Berita

Larangan masuk Sarawak hanya supaya BN tidak digugat

KUALA LUMPUR, 2 APR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak memperalatkan Perlembagaan Persekutuan demi kepentingan politik apabila mengeluarkan arahan supaya orang tertentu tidak dibenarkan memasuki negeri tersebut.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, kerajaan Negeri menyalahgunakan hak imigresen yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hanya untuk kepentingan politik BN di sana.

“Memang larangan masuk adalah bidang kuasa kerajaan Negeri, tetapi ia telah diperalat untuk kepentingan politik BN yang memegang kuasa.

“Menghalang sesiapa yang rasis hanyalah alasan BN. Tujuan sebenarnya untuk mengukuhkan kedudukan BN daripada digugat Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Pada 31 Mac lalu, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menyatakan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menghalang pihak rasis dan pembuat kacau daripada memasuki negeri itu.

Beliau memberikan contoh larangan masuk beberapa pemimpin Pakatan, antaranya Naib Presiden DAP Kebangsaan Teresa Kok Suh Sim; Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli ketika tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian akhir bulan lalu.

“Mereka tidak pernah keluarkan kenyataan berunsur perakauman. Malah, Saifuddin sendiri dibenarkan masuk ketika penamaan calon 17 Mac lalu, namun dihalang seminggu kemudian. Adakah beliau ada keluarkan kenyataan perkauman antara tempoh itu?

“Tak ada. Maka amat jelas bahawa kuasa dalam Perlembagaan itu telah disalah guna,” kata Ahli Parlimen Bandar Kuching itu lagi.

Melalui Perjanjian Malaysia 1963, Sabah dan Sarawak boleh mengawal kemasukan sesiapa yang bukan berasal dari sana ke dalam negeri itu.

Bahagian 7 Akta Imigresen 1959/1963 pula menyatakan sesiapa yang bukan berasal daripada Sabah dan Sarawak perlu memiliki permit dan pas untuk masuk ke negeri itu, selain Ahli kerajaan Persekutuan, Hakim, kakitangan awam dan individu yang mempunyai tujuan tunggal untuk menyertai aktiviti politik yang sah. – Roketkini.com