Berita

DAP gesa gubal undang-undang untuk pastikan air minum selamat

KLUANG, 7 APR: Kes pencemaran air terawat di negeri Johor semakin membimbangkan berikutan kes terbaru di kawasan Mawai-Sedeli dan Kota Tinggi di mana disyaki air laut telah bercampur dengan air yang telah dirawat, menyebabkan air tersebut tidak sesuai untuk diminum.

ADUN DAP Mengkibol Tan Hong Pin dalam satu kenyataan media berkata beliau turut mendapat aduan daripada penduduk di kawasan terbabit mendakwa air pili yang dibekalkan oleh Syarikat Air Johor Johor (SAJ) berasa masin seperti air garam.

Dari tinjauan yang dibuat, pihaknya mempercayai hal tersebut berpunca dari air laut yang telah melanda masuk ke tempat sedutan air di Loji Rawatan Air Sungai Gembut yang membekalkan air di sekitar kawasan Sedeli hingga ke Kota Tinggi.

Menurut Jabatan Kesihatan Australia Barat, kandungan natrium dalam air minuman tidak dapat dihidu tetapi akan berasa masin dan mengandungi kepekatan melebihi 180 mg/L.

Kepekatan ini sangat hampir dengan kadar kepekatan maksimum kandungan natrium yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan sendiri iaitu 200 mg/L.

“Kandungan natrium dalam air yang dibekalkan kepada penduduk kemungkinan besar telah melebihi piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” jelas Hong Pin yang juga Jurucakap Hal Ehwal Pembekalan Air DAP Negeri.

“Kami mencadangkan kepada pihak berkenaan untuk segera mengumumkan keputusan ujian air terawat di kawasan terbabit setiap hari dan memberi peringatan kepada para pengguna tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil,” tambah beliau lagi.

Berdasarkan jawapan sebelum ini oleh pihak SAJ di Dewan Undangan Negeri Johor, air bersih yang dirawat akan dipantau secara terperinci setiap dua jam sekali pada setiap hari bagi memastikan air tersebut benar-benar selamat untuk diminum.

“Jadi kami percaya pihak SAJ tidak mempunyai masalah untuk melaksanakannya seperti yang telah dijawab di Dewan Undangan sebelum ini.

“Pada masa yang sama, saya juga menyeru supaya Kerajaan Persekutuan membentangkan Rang Undang-Undang Air Minum Yang Selamat untuk diluluskan di Parlimen dengan kadar segera bagi memastikan kualiti air terawat yang dibekalkan kepada pengguna adalah sentiasa terpantau dan selamat digunakan,” ujar Hong Pin.

Rang Undang-undang yang dimaksudkan beliau telah dirangka pada penghujungan tahun 2013 dan dipaparkan dalam laman web Kementerian Kesihatan untuk mengumpul maklumbalas awam pada 2 hingga 19 Disember 2013. – Roketkini.com