Berita

Hishammuddin perlu bentang segera laporan kemalangan bas Genting di Parlimen

KUALA LUMPUR, 4 APR: Sudah beberapa kali pemangku Menteri Pengangkutan diingatkan untuk membentangkan laporan panel bebas berkaitan kemalangan bas Genting supaya dibahaskan di Parlimen, namun sehingga kini tiada hasil yang memberansangkan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein diseru sekali lagi supaya segera membentangkan laporan berkaitan kemalangan yang meragut 37 nyawa tersebut sebelum sidang Parlimen berakhir pada 10 April, Khamis depan.

Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong membuat gesaan terbabit memandangkan sudah tujuh bulan berlalu sejak tragedi tersebut dan kejadian kemalangan melibatkan bas kian bertambah, melibatkan 13 kemalangan jiwa dan 76 kecederaan serius.

“Ini supaya Kementerian Pengangkutan dan pihak Kabinet dapat melaksanakan cadangan-cadangan panel bebas terbabit bagi menangani kegagalan institusi dan sistem yang mengakibatkan kemalangan tersebut, selain mempertanggungjawabkan mereka yang dinamakan dan dikaitkan dalam laporan tersebut,” ujarnya.

“Rekod yang begitu tragis setakat ini memperlihatkan bahawa tahap keselamatan pengangkutan awam kita amat tidak memuaskan,” ujarnya resah dengan sikap kementerian yang dilihat cuba mengambil jalan mudah.

Menurut Chin Tong, sewaktu jambatan terminal feri Pulau Pinang runtuh pada Julai 1988 dan mengorbankan 32 nyawa, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan.

“Kemalangan Genting mengorbankan 37 orang,” kata Chin Tong, yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Beliau memuji panel penasihat bebas yang diketuai Tan Sri Lee Lam Thye atas laporan yang begitu profesional, namun gusar dengan respons lemah Menteri terhadap laporan tersebut.

Hanya satu cadangan panel penasihat tersebut yang diguna-pakai oleh kementerian.

“Sebelum pembukaan sesi Parlimen 7 Mac lalu, saya telah menyeru pihak Menteri untuk membentangkan laporan terbabit sewaktu persidangan supaya dibahas penuh oleh Ahli Parlimen.

“Saya ulang sekali lagi seruan tersebut sebelum sidang ini berakhir,” kata beliau.

Sebuah bas sarat penumpang terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di kilometer 3.6 jalan Kuala Lumpur-Genting pada 21 Ogos tahun lalu dalam perjalanan menuju ke Genting Highlands. Ia disifatkan sebagai nahas jalanraya paling dahsyat dalam sejarah negara. – Roketkini.com