Rencana

Pembangunan Iskandar Malaysia, pemuliharaan alam sekitar dan budaya tempatan – Lim Kit Siang

IMG_20140405_095158_editUcapan Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dalam program menyemai anak pokok di kawasan paya bakau di Pontian, Sabtu, 5 April 2014.

Selamat pagi,

Saya merasa gembira dapat hadir bersama saudara-saudari semua di sini untuk menjalankan kegiatan yang sungguh bermakna pada pagi yang berbahagia ini. Sekejap lagi, kita semua akan bergelumang di tanah, ataupun lebih tepat dalam paya laut, untuk menyemai 500 anak pokok bakau api-api, sebagai permulaan projek pemuliharaan kawasan paya bakau di kawasan ini.

Usaha kita hari ini adalah suatu kerjasama antara beberapa pertubuhan dan individu yang bersepakat untuk tujuan yang sama. Program ini dianjurkan bersama oleh Team Hijau, sebuah unit di bawah Gerakan Impian Malaysia yang diketuai Saudara Mahdzir Ibrahim, dan NGO JARING.

Malah yang lebih bermakna adalah kehadiran ramai pemuda-pemudi dan rakan-rakan yang hadir secara sukarela, dari Pontian dan juga dari tempat lain, untuk sama-sama bergabung tenaga pada pagi ini.

Anda semua adalah ejen prubahan, demi masa depan Malaysia yang cerah.

Latar Belakang

Malaysia dikurniakan dengan pesisiran pantai yang panjang dan lantaran itu ia kaya dengan budaya maritime. Johor pula, ramai antara kita tidak tahu akan keistimewaan negeri ini, mempunyai pesisiran pantai yang paling panjang di Semenanjung Malaysia. Tiada negeri yang lain mempunyai pantai sepanjang Johor, iaitu sepanjang 400 km, dikelilingi oleh Selat Melaka, Selat Johor dan Lautan Cina Selatan.

Sepanjang pantai yang panjang itu, Johor dianugerahkan pula dengan hutan paya bakau yang subur. Tidak jauh dari sini ada hutan paya Tanjung Piai, Pulau Kukup, dan Sungai Pulai yang terkenal di peringkat antarabangsa dengan ekosistem unik yang menyumbang kepada kepelbagaian bio. Kawasan paya bakau yang kurang dikenali, seperti di sekitar Rambah dan bandar Pontian, juga tidak kurang penting bagi alam sekitar dan sebagai sumber rezeki masyarakat tempatan.

Bukan setakat nyamuk dan lumpur

Pada masa lampau, mungkin disebabkan kurang kesedaran, ramai antara kita melihat paya bakau ini sebagai tempat lumpur yang tidak berguna. Bagi sebahagian orang, paya bakau hanyalah sebuah kawasan tanah becak, dipenuhi air dan lumpur, tempat nyamuk dan ular membiak. Kawasan yang berpaya ini harus ditambak dan diubah, barulah orang boleh datang berkampung dan tamadun dapat dibina. Alam sekitar ini perlu dijinakkan, kata mereka.

Maka dalam tempoh 50 tahun yang lepas, di tengah-tengah arus pembangunan yang pesat, khususnya sepanjang kawasan pesisiran pantai di Malaysia, hampir 80% hutan paya bakau telah ditukar untuk tujuan yang lain.

Namun, kebelakangan ini kita mula semakin sedar akan fungsi dan kepentingan hutan bakau dan bagaimana ia berperanan sebagai asas bio-fizikal yang menyokong kehidupan laut dan sumber perikanan pesisir pantai. Tanpa hutan bakau dan paya, tiadalah ikan, udang, ketam dan tiadalah penempatan manusia di Johor.

Selepas peristiwa Tsunami pada 2004, kita mendapat pengajaran bahawa hutan bakau di tepi laut mampu menyelamatkan nyawa dan melindungi penempatan dan harta benda daripada dilanda ombak tsunami.

Sememangnya hutan bakau bukan sekadar kawasan lumpur pembiak nyamuk.

Hari ini, kehadiran saudara-saudari di sini sepatutnya mengingatkan semua orang bahawa kita perlu mengambil cara yang lebih bijak untuk bersahabat dengan alam sekitar. Kita sepatutnya berganding bahu memikul peranan sebagai pemulihara alam sekitar kerana kesejahteraan hidup kita amat bergantung padanya, bukannya menebang dan menambak hutan paya bakau, kononnya “demi pembangunan.”

IMG_20140405_103233Kes Pulau Ubah – Kerakusan Iskandar Malaysia

Saya ingin ceritakan sedikit di sini tentang skandal Pulau Ubah di Gelang Patah.

Pulau Ubah ini di mana? Sudah tentu anda tidak akan menemui pulau ini dalam mana-mana buku dan peta. Kerana Pulau Ubah ialah sebuah pulau yang baru ditambak, berdekatan pantai Tanjung Kupang, dalam kawasan Gelang Patah, Johor Bahru.

Sejak Januari, projek gergasi ini bermula di Tanjung Kupang dan nelayan tempatan telah membawa saya mengunjungi tempat penambakan ini sebanyak dua kali. Saya merasa amat terkejut melihat kerosakaan besar yang dilakukan ke atas kawasan laut di situ.

Saya dimaklumkan bahawa kawasan ini, sebelum ada penambakan, merupakan tempat yang cantik dan istimewa – tempat rumpai laut tumbuh dan pelbagai hidupan laut bertumpu di situ. Kuda laut membiak di situ, begitu juga dugong dan macam-macam ikan yang lain. Seluruh kawasan laut ini, sampai ke Pulau Merambong, telah dikenalpasti sebagai kawasan yang perlu dilindungi sebagai taman laut.

Akan tetapi, kawasan laut berkenaan telah diserahkan oleh kerajaan negeri kepada ‘pemaju’ untuk penambakan. Berdasarkan dokumen yang telah kita lihat, mereka ingin menambak kawasan seluas 2500 ekar, menyisakan kawasan perairan yang amat sempit untuk ratusan nelayan pesisir pantai yang masih mencari rezeki di kawasan itu.

Saya pasti banyak nelayan Pontian tahu tentang projek ini dan telah menyaksikan dengan mata mereka sendiri bagaimana kegiatan penambakan itu merosakkan ekosistem laut. Nelayan menderita kerana kesan-kesan buruk dari penambakan. Baru dua bulan yang lepas, beberapa kes kematian ikan yang mencurigakan telah dilaporkan secara meluas.

Selat Melaka hanyalah sejalur perairan yang sempit dan cetek. Lebih sempit pula Selat Johor. Jika kawasan laut ditambak sehingga seluas 2500 ekar atau lebih, berapa luas perairan tersisa? Mana mungkin nelayan menangkap ikan di atas tanah.

IMG_20140405_102638_editPertanyaan di Parlimen

Saya telah membangkitkan isu ini dalam sidang Parlimen pada 13 Mac yang lepas menerusi soalan kepada kepada Menteri Alam Sekitar: Bagaimana penambakan ini boleh bermula tanpa sebarang kelulusan penilaian impak alam sekeliling (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar?

Saya juga menyoal Perdana Menteri, sebagai Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), untuk memberi penjelasan bagaimana IRDA boleh meluluskan projek sedemikian tanpa mempertimbangkan bahawa kawasan tersebut telah dikenalpasti sebagai “kawasan perlindungan marin” seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Pengurusan Pesisiran Pantai yang diterbitkan pada tahun 2011 oleh IRDA sendiri?

Kerajaan BN membelanjakan jutaan wang rakyat untuk mengupah perunding terhebat untuk merangka pelan pembangunan, membuat kajian, dan seterusnya menyediakan pelan induk bagi menjadikan Iskandar Malaysia sebuah wilayah pembangunan yang rancak ekonominya dan sekaligus mesra alam sekitar yang tiada bandingannya di dunia.

Dalam semua pelan yang gilang-gemilang itu, tiada disebut tentang Pulau Ubah – pada asalnya tiada cadangan langsung untuk membuat penambakan. Ia sepatutnya dikekalkan sebagai kawasan paya dan taman laut.

Ke mana pergi semua rancangan dan pelan induk itu? Soal saya di Parlimen. Jawab Timbalan Menteri Alam Sekitar James Dawos Mamit (Menteri Alam Sekitar Palanivel tidak ke Parlimen, mungkin beliau sibuk dengan panda dari China) “Kajian EIA tidak diperlukan kerana kawasan penambakan kecil, hanya 49 hektar.”

Datuk Sri Wahid Omar yang berasal dari Johor dan sekarang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula berkata bahawa kerajaan sentiasa mengikuti pelan dalam memantau kegiatan pembangunan di wilayah pembangunan Iskandar Malaysia.

Kedua-dua mereka telah tidak berkata benar dalam dewan Parlimen yang mulia. Kita telah membuat penyelidikan rapi dan telah mendapatkan dokumen-dokumen rasmi dari pejabat kerajaan sendiri – kawasan penambakan terbabit jauh melebihi 49 hektar.

Bukan hanya di Tanjung Kupang, penambakan laut secara besar-besaran, mencecah ribuan hektar, juga akan di adakan dalam kawasan Tanjung Piai. Semua ini tidak pernah wujud dalam Pelan Pembangunan Bersepadu Iskandar Malaysia.

Fakta ada di depan mata kita. Saya akan jemput kedua-dua Menteri untuk sama-sama membuat lawatan tapak ke Tanjung Kupang dan biar mereka lihat dengan mata sendiri apakah kawasan yang ditambah hanya seluas 49 hektar dan tidak bermasalah.

Pengangkutan Maritim Tergugat?

Saya juga akan meminta Kerajaan Persekutuan menjelaskan sama ada penambakan yang sedang berjalan sekarang boleh mengganggu pergerakan kapal, khasnya kapal-kapal dagang yang mengunjungi Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Saya diberitahu bahawa Kementerian Pengangkutan telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Johor yang tidak mendapatkan pandangan Kementerian sebelum penambakan dijalankan, kerana ia akan menjejaskan lalu-lintas laut dan PTP. Kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak boleh menyembunyikan fakta di sini – kalau penambakan terus berjalan, tidakkah laut akan menjadi cetek sehingga kapal-kapal tidak dapat lalu dengan selamat dan ekonomi negara akan tergugat?

Nelayan Pantai

Saya ingin kembali kepada isu bakau dan rezeki penduduk tempatan. Izinkan saya berkongsi sedikit tentang nelayan pantai.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Perikanan, terdapat sejumlah 2,438 nelayan di daerah Pontian dan juga Johor Bahru Barat. Di Pontian sahaja, terdapat sebanyak 1,825 nelayan – 1,201 nelayan Melayu, 616 nelayan Cina dan 8 nelayan India. Dari jumlah 1800 nelayan itu, 710 menggunakan bot kecil dengan motor sangkut sahaja.

Jelas, kebanyakan nelayan di Pontian adalah nelayan pantai yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kerja sebagai nelayan mungkin bukan idaman semua orang, tetapi tanpa mereka yang mengharungi ombak dan matahari terik, dari mana akan datang ikan dan udang sebagai sumber makanan yang murah dan berkhasiat untuk masyarakat tempatan?

Perikanan hanya menyumbang kepada lebih kurang 1% KDNK Malaysia. Namun, sumbangan nelayan pesisir pantai terhadap masyarakat kita, serta peranan mereka dalam adat budaya dan jatidiri Malaysia, tidak dapat disukat sekadar menurut nilai KDNK.

Kepayahan hidup nelayan pesisir pantai perlu mendapat perhatian dan tindakan dari kerajaan.  Lembaga Kemajuan Ikan dan Jabatan Perikanan tidak boleh hanya memberi tumpuan terhadap pengembangan bisnes akuakultur besar-besaran dan juga perikanan lautan dalam tanpa memberi pertimbangan serius terhadap ekonomi nelayan kecil dan tradisional yang tidak sedikit jumlah mereka.

IMG_20140405_102403Imbuhan dan subsidi yang hanya sekali-sekala dihulurkan, yang kadarnya pula tidak seberapa, tidak dapat membantu nelayan keluar dari kemiskinan dan membuatkan mereka berdikari dalam arus pembangunan negara.

Nelayan dan juga rakyat Malaysia tidak harus dilihat sebagai golongan peminta-minta yang hanya menanti untuk disuap dengan wang tunai, beras dan gula. Rakyat adalah ejen perubahan. Rakyat perlu bangkit memperjuangkan hak dan nilai-nilai kehidupan yang mereka hargai supaya tidak lenyap dalam arus pembangunan.

Kita tidak harus lagi menerima begitu saja projek yang dilakukan secara sembarangan atas nama kemajuan dan pembangunan – projek-projek pembangunan yang dijalankan dengan cara melanda kawasan hutan bakau secara membabi-buta demi membangunkan kondominium mewah. Kita kini sudah menyedari nilai hutan paya bakau – ia bukan sekadar kawasan berselut yang dipenuhi nyamuk.

Matlamat pembangunan yang dikejar sejak merdeka, pada saya, ialah untuk memanfaatkan rakyat, demi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, agar mereka dapat hidup dengan lebih selesa, lebih bermakna dan bermaruah. Kalau kita sesat seperti Kerajaan Barisan Nasional yang mengejar projek-projek mega tanpa mengutamakan rezeki masyarakat tempatan dan tidak menghormati alam sekitar, maka rakyat akan terus tertindas dan terbelenggu.

Akhir Kata

Akhir kata, lima ratus anak pokok bakau yang akan kita tanam nanti adalah pokok api-api. Saya harap dengan kesungguhan dan penjagaan yang baik, anak pokok ini akan tumbuh menjadi pokok dan seterusnya menjadi hutan. Saya menyeru agar kita semua memelihara ‘api-api’ kesedaran tentang nilai alam sekitar dan keadilan – supaya suatu hari nanti ia marak menjadi unggun dan mengundang lebih ramai rakan kita untuk bergabung tenaga menjadi agen perubahan ke arah Impian Malaysia.

Pasang surut air laut tidak menunggu kita. Ayuh! Kita turun segera sebelum air laut pasang lagi.

Sekian, terima kasih.