Berita

Paul Low mesti desak perjanjian konsesi Lebuh Raya KIDEX didedahkan

KUALA LUMPUR, 7 APR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low perlu membuktikan peranannya dalam hal ehwal integriti dan ketelusan dengan mendesak kerajaan mendedahkan perjanjian konsesi Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) yang bakal dibina.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Damansara Utama Yeo Bee Yin, Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Lau Weng San (Kampung Tunku) membuat desakan itu dalam satu kenyataan bersama semalam.

Mereka menyatakan kebimbangan kemungkinan ia bakal menjadi projek merompak rakyat sebagaimana Lebuh Raya Damansara-Puchong.

“Objektif untuk mengurangkan kesesakan di LDP sangat baik. Namun, adakah ia akan menjadi satu lagi LDP yang merompak rakyat demi keuntungan melampau syarikat konsesi?

“Kos besar pembinaan LDP dianggarkan RM1.3 bilion, sementara unjuran keuntungan selepas cukai sepanjang 30 tahun konsesi sejumlah RM18.9 bilion; iaitu 14 kali ganda nilai pelaburan kos,” kata mereka.

KIDEX adalah projek lebuhraya bertingkat sepanjang 14.9km bernilai RM2.42 bilion dan dijangka pembinaannya bermula awal tahun depan.

Ia dianugerahkan kepada kroni Umno BN, iaitu Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd yang mempunyai hubungan dengan peguam UMNO Datuk Hafarizam Harun dan isteri bekas ketua hakim negara Tun Zaki Azmi.

“Sama ada ia adalah ‘anugerah politik’ masih boleh didebatkan, namun ada satu perkara yang pasti – kita masih belum melihat perjanjian konsesi. Berapa lamakah tempoh konsesi? Berapa pula kadar tolnya? Dan kadar tol itu akan dikira berdasarkan apa?” soal mereka.

Sehubungan itu, mereka menyeru menyeru Low yang juga bekas Presiden Transparency International – Malaysia (TI-M) agar mengotakan janji memperjuangkan ketelusan dan integriti, dengan mendesak kerajaan mendedahkan perjanjian konsesi itu.

Menurut ahli-ahli Parlimen DAP itu, sejak menjadi menteri Low kerap memperkatakan tentang kepentingan membuka akses maklumat serta mempertikaikan sebab konsesi lebuhraya diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), maka kini beliau mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu yang utuh dengan KIDEX. – Roketkini.com