Berita

Puluhan ribu hadir ucap selamat jalan buat Karpal

BERITA

GEORGETOWN, 20 APR: Orang ramai mula memenuhi Dewan Sri Pinang dan kawasan sekitar Gurney Drive di sini seawal jam 8 pagi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh DAP Karpal Singh.

Pimpinan dari seluruh negara turut tiba awal, antaranya Speaker Dewan Udangan Negeri Selangor Hannah Yeoh bersama suami, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan Exco Kerajaan Pulau Pinang Datuk Malek Hussain.

Pintu masuk ke dewan dikawal Pasukan Peronda Sukarela bagi melicinkan perjalanan.

Orang ramai berpusu-pusu mendekati van yang membawa jenazah Karpal sebaik ia tiba di pintu pagar dewan tepat pada jam 8.11 pagi.

Van jenazah dijadualkan untuk diarak ke Krematorium Batu Gantung pada jam 11 melewati tiga tempat penting dalam hidup Karpal, iaitu Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (tempat mula kerjaya peguam), Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (tempat mula kerjaya politik) dan St. Xavier Instution (sekolah).