Berita

Bubar sahaja Esscom jika tiada kuasa di Pantai Timur Sabah

KUALA LUMPUR, 6 APR: Kerajaan sebaiknya membubarkan sahaja Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) jika ia sebenarnya tidak memiliki sebarang kuasa di Pantai Timur Sabah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang membidas kenyataan Ketua Komunikasi Korporat Esscom Newmond Tibin yang membuat pengakuan itu berhubung insiden penculikan dua wanita di Semporna 2 April lalu.

“Esscom patut ditutup sahaja jika selepas RM300 juta wang rakyat dihabiskan untuk menubuhkannya, apa yang boleh dilakukan adalah mengakui Esscom ‘tidak mempunyai kuasa’ dalam insiden itu.

“Bukan sekadar penduduk Sabah, seluruh rakyat Malaysia marah dengan kenyataan Tibin,” katanya dalam satu kenyatan semalam.

Tibin dilaporkan menyatakan Esscom tiada kuasa di sepuluh daerah – Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna and Tawau – yang termasuk dalam kawasan Esscom dan setiap daerah itu berada di bawah bidang kuasa polis.

Menurut Tibin lagi, peranan Esscom adalah untuk menyelaraskan pelbagai agensi dan tidak memberikan arahan terus kepada polis di daerah terbabit.

Kit Siang menyifatkan alasan itu menunjukkan kecelaruan pentadbiran negara, yang saling menuding jari dan tidak ingin mengaku kesilapan apabila timbul masalah.

“Ini adalah contoh terbaru kecelaruan pentadbiran Malaysia, agensi-agensi tidak ingin memikul tanggungjawab dan menuding jari kepada yang lain, memperbodohkan rakyat.

“Selepas RM300 juta wang rakyat dihabiskan, mereka diberitahu badan itu tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka. Jika begitu, kenapa ia ditubuhkan?” soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Sehubungan itu, katanya lagi, Parlimen patut mengadakan usul tergempar bagi membubarkan Esscom jika tiada penjelasan memuaskan tentang peranannya.

“Jelas RM300 juta adalah satu pembaziran jika ia hanya digunakan untuk menubuhkan satu badan yang hanya berperanan menyelaras 10 daerah polis.

Beliau menyarankan agar Parlimen mengadakan usul tergempar untuk membubarkan Esscom minggu depan jika tiada penjelasan memuaskan berhubung kenyataan Newmond itu.

Insiden penculikan bersenjata 2 April lalu adalah yang ketiga berlaku sejak tahun lalu, selepas sekumpulan nelayan diculik pada 27 Ogos berdekatan Pulau Mabul, dan penculikan di Pulau Pom Pom pada 15 November yang menyaksikan seorang pelancong warga Taiwan ditembak mati. – Roketkini.com