Rencana

Kassim Ahmad: Pengarang, sebelum hal-hal yang lain – Aedi Asri

i

‘Beri aku lidah

aku mau berkata-kata

seperti laut yang menghempas

di pantai merdeka’

Berikut adalah bait sajak bertajuk “Pidato”, yang ditulis Kassim Ahmad sekitar tahun 60-an. Pada usia muda ketika itu, dia tentulah tidak bermaksud untuk meminta-minta daripada sesiapa, apatah lagi ‘lidah’ itu adalah miliknya sendiri. Permintaan itu mungkin hanyalah satu amaran kepada semua yang membaca, bahawa dia akan menggunakan ‘lidah’ itu untuk menyuarakan fikirannya, walau pun ia akan menghempas tiang, lantai, dinding dan bumbung tempat masyarakatnya bertapak.

Betapa Kassim tidak pernah berkira-kira untuk menggunakan lidahnya. Sejak mula bergiat dalam Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), menyertai Umno pada 1980an, hinggalah ketika seminar pemikirannya Februari lalu.

Melalui kritik sastera ke atas Hikayat Sejarah Melayu, lidahnya mengubah tanggapan masyarakat terhadap watak Hang Tuah dan Hang Jebat yang sekian lama tertanam dalam diri orang Melayu. Melalui Hadis: Satu Penilaian Semula pula, lidahnya menggoncang tradisi beragama yang dipegang beratus tahun lamanya.

Secara peribadi, saya bukanlah peminat pemikiran Kassim, sama ada tentang agama, politik atau isu antarabangsa. Lebih kepada kurang mengamati, sebenarnya, daripada tidak bersetuju. Tetapi bagi saya, Kassim adalah antara penyair paling ‘kuat’ yang dilahirkan Malaysia pada abad lalu.

Tolak ketepi baris “Tuhan sudah mati” dalam sajak “Sidang Roh”, yang entah kenapa menjadi peluru untuk menuduhnya menolak Tuhan, walau pun sudah diterangkan awal-awal lagi supaya “kau jangan mengatheis.” Baca sahaja sajak “Dialog (rindu ibu)” – baris “sekian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam durhaka” sudah cukup untuk memijak-mijak sajak-sajak poyo-pseudo-proletar yang ditulis hari ini.

Tetapi itulah, orang lebih mengenalinya sebagai ‘anti-hadis’. Pada masa sama, pendapat Kassim juga banyak yang sukar diterima – misalnya pujaan dan pandangan mengenai Saddam Hussein dan Lyndon Larouche yang amat semberono (rujuk bab 20 memoirnya, Mencari Jalan Pulang).

Daripada apa yang saya kutip daripada memoir itu, Kassim sangat mencintai kemanusiaan. Masa dan usianya dihabiskan untuk tindakan dan aksi yang lahir daripada rasa itu. Malangnya, tiada sesiapa yang menyedarkannya, bahawa dia pertama-tamanya adalah sasterawan, dan lebih berkesan sebagai sasterawan. Bayangkan manfaatnya kepada dunia, sastera, dan bahasa jika dia lebih banyak duduk di meja dan mengarang karya sastera dan kritik sastera.

Kini, karya-karyanya yang tidak banyak itu terpinggir daripada arus sastera. Sajaknya tidak dibaca dan dibincangkan. Yang tinggal hanya “Tuhan sudah mati…”

ii

Nama Kassim yang tenggelam sejak sekian lama muncul semula ketika sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-80. Lidahnya kembali berkata dan kali ini ia tidak begitu bernasib baik lagi. Penguasa agama abad ke-21 lebih gila daripada sebelumnya.

Petang 26 Mac lalu, Kassim ditahan di rumahnya di Kulim, Kedah. Keesokannya, Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya mendakwanya mengikut Seksyen 7 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 dengan dua pertuduhan – menghina Islam dan mengingkari penguasa agama kerana memetik kandungan buku yang diharamkan.

“Hah, perbezaan pendapat salah? Ini tamadun apa?” latah Kassim pada hari itu. “Ini hutan rimba punya undang-undang! Gila! Cakap kepada mereka, gila, gila, kamu gila!” Lidah yang merupakan senjata utama bagi seorang pemikir telah disekat. Tidak susah untuk memahami amuknya.

Namun, sejauh saya meyakini tindakan menahannya salah dan ingin membelanya, saya tidak dapat mengelak daripada melihat peristiwa itu sebagai ironi yang kejam dan menyedihkan.

Kassim Ahmad berpegang dengan prinsip “mudarat kecil bagi menghalang mudarat besar,” asasnya untuk setuju dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dia menerangkan hal ini dalam memoirnya dengan memetik kisah Nabi Musa yang berguru dengan Nabi Khidir.

Secara ringkas, ia tentang Musa yang ingin berguru dengan Khidir. Khidir setuju, dengan syarat Musa tidak mempersoalkan tindakannya.

Maka dalam perjalanan mereka, Khidir merosakkan tongkang baru milik nelayan miskin, membunuh seorang pemuda dan enggan meminta upah membaiki tembok di satu tempat, walau pun permintaannya untuk mendapatkan makanan ditolak penduduk di situ pada mulanya.

Khidir kemudian menjelaskan sebab-sebab tindakannya kepada Musa. Jawabnya, tongkang itu jika tidak dirosakkan akan dirampas oleh seorang raja, pemuda itu pula berkemungkinan membawa kesusahan dan tidak menderhakai ibu-bapanya yang warak, dan dia membaiki tembok itu untuk melindungi harta milik dua anak yatim yang tersembunyi di bawahnya (Quran, 18: 60–82).

Tetapi kerajaan bukanlah nabi yang menerima wahyu Tuhan. Malah sangat mudah untuk menyalahgunakan kuasa, seperti yang Kassim lihat sendiri sepanjang dia terlibat secara langsung dalam politik.

Lagi pun, tidakkah dia sedar, penguasa agama boleh sahaja menggunakan alasan sama berhubung penahanannya? (Alasan mereka, bagi mengelakkan idea Kassim tersebar kepada orang ramai. Tulisan ini tidak bertujuan membincangkan alasan itu atau kebisuan pejuang-pejuang kebebasan yang seperti takut dikaitkan dengan Kassim.)

Sebagai seorang yang sepanjang hidupnya ‘mencari’, dia sepatutnya memegang kebenaran (atau prinsip, ideologi) yang diyakini kuat-kuat, walaupun akhirnya menimpa batang tubuhnya. Sesuatu yang dianggap adil, kekal adil – meski pun berbalik dan menghenyak  diri sendiri.

Malangnya, undang-undang yang dibenarkan Kassim untuk melakukan mudarat kecil kini tiba-tiba berubah wajah menjadi “undang-undang rimba” dan “gila” apabila yang menjadi mangsa adalah diri sendiri. Sukar menerima kontradiksi jenis ini.

Ia mengingatkan saya tentang idea bahawa kita menunjukkan reaksi sebenar apabila sesuatu hal itu menimpa diri sendiri. Tepat sekali,  dan nampaknya ia terpakai kepada semua, tanpa mengira sama ada kuli bawahan, pemimpin kerajaan, budak tidak tamat sekolah atau pemikir besar. Selama mana namanya manusia.

 

iii

“Yang mengganggu pengarang itu banyak. Umpamanya, pada Pak Arenawati: bau belacan bakar di dapur. Pada Pak Asraf: alunan lagu keroncong di rumah jiran. Pada Pak Sako: rentak joget moden di radio. Dan pada Usman Awang: bunyi loceng penjual aiskrim di depan rumah. Namun, karangan mesti disiapkan juga.”

                                                                   – Catatan (Latiff Mohidin, halaman 10)

Kassim pernah menyebut sebelum ini bahawa dia ada beberapa tulisan yang ingin disiap dan diterbitkan sebelum Tuhan memanggilnya. Dia juga pernah menulis tentang sebuah kumpulan sajak yang patut terbit pada 2008, serta novel yang ditulis sepanjang dalam tahanan ISA (1976–1981) bertajuk Zaman Pancaroba.

Sudah terlalu banyak hal yang mengganggunya sebagai seorang pengarang. Semoga keinginannya untuk menyiapkan tulisan-tulisan itu tercapai dan dua karyanya berjaya diterbitkan. Kassim Ahmad perlu dilihat kembali sebagai KASSIM AHMAD –  kerana segala label dan kaitan seperti ‘anti-hadis’, PSRM, Umno, dan gerakan Larouche hadir selepas, malah duduknya di bawah, nama itu. – Roketkini.com