Berita

Sarawak Energy Berhad tipu, ugut kakitangan demi gagalkan kempen turun tarif elektrik DAP

KUCHING, 24 APR: DAP Negeri menyelar Sarawak Energy Berhad (SEB) yang memutarbelitkan fakta dan menakut-nakutkan pekerjanya agar menolak kempen penurunan tarif elektrik parti itu.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, sebuah risalah yang mengandungi fakta salah dan ugutan telah disebarkan di kalangan kakitangan SEB.

Antara ugutan SEB adalah kononnya 4,000 kakitangannya akan hilang pekerjaan jika penurunan itu dilaksanakan.

“Itu adalah kenyataan paling tidak bertanggungjawab daripada pengurusan tertinggi SEB, menggunakan ugutan untuk mengelak daripada mengemukakan bukti angka bagi menyokong dakwaan mereka,” katanya, seperti yang dilaporkan The Borneo Post.

Beliau juga menyifatkan tuduhan itu sama sekali tidak berasas memandangkan anak syarikat SEB, Syarikat SESCO Berhad sahaja mengaut RM266.6 juta keuntungan sebelum cukai pada tahun 2012.

Justeru, beliau menyatakan kesediaan untuk berdebat secara terbuka dengan menteri berkaitan atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SEB berhubung hal terbabit.

“Saya tidak melihat sebarang sebab mereka perlu bersusah-payah mengeluarkan kos untuk mencetak buku kecil itu demi mengelak berdebat dengan saya. Jika mereka menang, (bukankah) itu cukup untuk menggagalkan keseluruhan kempen DAP?” soalnya lagi.

Bermula hujung Januari lalu, DAP melancarkan kempen mengumpul 100,000 tandatangan menuntut penurunan tarif elektrik sebanyak 30 peratus.

Yang rugi pekerja asing, bukan anak negeri

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata pihak yang akan kerugian jika kempen itu dilaksanakan adalah kakitangan daripada negara luar dalam pentadbiran tertinggi SEB, termasuk CEO yang menikmati gaji dan elaun yang amat besar.

Menurutnya lagi, peratusan gaji dan elaun tahunan enam pegawai asing melebihi tujuh peratus daripada keseluruhan kakitangan SEB, iaitu kira-kira RM10 juta setahun.

“Melalui jumlah itu, kita boleh ambil 100 anak negeri dengan dengan gaji tahunan RM100,000. Tentunya rakyat Sarawak memiliki bakat lebih daripada apa yang ditawarkan enam ekspatriat itu,” kata beliau. – Roketkini.com