Berita

Khalid Ibrahim jangan lepas tangan isu rampasan Bible

KUALA LUMPUR, 3 APR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abd Khalid Ibrahim tidak wajar mengelak daripada memikul tanggungjawab dalam isu rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau malah diingatkan supaya menghormati mandat rakyat dan seharusnya mengusahakan jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut bagi menepati janji Pakatan Rakyat untuk mentadbir secara inklusif, adil dan saksama.

Teguran tersebut dibuat Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming setelah kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim memutuskan bahawa BSM perlu membuat permohonan secara langsung kepada Peguam Negara bagi mendapatkan semula 300 naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban yang telah dirampas dari Bible Society of Malaysia (BSM) awal Januari lalu.

Beliau melihat kerajaan negeri, menerusi keputusan itu, seolah-olah cuba lari dari tanggungjawab mencari penyelesaian berkaitan kebebasan mengamal dan mentadbir hal-ehwal agama berdasarkan Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Kian Ming mengingatkan bahawa MB telah mengarahkan JAIS untuk mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri tentang sama ada Bible berbahasa Melayu dan Iban selari dengan Perjanjian 10 Perkara yang diumumkan kerajaan BN pada tahun 2011, sejurus sebelum pilihanraya negeri Sarawak.

Justeru itu, Kian Ming mempersoalkan tindakan terbaru kerajaan negeri, terutama kerana pada 25 Januari lalu Khalid telah menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak akan memutuskan sebarang tindakan lanjut selagi siasatan JAIS ke atas Bible berbahasa Melayu dan Iban selesai.

“Kita ingin ingatkan MB bahawa kita belum mendengar apa-apa hasil daripada siasatan JAIS,” ujar beliau.

Beliau yang juga Strategis Pilihanraya DAP menggesa pihak Menteri Besar Selangor untuk bertindak proaktif menyelesaikan masalah tersebut dengan mendapatkan pandangan semua pihak yang terlibat, termasuk JAIS; dan bukannya menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada BSM.

“Tanda seorang reformis tulen ialah tekad dan kemahuan yang ditunjukkan bagi mencari penyelesaian yang adil kepada masalah ini,” tambah Kian Ming.

Awal Januari lalu, JAIS bertindak menyerbu premis BSM dan merampas sejumlah naskhah Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban. Serbuan tersebut dibuat berasaskan kuasa kerajaan negeri di bawah Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988. – Roketkini.com