Kepada anak-anak muda Malaysia yang prihatin,
Pada Sabtu lalu, kami sekumpulan orang dewasa amat bangga dengan kehadiran anda di pinggir pantai selatan Semenanjung untuk menyahut seruan menghidupkan satu impian yang telah terhakis oleh sikap tamak dan tidak peduli manusia. Hakisan yang dimaksudkan itu ialah kemusnahan paya bakau di pantai Pontian, Johor.
Kawasan itu hanyalah satu kawasan yang amat kecil berbanding kemusnahan paya bakau yang sedang berlaku di seluruh negara kita. Kemusnahan itu berlaku kerana sekumpulan manusia dewasa yang mempunyai kuasa – sama ada kerajaan, pihak berkuasa tempatan, korporat kapitalis atau kroni-kroni mereka – telah memusnahkan paya bakau semata-mata mahu mengaut keuntungan.
Seperti yang kita tahu, paya bakau amat penting dalam hidup kita kerana ia mampu menyelamatkan nyawa kita dan keluarga kita. Ia berfungsi melawan hakisan, ia melindungi pantai dan kuala sungai, dan ia menjadi tempat pembiakan ikan dan hidupan laut. Maksudnya, hutan dan paya bakau memberi nelayan dan petani sumber pendapatan, dan memberi kita semua sumber makanan.
Jika hutan dan paya bakau begitu penting dalam kehidupan kita, mengapa ada orang mahu memusnahkannya? Seperti yang dikatakan awal tadi, mereka merosakkan bakau kerana hanya mementingkan keuntungan. Malah, mereka yang berkuasa memberitahu rakyat kononnya memusnahkan paya bakau dapat memberi kita pembangunan. Tetapi pembangunan apa? Siapa yang menentukan pembangunan?
Dalam hidup ini, hanya orang dewasa yang boleh mendapat kuasa. Hanya orang dewasa boleh memilih untuk melakukan kebaikan atau keburukan untuk rakyat. Jika rakyat membiarkan sahaja, maka orang dewasa yang berkuasa akan melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan rakyat.
Anak-anak muda Malaysia,
Kawan-kawan anda di Johor telah meluangkan masa hujung minggu mereka untuk bersama beberapa rakan NGO alam sekitar bagi menyelamatkan serta menghidupkan kembali hutan paya bakau di negeri Darul Takzim itu. Kawan-kawan anda adalah remaja yang berusia di antara 13 dan 17 tahun. Mereka tidak rela alam sekitar mereka dicabul oleh golongan yang berkuasa.
Sehingga kini, suara anak muda dan NGO yang prihatin kepada alam sekitar tidak begitu dipedulikan oleh kerajaan yang berkuasa. Bukan sahaja paya bakau di Johor, malah masalah alam sekitar berlaku di banyak tempat di negara kita, dan kebanyakannya berpunca daripada manusia dan bukannya bencana alam semula jadi.
Sejak berpuluh tahun lamanya perjuangan mempertahan dan melindungi alam sekitar telah dilakukan tetapi kejayaannya tidak banyak. Lebih banyak kemusnahan alam sekitar berlaku atas nama pembangunan. Malah, pihak yang berkuasa menggunakan media yang mereka kawal untuk menyebarkan fitnah terhadap pejuang alam sekitar, kononnya mereka ini adalah anti-pembangunan.
Memang kemusnahan alam sekitar berlaku kerana pihak yang berkuasa meletakkan keuntungan lebih penting daripada manusia. Memang orang dewasa yang berkuasa yang melakukan perkara yang buruk ini.
Para remaja Malaysia,
Hanya anda sebagai anak-anak muda menjadi harapan rakyat. Semoga anda berjaya dalam pelajaran anda serta dapat mengumpul pengalaman hidup bersama rakyat yang ditindas serta dipinggirkan. Semoga anda sedar bahawa pelajaran sahaja tidak cukup tanpa rasa hati yang simpati terhadap golongan yang menjadi mangsa pihak berkuasa.
Semoga anda tidak menjadi manusia yang korup, rasuah, menyalahgunakan kuasa dan rasis apabila anda dewasa nanti. Belajarlah mulai sekarang untuk memastikan anda tidak mengikut jejak langkah orang dewasa yang berkuasa tetapi menyalahgunakan kuasa mereka.
Kuasa akan berada di tangan anda tidak lama, wahai anak-anak muda Malaysia. Gunakanlah untuk menyelamatkan Malaysia yang tercinta ini. Jangan ulangi kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang sedang berlaku sekarang.
Impian menghidupkan semula paya bakau adalah satu daripada jutaan impian rakyat. Impian rakyat adalah usaha memperkasakan rakyat. Dan inilah asas kepada Impian Malaysia di mana prinsipnya adalah Malaysia adalah milik kita bersama. – Roketkini.com