Berita

Chin Tong: Pelaksanaan idea sebagai fasa politik baru bagi pembangkang

PONTIAN, 6 April 14 – Pembangkang kini memasuki fasa politik baru dengan tidak saja mengkritik tetapi juga melaksanakan idea serta menjayakan kegiatan yang menjadi contoh bagi program-program yang akan dijalankan oleh Pakatan Rakyat apabila ia membentuk kerajaan nanti.

Bercakap kepada pemberita sewaktu pelancaran projek menanam bakau di pantai Pontian semalam, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong menyifatkan program sedemikian sebagai langkah awal untuk mendidik masyarakat betapa pembangunan ekonomi dan kemajuan mestilah seimbang dengan usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Ini merupakan budaya baru dalam politik yang mana kita sebagai pembangkang, bukan sekadar mengkritik kerajaan, sebaliknya kita melaksanakan perkara yang kita fikir perlu dan sesuai tanpa menunggu pihak kerajaan mendengar dan melaksana usaha tersebut.

“Sebagai contoh projek menanam bakau ini, kita tak perlu mengkritik dan hanya menunggu kerajaan atau agensi-agensinya menanam, sebaliknya kita gerakkan sendiri sebagai inisiatif bersama antara kita dan NGO serta masyarakat setempat,” ujar beliau yang juga Pengerusi DAP Johor.

Semalam, Gerakan Impian Malaysia dengan kerjasama NGO Jaring dan masyarakat sekitar negeri Johor telah menjayakan projek sulung penanaman bakau bertemakan “Bakau – Menanam Benih Impian Malaysia” di pantai Pontian.

Program yang dirasmikan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang
Itu disertai lebih seratus orang sukarelawan bersama-sama dengan nelayan tempatan dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat dari daerah Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru.

Dalam program semalam, sukarelawan berjaya menanam lima ratus anak pokok bakau jenis Avicennia (Api-api), Rhizophora (Bakau Minyak), Sonneratia (Perepat/kurap) dan Bruguiera (Berus/Tumu).

Chin Tong turut menegaskan bahawa DAP dan masyarakat tidak pernah menolak secara melulu apa-apa projek pembangunan oleh mana-mana pihak, termasuk kerajaan, sebaliknya menekankan aspek pembangunan yang mengikut prosedur dan kritirea yang telah ditetapkan oleh pelbagai agensi demi memastikan setiap projek memberi manfaat buat semua pihak.

“Kita tidak mahu sistem dan prosedur yang disediakan oleh agensi kerajaan seperti Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Perikanan 1985, Kajian dari Laporan Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA), Penilaian Dampak Alam Sekitar (EIA), dan lain-lain agensi yang berkaitan diabaikan, sebaliknya ia mesti dipatuhi, bukan dimanipulasi dengan menjadikannya sebagai syarat sahaja, sedangkan projek dijalankan tanpa menghiraukan prosedur tersebut,” ujarnya. -Roketkini.