Berita

Kenaikan tarif air di Pulau Pinang dapat mengurangkan pembaziran

KUALA LUMPUR, 3 APR: Kenaikan tarif air di Pulau Pinang diharap dapat meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi orang ramai agar tidak menggunakan air secara berlebihan.

Menurut Penyelidik Program Alam Sekitar, Urbanisasi, dan Perbandaran Institut Pulau Pinang Ong Siou Woon, penggunaan air di Pulau Pinang adalah tertinggi di Malaysia ekoran kadar yang terlalu rendah.

“Penggunaan air di sini adalah tertinggi dalam negara, dan kadar pula paling rendah. Pada masa ini, kos pengeluaran adalah tiga kali ganda daripada tarif. Inilah situasi yang kita hadapi.

“Maka, tarif air perlu dinaikkan agar persepsi orang ramai dapat diubah dan tidak lagi menggunakannya sewenang-wenangnya,” katanya kepada Roketkini.

Menurut Ong, kaedah hampir sama yang telah diterapkan sebelum ini dan terbukti berkesan apabila penggunaan air bukan domestik berjaya dikurangkan selepas kerajaan negeri memperkenalkan surcaj pemuliharaan air (water conservation surcharge).

“Selepas ia diperkenalkan, penggunaan bukan domestik berkurang. Namun, penggunaan domestik seperti di rumah masih sama,” katanya lagi.

Katanya lagi, kadar air di negeri itu pada masa ini adalah 22 sen seliter, manakala kos pengeluaran 66 sen seliter.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider semalam bahawa kerajaan negeri setuju dengan cadangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menaikkan tarif air bagi mengurangkan pembaziran setelah pendekatan lunak yang digunakan sebelum ini gagal.

Menurut beliau, Pulau Pinang terus mencatatkan tahap penggunaan air tertinggi dalam negara walaupun pelbagai program telah dianjurkan untuk mendidik dan menyedarkan pengguna tentang kepentingan memulihara air, selain mengenakan caj tambahan dan penalti terhadap pihak yang melakukan pembaziran.

Laporan berkenaan menyebut bahawa penggunaan air negeri itu untuk Januari dan Februari tahun ini adalah 311 liter per kapita sehari (pks) sedangkan negeri lain hanya 115 pks (Sabah) dan 241 pks (Perlis).

Dalam pada itu, pemimpin dan pengasas NGO Save Ourselves (SOS) yang berpangkalan di Pulau Pinang, Ong Boon Keong, turut berpandangan bahawa langkah meningkatkan tarif air akan memberi kesan baik.

“Penggunaan air pasti berkurang, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya ketika dihubungi.

Namun, beliau mengingatkan kerajaan negeri agar melaksanakan kenaikan itu secara telus dan bertanggungjawab.

“Pastikan wang yang diperolehi nanti digunakan untuk rakyat (seperti tingkatkan perkhidmatan). Ia juga perlu dibuat dengan telus serta mendapatkan pandangan pelbagai pihak,” katanya lagi. -Roketkini.com