Berita

DAP dan PKR berhak bantah agenda hudud PAS – Gobind

KUALA LUMPUR, 24 APR: DAP dan PKR berhak membantah rancangan PAS untuk memperkenalkan hudud di Kelantan memandangkan PAS membentuk kekuatan bersama kedua-dua parti itu dalam Pakatan ketika PRU lalu.

Kerjasama ketiga-tiga parti itu dalam Pakatan Rakyat membentuk agenda bersama yang tidak melibatkan hudud.

“Jika PAS tetap ingin membawa rang undang-undang untuk melaksanakan hudud di Kelantan, mereka perlu jangkakan tentangan terbuka dan tegas daripada kami,” kata Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, pelaksanaan hudud tidak pernah dipersetujui secara bersama dalam Pakatan Rakyat, sama ada di peringkat nasional mahupun negeri.

Beliau menyangkal kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah hari ini bahawa PAS hanya bersetuju untuk tidak membawa isu hudud di peringkat persekutuan.

“Tidak benar dakwaan PAS itu. Ia adalah alasan lemah untuk menutup kebenaran bahawa selama ini hudud tidak pernah menjadi sebahagian daripada agenda Pakatan, meliputi semua peringkat, seperti yang diumumkan pada tahun 2011.

“DAP tidak akan tunduk dengan ugutan. Kami akan terus membuat dan menyuarakan perkara yang betul kerana pelaksanaan hudud jelas bertentangan dengan Perlembagaan dan agenda Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat seperti yang dilaporkan dalam MStar, pada 14 Mei 2012, telah memutuskan untuk berpegang dengan persetujuan dalam Buku Jingga berhubung hudud, iaitu undang-undang itu tidak termasuk dalam dasar bersama.

Menurut laporan itu lagi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa PAS menghormati perbezaan ideologi dan menumpukan kepada isu-isu yang lebih penting seperti pilihanraya bersih dan adil, berbanding hudud.

Dalam pada itu, Gobind yang juga Pengerusi Biro Undang-undang DAP mengingatkan PAS bahawa sokongan besar rakyat kepada Pakatan dalam PRU lalu adalah disebabkan agenda bersama seperti melawan rasuah dan salah laku kerajaan, bukannya pelaksanaan hudud. – Roketkini.com