Berita

Kit Siang gesa KPN letak jawatan jika tidak sedia tegak undang-undang

KUALA LUMPUR, 12 APRIIL: DAP menggesa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya meletakkan jawatan jika beliau tidak bersedia untuk menegakkan undang-undang dalam kes penculikan kanak-kanak di Seremban, baru-baru ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kegagalan dan keengganan Khalid jelas menunjukkan sikap yang tidak bertanggungawab walaupun satu laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa S Deepa bahawa anaknya telah dilarikan oleh bekas suami setelah S Deepa memenangi hak penjagaan melalui mahkamah sivil.

“Saya bersetuju dengan bekas Menteri Undang-Undang Datuk Seri Nazri Aziz bahawa KPN telah melakukan kesilapan dengan menganggap bahawa undang-undang syariah membenarkan seorang mualaf menculik anaknya selepas kehilangan hak penjagaan kepada ibu,” ujar Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga mengingatkan bahawa KPN telah bersumpah untuk menegakkan undang-undang dan Perlembagaan, maka beliau perlu mengambil tindakan segera serta memastikan anak yang ‘diculik’ itu dikembalikan ke pangkuan ibunya.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Seremban telah memberikan S Deepa hak penjagaan penuh ke atas kedua-dua anaknya kerana perkahwinan beliau dengan N Viran pada 2004 adalah perkahwinan sivil dan tidak tertakluk di bawah undang-undang syariah.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof juga membenarkan beliau untuk menceraikan Viran yang memeluk agama Islam pada 2012 dan telah bertukar nama kepada Izwan Abdullah. -Roketkini.com