Rencana

Penghormatan buat Irene Fernandez – Charles Santiago

Dalam kereta, dalam perjalanan pulang dari mengunjungi jenazah Irene Fernandez, saya mengenang masa lampau. Kali pertama bertemu Irene, saya baru berusia 18 tahun dan sedang bersama Young Christian Workers Movement (YCW) memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia dan buruh.

Irene menerajui YCW di awal tahun 70an. Sepanjang 36 tahun yang lalu, kegiatan kami sering bertemu.

Beberapa kali kami bertemu dalam persidangan di dalam negara dan di seberang laut. Malah kami juga pernah bekerjasama dalam isu pekerja asing – isu yang amat dititik-beratkan oleh beliau. Irene boleh dikatakan secara bersendirian telah menjulang isu pendatang asing sebagai agenda negara dan dunia. Dalam perjuangan itu, beliau telah berhasil meraih sokongan rakan sekerja beliau sendiri dan kerajaan.

Irene seorang pemberani, tidak gentar berdepan cabaran dan tidak goyah apabila diheret ke mahkamah.

Irene ditangkap pada tahun 1996 dan dituduh “menerbitkan berita palsu dengan niat jahat” apabila beliau mengeluarkan laporan tentang 59 pekerja asing yang telah mati dalam kem tahanan Malaysia akibat penyakit yang sebenarnya boleh dicegah.

Setelah tujuh tahun dibicarakan, Irene didapati bersalah pada tahun 2003 dan dijatuhkan hukuman penjara satu tahun. Beliau dibenarkan ikat jamin sementara menunggu proses rayuan. Namun, pasportnya dipegang oleh mahkamah dan Irene terhalang daripada menjadi calon ahli parlimen dalam pilihanraya umum tahun 2004.

Pada tahun 2008 beliau dibebaskan.

Segala penindasan dan pelecehan terhadap Irene tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk terus berjuang. Malah, perjuangan yang beliau kobarkan benar-benar telah memberi inspirasi kepada generasi muda. Komitmennya terhadap hak asasi manusia dan keadilan menjadi lagenda.

Tenaganita, pertubuhan yang diasaskan oleh Irene, terus menjadi saluran suara pekerja asing, mangsa penyeludupan orang dan pelarian.

Semua kita mengimpikan untuk meninggalkan tanda di hujung perjalanan kita di bumi ini.

Irene telah mewariskan sebuah pertubuhan yang bukan saja akan terus berjuang demi hak golongan tertindas dan kurang bernasib baik, malah juga mendorong kita untuk terus tabah ketika berdepan dengan rintangan dan untuk terus maju memperjuangkan sesuatu yang diyakini.

Saya merasa amat bertuah kerana dianugerahkan banyak kesempatan untuk mengenal Irene dan bekerja bersamanya.

Pemergian teman lama dan saudara seperjuangan ini saya ratapi.

Pemergian Irene adalah kehilangan besar buat negara ini.

Ia juga menandakan berakhirnya sebuah zaman.