Budaya

Politik dan Orang Berpikir – Muhammad Nazreen

Penyajak Bertolt Brecht pernah menyebut: Jika kita tak fikir pasal politik, politik tetap memikirkan kita!

Senang cerita, hendak atau tidak, kita tak boleh lepas dari politik. Politik tetap berperanan dalam kehidupan kita. Orang menolak untuk ambil tahu tentang politik, sebenarnya dengan cara itu mereka sendiri mengambil sikap politik.

Namun, politik di tahap unggulnya adalah seni yang segala mungkin. Orang berpikir (intelektual) barangkali gagal menahan godaan untuk berpolitik. Mereka beranggapan bahawa politik adalah segala-galanya dan “the end justifies the means.”

Politik, dalam cita-cita ahli falsafah Greek Plato, wajar diterajui oleh orang yang berpikir dan orang yang ada keinginan untuk berfalsafah. Plato mengutarakan konsep ‘philosopher king’ atau orang berpikir sebagai pemimpin.

Intelektual yang baik tidak terlepas untuk membicarakan politik. Menurut Edward Said, pemihakan terhadap golongan tertindas hanya berlaku apabila intelektual ambil tahu untuk terlibat politik.

Sikap pemihakan oleh intelektual yang berpolitik, bukan semestinya baik. Ada kalanya, mereka memilih sikap songsang. Intelektual boleh jadi penindas, jika tidak sebaliknya memilih untuk melawan penindasan. Sesetengah ‘orang berpikir’ ada kegilaan tersendiri.

Dalam syarahan Reith Lecture, anjuran BBC, pada tahun 1994, Edward Said ada menyebut tentang makalah ‘Treason of The Intellectual’ (Pengkhianatan Intelektual) oleh Julien Benda. Makalah ini mengingatkan kita akan bahaya orang intelektual yang di saat agungnya memilih untuk bersama kejahatan.

Edward Said, dalam syarahan yang sama memberi contoh tentang manipulasi golongan pemikir dalam pentadbiran yang zalim. Dia memetik peranan Milton Friedman dan ‘Chicago Boys’ di sebalik kudeta di Chile tahun 1953 ; serta penglibatan Henry Kissinger, bekas setiausaha Amerika Syarikat, sepanjang perang dingin.

Edward turut menyebut tentang Zbiegniew Brezynski, strategis kelahiran Poland yang berkompromi dengan CIA untuk mengukuhkan hegemoni Amerika Syarikat di negara-negara Eropah.

Di saat itu, intelektual atau ‘orang berpikir’ ini merupakan senjata ampuh untuk melebarkan kekuasaan.

Barangkali, mereka lebih diktator daripada diktator, lebih zalim daripada penzalim. Ulasan buku kali ini bertumpu kepada hasil karya Mark Lilla, The Reckless Mind – Intellectuals in Politics.

Mark Lilla, seorang pensyarah sains sosial dan falsafah di salah sebuah universiti “ivy league” di Amerika Syarikat mengkaji pemikiran beberapa intelektual yang berpengaruh dalam lapangan sains sosial dan falsafah moden dan pada masa yang sama berkompromi dengan rejim diktator.

Hal ini amat ironis menurut Lilla. Intelektual, selain mengembangkan wacana tentang idea, secara tak langsung menyumbang ke arah pengukuhan tirani.

Dalam buku tersebut, Lilla bermula dengan pertanyaan falsafah Plato di dalam ‘Lure of Syracruse’ yang berkisar tentang orang berpikir dan godaan politik. Politik dianggap persuasif, mendorong orang falsafah mendekatinya.

Lilla menceritakan perjalanan sejarah pemikir seperti Alexandre Kojeve, Michel Foucault, Martin Heidegger dan Carl Schmitt. Mereka adalah intelektual yang mempunyai kecenderungan untuk berlaku songsang.

Heidegger dan Schmitt misalnya adalah intelektual penting abad ke-19. Tetapi simpati mereka terhadap perjuangan Nazisme tidak ada batasnya.

Heidegger dianggap sebagai pendukung besar parti Nasionalis Jerman dan seorang anti-semitik. Carl Schmitt, pemikir perundangan penting di Jerman, adalah arkitek di belakang cita-cita Hitler untuk menguasai Eropah.

Buku ini adalah ‘ruang terbalik’ buat intelektual dan politik. Lilla meneroka di sebalik kegelapan orang berpikir dalam dunia politik. Politik bukan sahaja alat untuk mencapai keadilan, tetapi di tahap bahayanya adalah sebahagian daripada ancaman terhadap keadilan itu sendiri.

The Reckless Mind: Intellectuals in Politics
Penulis : Mark Lilla
Terbitan: New York Review of Book (2010)