Berita

Menteri Pertahanan dedah pembohongan Papagomo

KUALA LUMPUR, 3 APR: Jawapan Menteri Pertahanan kepada soalan lisan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris telah berbohong kepada mahkamah.

Ketika memberi keterangan dalam kes saman Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Wan Azri yang telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Februari lalu adalah pengguna nama samaran Papagomo mengaku tidak pernah berada dalam kapal selam Scorpene.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan dalam jawapan kepada pertanyaan lisan Rafizi di Parlimen mengesahkan bahwa seorang yang bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris (KP: 830121-03-5019) telah menaiki kapal selam Scorpene pada 9 Disember 2011.

Dalam kenyataan yang disiarkan dalam blognya, Rafizi memberitahu bahawa jawapan menteri berkenaan bukan sahaja membuktikan Wan Azri berbohong kepada mahkmah, malah mengesahkan bahawa individu tersebut adalah orang di sebalik blog Papagomo.

“Saya bertanyakan soalan itu untuk mendapatkan pengesahan identiti Papagomo kerana umum mengetahui bahawa Papagomo telah menaiki Scorpene atas jemputan menteri.

“Perkara ini telah disebar-luas melalui blog-blog Umno sendiri yang mengesahkan bahawa Papagomo telah berada di dalam Scorpene, malah gambar-gambar tersebut tersebar luas,” tulis beliau.

Menurut Rafizi lagi, pengesahan ini mempunyai beberapa implikasi undang-undang terhadap Wan Muhammad Azri.

“Semasa memberi keterangan di dalam kes saman Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadapnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris telah menyatakan bahawa dia tidak pernah berada di dalam kapal selam Scorpene.

“Jawapan Menteri Pertahanan telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris telah berbohong kepada mahkamah,” kata Rafizi.

Memberi keterangan palsu kepada mahkamah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun.

“Saya dan YB Surendran akan membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atas kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.

“Saya ingin melihat sama ada pihak polis akan mengambil tindakan menahan Papagomo serta merta di bawah Seksyen 193 dan mahkamah mengenakan hukuman penjara yang sewajarnya terhadap Papagomo,” kata beliau.

Malah, Rafizi turut bercadang untuk memfailkan satu saman terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris berikutan fitnah yang mendakwa beliau dipecat dari Petronas kerana pecah amanah.

Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengesahkan identiti Papagomo serta memerintahkannya membayar RM800,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah tewas dalam saman fitnah terbabit. – Roketkini.com