Rencana

PAS dan Hudud – Muhammad Nazreen

Matlamat syariah dan perlaksanaan hukum Islam melalui jalan siyasah adalah cita-cita yang murni. PAS sebagai parti haraki Islam tentu tidak terlepas daripada pegangan ini. Fitrah PAS sebagai parti politik berhaluan Islam untuk menegakkan agama menerusi jalan politik.

Ia merupakan iltizam yang disebut-sebut gerakan harakiyah Islam sebagai ‘Baldatun Toyyibatun Warabbul Ghafur!’

Tidak adil juga untuk PAS sekiranya kita mengenepikan PAS daripada membahas isu-isu agama dan politik. Menyuruh PAS untuk meninggalkan perbincangan tentang hukum Hudud juga perbuatan yang mustahil. Perbuatan ini sama seperti menyuruh orang Sosialis untuk meninggalkan PSM, atau mengharap UMNO untuk membuang slogan ‘Hidup Melayu’ dalam perjuangan mereka.

Namun PAS harus faham bahawa tindakan tergesa-gesa untuk melaksanakan hudud secara tanpa konsensus persetujuan daripada rakan politik adalah langkah yang kurang bijak. PAS perlu berusaha untuk ‘engage’ orang ramai secara politik dan sivil.

PAS memerlukan masa untuk menghuraikan pandangan mereka tentang hudud. Tetapi, PAS juga harus setuju untuk berdialog dan bertengkar secara dalaman. Mereka harus terima pendapat yang menentang dasar mereka.

Adakah PAS yakin bahawa UMNO bersedia untuk bekerjasama dengan mereka dalam isu ini atau sebenarnya ini cuma strategi politik mereka untuk memecah-belahkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat?

Jika benar UMNO sendiri bersetuju dengan Hudud – kenapa Tun Dr.Mahathir suatu ketika dahulu sendiri yang memperlekehkan hukuman Hudud dengan mengatakan ‘jika Hudud dilaksanakan, orang Melayu yang paling ramai hilang tangan!’

Bukankah setegas-tegas mendiang Karpal Singh dengan kata : Islamic state over my dead body! – tidak lebih daripada kegusarannya bahawa perlaksanaan Hudud yang dilihat bertentangan dengan semangat perlembagaan?

Itu sahaja. Karpal Singh tidak pernah berniat memperkecilkan Islam dengan sengaja sepertimana yang dilakukan oleh Mahathir Muhammad dan Chua Soi Lek sebelum ini.

Saya tak tahu adakah PAS ini parti yang bodoh atau mereka terlalu naif. Kedudukan mereka tak ubah seperti “anak kecil yang meraung meronta desak ibu bapa belikan mainan mahal”.

Bukankah ni perbuatan yang sia-sia?

Belajar dari Sejarah

Sebagai parti politik yang berjiwa besar, PAS harus kembali bermuhasabah diri. PAS telah mengalami evolusi pemikiran yang panjang. Sepatutnya, PAS harus lebih matang dengan keadaan dan suasana politik mutakhir.

PAS juga mengalami episod perubahan yang agak lama dan memenatkan. Tidak dapat dinafikan PAS lahir dari rahim perjuangan nasionalisme UMNO. PAS bermula sebagai parti nasionalis di bawah pimpinan Haji Ahmad Fuad dan Dr.Abbas Ellias. Kemudian PAS bertukar menjadi parti nasionalis berhaluan kiri di bawah Dr.Burhanuddin Helmy.

Seterusnya, PAS berubah wajah dengan kembali menjadi pendokong perjuangan nasionalisme kanan di bawah Ustaz Asri Muda. PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1971.

Sekali lagi berlaku perubahan besar di dalam halatuju PAS menerusi kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa. PAS mengalami perubahan ideologi yang sangat ketara. PAS berubah daripada parti nasionalisme di bawah Ustaz Asri Muda kepada model kepimpinan ulama smeasa pemerintahan Yusof Rawa. Kejayaan Revolusi Iran 1979 menumbangkan Shah menyebabkan PAS sebagai gerakan Islam mendapat suntikan motivasi untuk melaksanakan shariah menerusi kepimpinan Islam.

PAS turut mengalami kepimpinan politik yang progresif di bawah Ustaz Fadzil Noor. Perjuangan PAS ketika itu tidak hanya bertumpu dengan isu politik semata-mata – tetapi PAS juga menjadi gerakan dakwah yang prihatin dengan isu-isu madani.

Ramai pemimpin PAS juga datang dari latar aktivisme dan kesukarelawanan. Mereka cenderung untuk melakukan kerja islah sesuai dengan moto perjuangan PAS untuk merakyatkan Islam. Mereka berjuang bukan kerana dunia tetapi atas tuntutan agama. Tidak adil jika kita mahu kritik PAS tanpa tahu latar sejarah dan perjuangan PAS.

Perubahan demi perubahan ini menunjukkan PAS merupakan parti politik yang luas pengalaman sejarah mereka. Namun, mereka tak perlu jadi jumud pemikiran. PAS sendiri menurut hemat penulis adalah parti politik yang meraikan perbezaan pendapat dan berfikiran terbuka untuk berubah.

Saya percaya PAS adalah parti politik yang matang dan berpengalaman, tetapi mereka harus lebih bijak untuk menyusun strategi politik. Cuma satu soalan yang timbul, adakah PAS bersedia untuk kalah di dalam pilihanraya akan datang sekiranya masih berdegil dengan perlaksanaan hudud?

Tetapi PAS harus sedar bahawa ia merupakan parti politik yang dikira penting untuk menumbangkan UMNO di dalam pilihanraya secara demokratik. Namun, kedudukan PAS sebagai tonggak penting gabungan Pakatan Rakyat tidak menjadikan PAS lebih berkuasa berbanding rakan politiknya, DAP dan PKR. PAS harus bijak membaca keadaan semasa.

DAP menolak perlaksanaan Hudud bukan kerana mereka anti-Islam, tetapi kerana percaturan politik PAS untuk menggunakan isu hudud sebagai matlamat siyasi merupakan strategi yang sangat berisiko.

Jika DAP anti-Islam, bukankah DAP sendiri tidak layak untuk menubuhkan parti politik secara sah kerana syarat untuk mendirikan parti politik yang sah adalah dengan menghormati Perlembagaan Persekutuan 1957?

Bukankah sudah terang lagi bersuluh, agama Islam adalah agama rasmi persekutuan yang dipersetujui perlembagaan?

PAS harus lebih matang

Parti politik harus akur bahawa akhirnya nasib mereka ditentukan oleh rakyat. Setiap usaha yang digerakkan oleh parti politik wajar mengambil kira keputusan dan pandangan orang ramai. Akhirnya, orang ramai yang tidak ada kepentingan politik secara langsung inilah yang bakal mengundi untuk mereka untuk pilihanraya akan datang.

PAS juga harus menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum. Mereka ini terdiri daripada kelompok politik, agama dan sosial yang berlainan antara satu sama lain. Memahami kerumitan ini, PAS harus akur bahawa usaha untuk melaksanakan Hudud akan menyusahkan lagi usaha rakan-rakan politiknya untuk menumbangkan UMNO-BN.

PAS ditubuhkan pada tahun 1951. Ini bermakna hampir 60 tahun PAS sudah memperjuangkan cita-cita Islam mereka. Cuba kita fikir kembali – setelah 60 tahun PAS menjadi parti politik, adakah usaha mereka untuk melaksanakan Hudud berjaya?

PAS tidak berhadapan dengan DAP semasa menang dalam pilihanraya umum 1990, seterusnya berjaya menawan Kelantan. Kritikan penting terhadap perlaksanaan hudud di Kelantan datang daripada pakar shariah sendiri.

Dr. Hashim Kamali menulis kritikan lengkap terhadap Bil Hudud Kelantan di dalam bukunya “Punishment in Islamic Law : An Enquiry into the Hudud Bill of Kelantan”. Mengapa tokoh ilmuwan Islam sendiri menentang usaha tergesa-gesa PAS untuk melaksanakan enakmen Hudud negeri Kelantan?

PAS juga harus belajar daripada pengalaman pilihanraya umum 2004. Kedegilan PAS untuk mendirikan negara Islam menyebabkan Barisan Alternatif berpecah. DAP mengumumkan untuk menarik diri pada tahun 2001. Adakah PAS mampu menang besar dalam pilihanraya tanpa kerjasama dari DAP dan PKR?

Kenapa Hudud masih tidak sesuai dilaksanakan?

DAP tidak menentang Hudud kerana majoriti pemimpin mereka bukan beragama Islam. DAP tak pernah anti Islam. Jika tak percaya, kita boleh lihat sendiri bagaimana cara DAP mentadbir Pulau Pinang. Kalau benar DAP anti Islam – kenapa peruntukan untuk agama Islam meningkat setiap tahun?

Sebab utama DAP membantah perlaksanaan Hudud adalah kerana menghormati semangat perlembagaan. Mungkin mereka tersilap. Alasan DAP untuk menolak cadangan PAS adalah berdasarkan bukti dan kajian yang kukuh.

Menurut kajian yang dilakukan, Pakatan Rakyat bakal berdepan kekalahan dalam pilihanraya akan datang di Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka sekiranya PAS mahu meneruskan agenda Hudud.

Di Perak, Pakatan dijangka akan memenangi kurang daripada 17 kerusi dengan penurunan undi sebanyak 20% di kalangan pengundi bukan Islam. DAP bakal berdepan kekalahan sekiranya Hudud menjadi agenda PAS kerana DAP hanya mampu untuk memenangi 14 kerusi berbanding 18 kerusi yang dimilikinya kini.

Di Pahang, Pakatan Rakyat memenangi 12 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pakatan Rakyat akan kehilangan 8 kerusi sekiranya berlaku penurunan 20% di kalangan pengundi bukan Islam sekiranya Hudud dilaksanakan. DAP hanya mampu mempertahankan 2 kerusi daripada 7 kerusi yang dimenanginya di Pahang dalam PRU ke 13.

Di Negeri Sembilan, Pakatan Rakyat menang 14 daripada 36 kerusi DUN dengan kemenangan sebanyak 39%. Pakatan turut berjaya menidakkan majoriti 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri. Sekiranya DAP menyokong perlaksanaan Hudud, DAP bakal kehilangan 5 kerusi di Negeri Sembilan dengan kadar penurunan undi bukan Islam sebanyak 20%.

Hakikat politik di Malaysia menunjukkan Hudud masih belum dapat dijalankan. Kita harus beza antara menolak Hudud kerana anti Islam atau menolak Hudud sebagai bukan keutamaan semasa.

Penulis percaya PAS akan terus maju ke hadapan bersama Pakatan Rakyat. PAS adalah parti politik penting yang merupakan sebahagian daripada harapan besar rakyat Malaysia untuk mencipta sejarah baru. Kita harap bahawa PAS akan mempertimbangkan semual cadangan untuk melaksanakan hudud.