Sastera

Dua cerita kontot

Certot 1: Jubah dan khutbah

“Cantik jubah, putih polos menawan. Baru beli?” tanya Kabir teruja.

“Tidak! Aku dapat percuma. Ketua kampung beri,” jawab Radzi.

Radzi memang selalu tenang. Antara dia dan Kabir, dia lebih bertuah. Ayahnya imam. Segala penghormatan yang diterima ayah juga dia terima. Pada dia, segalanya anugerah, semuanya hadiah.

“Untung jadi anak imam ya, Radzi. Ramai yang bersedekah mohon berkah.”

Radzi senyum tak menjawab.

“Bukan senang jadi anak Imam Kabir. Kau perlu menjaga title Imam ayah kau itu lebih dari segalanya.”

Kabir memandang janggut panjang Radzi.

“Apa isi khutbah Jumaat tengahari ni?” Soal Kabir tiba-tiba. “GST!” jawab Radzi. Kabir mengangkat kening sambil mengusapi kumis.

“Iya, khutbah hari ini seksi. Ketua kampung kita yang karang teksnya malam tadi. Tak sabar aku nak membacakannya.”

“GST itu apa?” soal Kabir. “Cukailah!” jawab Radzi segera. “Cukai apa?” tanya Kabir lagi. Radzi mendongak ke langit seketika.

“Aku tak pasti. Itu kau kena tanya sendiri dengan ketua kampung. Ahh! jangan risaulah. Kau jangan alah dengan cukai. Ayah aku itu imam besar. Anak muridnya ramai. Kata dia pada aku malam tadi GST itu halal dan menguntungkan.”

Kabir menjegilkan mata.

“Ehh kau datang awal ke masjid nanti ya. Dengar khutbah yang aku baca.”

“Maaf, Radzi, aku solat Jumaat di Masjid India kampung sebelah. Khutbahnya tentang moral dan adab.”

Certot 2: Tivi, agama dan maruah

Dalam dunia ini tiada yang mudah dan murah. Be positive dan rajin. Pasti you akan berjaya. Ada sesetengah tempat kita perlu membayar untuk buang air. Malahan di sesetengah tempat kita perlu membayar untuk meludah.

“Iya ke, di mana tu?” Hani melayan tivi tiada henti. Sejak malam tadi sampai pagi ini dia masih belum dapat tidur. Dia menemukan sesuatu yang menarik di semua siaran tivi. Semuanya program ceramah dan selebihnya ialah reality TV.

Hani semakin tidak dapat tidur. Otaknya makin ligat bugar. “Apa perlunya semua reality TV ini?” tanya Hani dalam hati.

Dari pencarian imam, menteri, menantu, suami dan sampai ke “bomoh pilihan” pun mahu direality TV-kan. Program ceramah tak sudah-sudah. Tapi hanya ada ceramah motivasi dan agama sahaja. Mengapa pula tiada ceramah politik di tivi?

“Iya tak ya juga. Mengapa pula tiada ceramah agama lain di tivi selain dari ceramah agama rasmi?”

Hani masih memengang erat romote control tivi. Telapak tangannya basah. Jemarinya peluh. Dia terkenang resah teman-temannya. Mereka rata-rata keluh kecewa kerana ketiadaan ceramah Buddhisme dan Hinduisme. Malah gereja dan paderi pun jadi musuh di tivi.

“Kasihan mereka…” Tiba-tiba suara Eddie Vadder kedengaran. Melodi “State of Love and Trust” jadi pemecah hening. Hani bingkas menjawab panggilan.

“Hello… Hani, tutup tivi sekarang. Jangan mononton tivi lagi. Ustaz I cakap tivi bahaya. Tivi haram….”

Haaa.