KUALA LUMPUR, 24 APR: Berdasarkan keputusan lalu, Pakatan Rakyat pasti tidak akan menang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang serta membetulkan segala salah laku Barisan Nasional (BN) jika PAS tetap berkeras untuk melaksanakan hudud.
“Berdasarkan PRU-PRU lalu, isu hudud tidak pernah dan tidak akan membawa kemenangan kepada PAS,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Katanya lagi, jika isu itu dibangkitkan pada PRU 13, bukan sahaja BN akan kembali memperoleh majoriti dua per tiga, malah berkemungkinan mentadbir semula Selangor dan kembali menjadikan Johor sebagai ‘deposit tetap’ mereka.
“Malah pada PRU lalu, PAS dan PKR mendapat empat daripada lapan kerusi Parlimen dan 15 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu tanpa kempen hudud. Tiadanya hudud dalam manifesto di negeri itu tidak menyebabkan PAS hilang apa-apa sokongan di sana,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, ia bertentangan dengan prestasi teruk pembangkang pada PRU pada tahun 2004 dan 2008 selepas enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu diperkenalkan.
“Selepas enakmen diluluskan pada tahun 2001, PAS dan PKR hanya mendapat satu kerusi parlimen dan empat kerusi DUN pada tahun 2004.
“Pada tahun 2008, manifesto PAS Terengganu memasukkan pelaksanaan hudud, namun ia tidak menambahkan undi kepada PAS dan PKR. Sementara sokongan BN di seluruh negara turun sebelas peratus, sokongan di negeri itu hanya turun 0.5 peratus.
“Bukankah ia tanda pengundi di Terengganu lebih mementingkan isu lain berbanding perlaksanaan undang-undang itu?” soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.
Pada PRU ke-12, Pakatan Rakyat buat kali pertama berjaya menafikan majoriti dua per tiga BN dan menubuhkan kerajaan di empat negeri, namun hanya menang satu kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN di Terengganu.
Katanya lagi, Umno BN yang semakin ditolak pasti akan menjadikan hudud sebagai modal mengembalikan kekuatannya, jika terbukti ia dapat menarik sokongan besar masyarakat Melayu.
“Kalau pun kita menjangka sokongan Melayu kepada Pakatan akan meningkat satu peratus, kesan hilangnya sokongan orang bukan-Melayu jauh lebih besar,” katanya lagi.
Hal itu dapat dilihat dalam PRU pada tahun 1999, apabila BN dalam kempennya menggunakan strategi “undi Barisan Alternatif (BA) bermakna setuju dengan pelaksanaan negara Islam,” menyebabkan majoriti masyarakat bukan Melayu-menolak BA, terutama DAP. – Roketkini.com