Berita

DAP tawar ‘tadika hudud’ untuk MCA

KUALA LUMPUR, 11 APR: DAP hari ini menawarkan khidmat ‘kursus tadika’ kepada MCA yang tidak henti-henti mempersoalkan pendirian DAP dalam isu Hudud.

Kerua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pendirian parti tentang hudud tidak pernah berubah bahawa hukuman itu tidak sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

“Hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan ia juga bukan sebahagian daripada agenda mahupun dasar bersama Pakatan Rakyat (PR). Pendirian kita jelas dan tetap sama bagi semua pemimpin dan Ahli Parlimen DAP.

“MCA mahu tahu pendirian DAP? Saya sarankan mereka baca semula kenyataan-kenyataan kami sebelum ini, banyak ada dalam arkib.

“Kami juga bersedia memberikan MCA termasuk Presiden dan Timbalan Presiden mereka kursus tadika mengenai pendirian DAP tentang hudud dan beberapa perkara lain secara percuma,” katanya dengan sinis.

Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu juga menegaskan kesemua parti dalam PR menghormati perbezaan pandangan.

“Setiap individu dalam PR mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka yang berbeza mengenai sesetengah isu,” tambah beliau.

Beberapa pimpinan MCA baru-baru ini, termasuk Timbalan Presiden Wee Ka Siong, telah sekali lagi mencabar DAP supaya menyatakan pendirian berhubung tindakan kerajaan Kelantan untuk membentangkan pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu.

Dalam satu kenyataan, Wee mendakwa pendirian perlu dijelaskan kerana lebih 80 peratus pengundi Cina telah memberikan mandat kepada DAP dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 lalu. – Roketkini.com