Rencana

Apabila hutan menjadi arang… – Mahdzir Ibrahim

Industri dan teknologi ada sisanya, sisa ini pula ada kesannya dalam pelbagai bentuk dan corak. Kita jarang peduli tentang semua ini kecuali jika terkena pada batang hidung sendiri.

Kesan sisa nadir bumi (rare earth) Lynas dimaklumi kerana terdapat contoh nyata seperti kesan-kesan radioaktif ke atas kesihatan manusia. Begitu juga dengan kerosakan akibat pembalakan atau penerokaan hutan secara haram, akibatnya sangat nyata seperti banjir dan tanah/bangunan runtuh tersembam ke bumi.

Pencemaran air, asap, dan udara pula boleh dihidu, dirasa dan dialami setiap hari. Oleh kerana itulah, barangkali, politikus lebih berminat mendepani isu sedemikian.

Pencemaran yang tersembunyi

Perkara lain berkaitan pencemaran alam seperti hakisan pantai dan kekurangan sumber marin, tidak begitu dirasai kerana kesannya kurang nyata di mata berbanding kesan semua kerosakan yang disebutkan di atas.

Kita hanya akan bising apabila harga ikan mahal atau jika berlaku kekurangan bekalan. Kita hanya akan bising apabila kita tidak dapat berkelah dan bermandi-manda di pantai kerana pantai kotor atau sudah tiada. Malah segelintir kita juga akan mengeluh bila ada nelayan bising tentang nasibnya.

Bising-bising ini kemudiannya senyap apabila kita dihidangkan dengan bekalan ikan import dari Siam dengan harga yang cukup murah. Manakala perkelahan keluarga pula sudah boleh diganti dengan taman-taman tema dengan pakej-pakej percutian yang menarik.

Semua ini adalah kekuatan idea industrialisasi yang ditanam ke dalam minda kita.

Ikan miskin

Ya, harga ikan import memang murah dan bekalannya banyak. Banyak kerana ikan itu sememangnya ikan yang kurang mutunya, yakni ikan ‘miskin’ (istillah di kalangan para nelayan) seperti cencaru, kembung dan selar.

Ikan-ikan gred A (bermutu tinggi) yang diperolehi di perairan kita dieksport ke luar negara dan ikan gred ini semakin berkurangan jumlahnya dalam perairan kita. Hanya nelayan tulen saja yang amat maklum akan hal ini; nelayan ‘lesen terbang’ tak ambil tahu.

Jadi tak hairanlah mengapa kerajaan suka benar mengeksport ikan-ikan bermutu ini berbanding menjualnya di pasaran tempatan.

Nelayan pula, tiada banyak pilihan selain turut menjual hasil tangkapan yang berjumlah kecil ini demi mendapatkan nilai wang yang lebih setara. Jika tidak, penat sahaja yang akan dituai sekembalinya dari laut. Ini hukum dan kuasa pasaran yang amat sukar digugat.

Ikan miskin yang kebanyakannya diimport dari Siam diwar-warkan sebagai murah dan banyak. Ini tidaklah pelik. Benda murah biasanya memang banyak – benda banyak memanglah murah. Masyarakat yang berfikiran ‘ringkas’ pula terus membeli tanpa bersusah-payah memilih, memikir atau menyoal jenis atau mutu ikan-ikan murah dan banyak ini.

Jika ada pun ikan tempatan jenis gred yang baik seperti ikan kerapu atau siakap di pasaran tempatan, kebanyakannya diternak dalam sangkar.

Projek di sana-sini

Penternakan ikan sangkar adalah projek akuakultur yang dipromosikan oleh kerajaan. Maka industri ini berkembang pesat sejak kebelakangan ini. Maklumlah, untuk projek ini kerajaan memberi pelbagai insentif galakan dan nelayan pula tak perlu lagi turun ke laut berpayah bermain ombak badai yang tak menentu.

Menurut perangkaan 2010, industri perikanan akuakultur laut lebih banyak menyumbang kepada nilai keluaran kasar, iaitu RM916.2 juta (62.2%), berbanding perikanan laut yang berjumlah RM382.7 juta (26.0%).

Untuk menjayakan projek industri penternakan ikan akuakultur secara besar-besaran ini, tempat terbaik untuk menternaknya adalah di tepi pantai hutan paya bakau. Dengan kata lain, untuk buat sangkar ikan-ikan ternak jenis A ini, pengusaha perlu terangkan pantai, yakni menebang pokok bakau agar sangkar dapat dibina.

Pokok bakau yang ditebang ini pula boleh dijual untuk dibuat arang, maka ini menjadi satu lagi rangkaian industri kepada industri yang lain. Rantaian ini dilihat cukup ideal.

Kitaran Kerosakan

Namun demikian, rupa-rupanya kitaran industri yang diusahakan ini akhirnya menjadi satu kitaran kemusnahan pantai dan segala isinya.

Kes hakisan pantai akibat kehilangan bakau telah mewujudkan satu keadaan baru. Terdapat tanah orang kampung di pesisir pantai yang memiliki keluasan tanah sebanyak 3 ekar, kini 1 ekar tanahnya di daratan dan 2 ekar lagi sudah menjadi laut!

Kes seperti ini tidak disedari hinggalah air laut singgah bertamu di muka pintu rumah anda.

Hilang tanah bermakna hilang aset ekonomi. Apakah pihak seperti pejabat tanah mengetahui hal ini?

Banyak sebab pokok bakau hilang. Dalam rencana ini kita tumpu dahulu kesan daripada kegilaan industri akuakultur ini.

Menurut laporan Global Ecology and Biogeography 2010, jumlah keluasan hutan paya bakau di Malaysia dicatatkan sebelum ini lebih kurang 505,386 ribu hektar, iaitu 3.7 peratus dari jumlah paya bakau global. Namun, pada tahun 2007, keluasan telah mengecil menjadi sekitar 210,699 hektar.

Johor dicatatkan mempunyai kurang lebih 24,747 hektar hutan paya bakau. Dipercayai, keluasan ini telah berkurangan sebanyak 33-42% sejak 40 tahun kebelakangan ini. Jumlah kehilangan hutan paya bakau ini mungkin tidak penting atau tak seberapa jika dibandingkan dengan hasil yang dituai oleh industri akuakultur, industri tenaga, petroleum termasuk kerja-kerja penambakan laut yang begitu besar ‘duit’nya.

Projek penternakan sebenarnya tidak akan memberi manfaat jangka panjang kepada sumber ternakan ikan, pengusaha dan industri itu sendiri. Kerana, selepas beberapa musim menuai hasil ternakan tersebut, kualiti/zat air dan sumber-sumber semulajadi persekitaran yang menjadi sumber tumbesaran ikan ternak di sarang tersebut akan hilang kerana sumber mineral air ini sebenarnya diperolehi dari hutan paya bakau yang telah ditebang itu.

Apabila ekosistem dan sumber ini hilang, kawasan hutan paya bakau lain pula diteroka untuk ditebang. Akhirnya, gondollah kawasan paya bakau yang ada. Semuanya demi industri yang kita yakini dapat memberi kehidupan yang lebih baik itu.

Industri akuakultur yang diprojekkan oleh kerajaan ini adalah kitaran ekonomi yang diakhiri dengan kemusnahan alam sekitar.

Persoalannya agak mudah, dengan projek akuakultur ini, adakah sumber makanan khususnya sumber protein utama dari sumber marin tempatan untuk rakyat akan terjamin buat 20 atau 50 tahun dari sekarang?

Persoalan masa hadapan seperti ini mungkin sukar untuk kita lihat dan sedari. Kita mungkin terlupa dengan satu pesanan agar bekerjalah seolah-olah kamu mahu hidup selama-lamanya dan beribadatlah seolah-olah kamu akan mati esok hari.

Jika nak hidup selamanya, makmurkan tempat kita diami, bukan rosakkannya. Jika mahu mati esok hari, jangan wariskan kerosakan di muka bumi.

*MAHDZIR IBRAHIM adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Pemuda Sosialis DAP yang juga merupakan seorang peminat seni dan kebudayaan.