Berita

Malam Kenangan Karpal di Johor Ahad ini

BATU PAHAT, 25 APR: Selepas Kuala Lumpur dan Perak, Malam Kenangan Karpal Singh akan diadakan di Johor pada Ahad nanti.

Majlis anjuran DAP Johor itu bermula jam 4 hingga 6 petang, bertempat di Bangunan PKK (Pusat Kebajikan Kalvari), Persisiran Sutera Danga 1, Sutera Utama, di sini.

Selain sebagai penghormatan kepada tokoh itu, majlis juga bagi membolehkan rakan-rakan, penyokong serta orang ramai untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Gan Pek Cheng berkata, ia juga bertujuan mengimbau kembali kata-kata hikmat, peristiwa dan pengorbanan Karpal sepanjang hidupnya – sama ada sebagai pemimpin politik dan peguam terkemuka.

“Mendiang adalah negarawan tersohor dan peguam yang gigih menjalankan kewajipannya sebagai anak bangsa Malaysia serta berpegang teguh kepada prinsip menegakkan keadilan.

“Maka kita perlu meraikan semangat perjuangan beliau yang luar biasa itu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Penggeram itu.

Sehubungan itu, DAP negeri dengan berbesar hati mengalu-alukan tokoh masyarakat, NGO serta seluruh rakyat Johor untuk bersama-sama menghadiri majlis itu.

Acara itu bakal dihadiri Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo selaku wakil keluarga, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Ahli Jawatankuasa Negeri, Ahli-ahli Parlimen dan Adun parti itu serta pimpinan daripada PKR dan PAS.

Ia juga akan diserikan dengan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said atau Pak Samad, yang akan mendeklamasikan puisi beliau. – Roketkini.com