajaan Persekutuan gunakan WSIA untuk segera selesaikan penstrukturan semula air, agar kerajaan Negeri dapat tumpukan usaha untuk tingkatkan kualiti dan kuantiti bekalan air kepada rakyat,” ujar beliau. – Roketkini.com