Berita

Guan Eng hargai ‘semangat harimau’ rakyat

GEORGE TOWN, 21 APR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada ribuan rakyat yang hadir ke majlis pengebumian mendiang Karpal Singh di Dewan Sri Pinang semalam.

Setiausaha Agung DAP itu turut merakamkan penghargaan kepada lebih 3,000 rakyat biasa bermotosikal yang datang atas kemahuan sendiri untuk mengiringi jenazah ke krematorium di Batu Gantong.

Baginya ini jelas menunjukkan bahawa semangat ‘harimau’ Karpal mengalir dalam setiap sanubari mereka.

“Kehadiran 3,000 penunggang motosikal secara spontan ini yang kebanyakannya dari kelas pekerja, boleh dianggap sebagai detik paling bermakna untuk Karpal kerana ia menunjukkan kasih sayang kepadanya sentiasa tesemat dalam hati semua warga Malaysia,” ujarnya.

Kesal polis tak jalankan tugas

Namun begitu, beliau menyatakan rasa kesal dengan tindakan polis yang tidak muncul untuk mengawal kehadiran lautan manusia yang hadir.

Menurutnya, satu siasatan akan dijalankan terhadap ketidakhadiran itu kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran majlis.

Atas sebab itu, beliau memohon maaf kepada hadirin yang datang dari jauh dan dekat tetapi tidak berpeluang memberi penghormatan terakhir.

“Kami berharap orang ramai boleh memaafkan sebarang kelemahan dalam majlis pengebumian tersebut.

“Pihak polis tidak muncul seperti yang dirancang untuk melakukan kawalan di luar Dewan Sri Pinang.

“Kerajaan negeri akan menjalankan post mortem untuk menentukan punca dan sebab mengapa polis tidak hadir seperti dirancang dan berusaha ke arah mengatasi kelemahan yang mungkin menyebabkan sebarang kesulitan kepada orang ramai,” tegasnya. – Roketkini.com