Sastera

Terang Bukit Bintang I – Hafiz Zainuddin

Dia nekad mahu berhenti jadi nelayan. Dia tahu orang yang tidak ada kelulusan SPM sepertinya tidak semesti perlu mengabdi seluruh hidup kepada laut atau tukang rumah atau mengambil upah mengait sawit. Ramai teman-teman sekampung yang tidak ada SPM berjaya hidup mewah di Kuala Lumpur.

Mohamad Syukor bin Mat Rasid. Dia masih ingat kepulangan kawan sekampung yang dulunya kaki ponteng sekolah, Razak yang menjadi buah mulut orang kampung sebab pulang berhari raya memakai Satria Neo. Tahun berikutnya, Razak atau Zack, pulang berhari raya memakai Swift pula. Dua-dua plat W.

“Kau di KL kerja apa?” tanya Syukor.

“Aku jual tuala wanita…,” jawab Zack.

“Tuala wanita???”

“Yep, tapi bukan jual dekat kedai runcit. Ni tuala wanita special. Ada pattern di 180 buah negara. Ada ion negatif, infra-red dan aktif oksigen. Bagus untuk kesihatan wanita. Bantu kurangkan risiko kanser rahim.  Nak jual benda ni bukan kena pandai jual air liur saja, aku jugak kena jual sistem dia. Kau pernah dengar Multi Level Marketing?

“Tak…”

“Mahathir dulu pernah kata bisnes cara MLM ni sesuai untuk penganggur atau tenaga yang tidak digunakan sepenuhnya untuk maju demi mencapai Wawasan 2020,” kata Zack bersungguh tak kalah macam ahli politik yang sedang berceramah.

“Tapi aku turun laut, tenaga aku guna semua…”

“Jangan bertapi, orang bertapi selalu rugi. Jadilah bangsa berpandangan jauh..”

“Tapi kalau tak ada orang macam aku, yang turun kelaut lepas subuh, yang kadang-kadang sebelum subuh, tak merasa kau ikan tu…”

“Kalau kau tak turun laut, ada orang lain yang buat kerja tu. Apa susah. Kalau kau ada masa malam nanti, kita lepak sini, aku akan cerita macam mana kau boleh jadi jutawan hanya dengan jual tuala wanita.”

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Zack bukannya budak bijak di sekolah. Dia juga sama macam Syukor, sama-sama pernah diherdik bodoh oleh cikgu Matematik masa tingkatan empat, mereka juga tidak sempat ambil SPM gara-gara rasa terjamin hidup main kuda di bandar. Zack boleh dikatakan satu geng dengan Syukor di sekolah. Tapi, sejak dia berhijrah ke Kuala Lumpur duduk di Sentul katanya, hubungan mereka makin renggang. Mereka cuma bertemu setahun dalam sekali dua sahaja. Itu pun masa hari raya atau bila-bila masa yang Zack suka.

Malam itu, Zack dan Syukor bertemu di gerai Pak Mat tepi laut. Sebaik Nescafe tarik sampai di meja, Zack buka gelanggang bercerita panjang bagaimana menjadi jutawan hanya dengan menjual tuala wanita. Berbatang-batang rokok habis dihisap. Syukor hanya mengangguk dan memandang Zack. Dari gayanya, dia tahu Zack benar-benar jujur mahu membantunya keluar dari kemelut kewangan kais pagi makan pagi. Meski begitu, memperlihatkan cara Zack bercerita, Syukor jadi seram sebab dia tak memang tak boleh bercakap semikian rupa. Dia masih ingat masa di sekolah dulu bila Cikgu Zainab memanggilnya ke depan kelas untuk bercerita dalam kelas pidato, dia kelu sampai terkencing. Perkara itu membuatkan Syukor jadi lebih pemalu dari sebelumnya, hinggalah dia ponteng SPM main kuda di bandar.

“Macam mana Syuk?” Zack bertanya, sejam dia bercerita.

“Aku tak boleh,”

“Kenapa tak boleh? Bab modal RM1800 boleh guna duit aku dulu,”

“Bukan pasal duit tapi aku tak minatlah. Kena jumpa orang, kena cakap..”

“Benda tu no hal, boleh dilatih,”

“Bukan itu saja, tapi aku tak minat.”

“Minat boleh slow-slow datang, bila kau ada misi, ada matlamat, segalanya boleh, apa yang kau cakap tu alasan saja!” kata Zack semangat.

“Tak apalah Zack. Aku tak mau lah”

“Terpulang dekat kau, aku bagi jalan je, kau fikirlah lagi ye,”

Syukor mengangguk saja. Perbualan mereka terhenti disitu. Usai dia menolak tawaran Zack. Mereka tidak bertemu lagi. Zack semakin sibuk gamaknya, dengar khabar, makin ramai orang kampungnya jual tuala wanita infra-red itu.

Sudah Sembilan tahun Syukor jadi nelayan. Ini kerja warisan. Ayahnya pula mewarisi pekerjaan itu dari arwah datuknya, Sudin. Malah, moyangnya dulu yang datang dari Riau juga nelayan. Dengan menangkap ikan, biarpun tak seberapa, Syukor mampu menampung belanja ibu dan dua adiknya yang masih bersekolah dan seorang lagi belajar di politeknik jurusan Senibina.

Bila difikir-fikir, dalam usia 28 tahun, rugi kalau terus jadi nelayan sampai tua macm arwah bapanya. Meski begitu, tidak pernah sesekali Syukor memandang rendah pekerjaan menangkap ikan ini. Jika tidak kerana turun kelaut, entah apa pula yang dikerjakan arwah bapanya untuk membeli beras gula menampung hidup sekeluarga.

Manusia memang banyak tapi. Dia mahu hidup lebih senang dari sekarang. Tak perlu susah-susah bangun subuh kelala turun kelaut, tak perlu berhenjut-henjut dilambung ombak, tak perlu bermandi peluh dibakar matahari. Dia nekad untuk bersara dari kerja warisan itu kerana dia ada cita-cita.  Cita-cita yang berkulat tersimpan dalam kotak besi berkunci kalbunya sejak gagal memaut cinta lima tahun dulu. Syukor mahu hijrah ke Kuala Lumpur!

“Mak, aku rasa aku nak kerja lainlah. Nak kerja kat KL”

“Bila masa kamu isi borang kerja? Dah dapat kerja? Kerja kerajaan? Kamu ada PMR saja, kalau kerja kerajaan, mungkin boleh dapat jadi pion…”

“Tak dapat kerja lagi, tak isi apa borang pun,”

“Habis tu nak kerja apa?”

“Entahlah mak,” bersahaja jawab Syukor.

“Kalau macam tu buat apa ke KL? Jauh, macam mana kamu nak makan minum kalau tak kerja, kenapa tak kerja kat Langkawi atau Butterworth saja, kan dekat.”

“Tak tahulah mak. Ikutlah nanti kalau nasib, jadi sekuriti pun jadilah. Sekuriti kat sini gaji kecik. Kat KL boleh dapat RM1500 tak campur elaun-elaun lain macam anak makcik Midah tu.”

Bersambung…