Rencana

Ingatan Buat Karpal Singh Dari Generasi Anak-Anak Kecil Malaysia – Ahmad Tajuddin Abdullah

Dalam seminggu dua ini, kesedihan kehilangan seorang pemimpin dari kumpulan yang sangat minoriti di tanah air ini nyata mengejutkan ramai orang. Mendiang Karpal Singh bukan datang dari kulit yang bernama Melayu, namun gambaran kesedihan orang ramai tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan ketika menerima berita kematian beliau dan ketika menghadiri perjalanan terakhir beliau di dunia ini, nyata begitu mengejutkan.

Mungkin ada Melayu yang dalam hatinya, merasa iri hati dengan limpahan kasih sayang rakyat Malaysia terhadap Karpal Singh – yang sudah pasti hal ini tidak pernah diduga sebelum ini. Bermula dari hari pertama berita kematian beliau, kita di hidangi dengan ucapan-ucapan yang meloyakan dan penuh kebencian daripada beberapa orang Melayu yang merasakan mereka sudah diberi kunci syurga oleh tuhan.

Mendiang Karpal Singh sudah selamat disemadikan, setelah berpuluh tahun beliau menghabiskan segala yang beliau ada untuk menjadikan cita-cita Malaysia yang lebih baik tercapai, bukan sekadar wang ringgit, masa atau tenaga malah fizikalnya turut diperah bermula dari boleh berdiri dengan kakinya sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda, untuk menggapai cita-cita murni ini.

Beliau hidup dengan nama Karpal Singh. Sesiapa yang pernah mengenal beliau, bekerja dengan beliau, pernah berbual dengan beliau sudah pasti sangat kenal bagaimana tuhan menjadikan beliau dalam seharian hidupnya, yang dilingkari dengan urusan keluarganya, politiknya dan kerjayanya selaku orang yang siang dan malamnya bermadah undang-undang.

Namun begitu, ketika nama Karpal Singh menjadi topik trending di Twitter lantaran berita pemergiannya yang mengejut, masih ramai tertanya-tanya siapakah gerangan nya lelaki ini sehinggakan kematiannya ditangisi ramai pihak. Ramai yang tertanya-tanya itu adalah dalam kalangan generasi anak-anak kecil Malaysia yang tidak begitu mengenali nama Karpal Singh sebagaimana mereka mendengar laungan kalimah 1Malaysia.

Apa yang mereka kenal tentang Karpal Singh cuma lah sebaris ungkapan lama yang begitu popular dalam media pro-UMNO iaitu langkah mayat ku. Mereka membesar dengan mengenali sosok Karpal Singh sebagai seorang yang begitu anti Islam. Anak-anak kecil generasi baru ramai yang begini. Penulis sendiri, tidak terkecuali, adalah antara yang pernah tergolong dalam kalangan yang beranggapan begitu.

Saya tidak pernah mengenali Karpal Singh sebagaimana penulis mengenali sosok Lim Kit Siang. Saya tidak pernah membaca sebarang tulisannya, atau buku yang mengumpulkan buah fikirnya, atau ucapan-ucapannya, atau bertemu dengan beliau sendiri. Pemergiannya yang begitu mengejut, yang seolah-olah memberi tamparan kepada diri sendiri betapa bersalah nya saya yang tidak cuba belajar untuk mengenali sosok tokoh ini ketika hidupnya.

Namun kini beliau sudah pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Mungkin tulisan ini tidak lebih dari percubaan saya untuk mengimbau sedikit sebanyak ingatan terhadap mendiang. Mungkin ini juga antara usaha saya untuk menceritakan dan mengingati segala yang baik tentang sosok yang sudah pergi. Memang tidak banyak untuk diceritakan. Dengan keadaan suasana media yang tidak kerap menyebelahi mendiang Karpal Singh ketika hidupnya, maka itulah wajah Karpal Singh yang saya dan ramai lagi generasi anak-anak kecil Malaysia mengenali beliau.

Wajah sebenar sosok ini wajar diceritakan semula secara inklusif kepada generasi anak-anak kecil Malaysia. Mereka punya hak untuk mengenali dan belajar sesuatu dari sosok pemimpin yang teguh prinsip dan peribadinya. Apabila ramai orang menceritakan kebaikan mendiang selepas pemergiannya, timbul rasa sesal kerana tidak cuba mengambil peluang untuk bertemu dengan beliau sendiri semasa hidup, padahal ia sangat boleh dibuat jika mahu.

Kisahnya yang tidak penat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan perundangan dan perlembagaan negara begitu unik kedengarannya. Tidak ramai lagi manusia yang prolifik, yang punya pangkat besar mampu berbuat sedemikian umpama mendiang Karpal. Utuh nya beliau dengan ketinggian dan kemuliaan Perlembagaan Malaysia terungkap dalam kalam terakhir di hari terakhir beliau di Parlimen.

Kisah beliau dengan polemik hudud, juga antara bukti tiada siapa pun boleh cuba mempermainkan perlembagaan negara. Polemik beliau dengan hudud yang diperjuangkan oleh PAS, dan UMNO secara olok-olok mutakhir ini bukti kukuh, untuk berhujah dengan beliau perlulah mengkhatamkan dulu kitab perlembagaan negara.

Saya sedar, polemik ini juga turut paling banyak menyumbang kepada kebencian umat Melayu kepada Karpal – secara sentimen buta yang dibentuk oleh media UMNO. Jika ada kekesalan yang boleh diungkapkan, sudah pasti saya akan mengambil bahagian ini sebagai sejarah yang paling dikesali dalam sepanjang kisah hidup beliau, yang amat wajib disoroti semula oleh generasi baru Malaysia supaya tidak terus tertipu dengan manipulasi media yang tidak beretika.

Mungkin ini lumrah dunia, segala kebaikan seseorang itu cuma terungkap setelah seseorang yang baik itu meninggalkan dunia buat selama-lamanya. Jarang sekali masyarakat menyingkap kebaikan yang seseorang lakukan ketika dirinya masih segar bugar di dunia, melainkan jika seseorang itu pangkatnya Perdana Menteri atau raja-raja, yang ketika hidupnya dunia sekeliling mereka seolah tidak kenal erti lelah memuji melangit barang sedikit kebaikan yang mereka lakukan.

Itulah Karpal Singh. Nyata begitu benar lumrah dunia yang diungkapkan di sini. Kebaikan beliau cuma berani disebut dalam media-media selepas beliau sudah pergi. Kebaikan beliau mempertahankan maruah anak Muslim di Singapura yang mahu bertudung ke sekolah hanya disebut dan diulang-ulang setelah beliau tiada. Kebaikan beliau memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan undang-undang sehingga meringkuk dalam penjara cuma diungkap oleh media dalam sehari dua ini.

Kebaikan beliau untuk berkata benar terhadap si raja yang menumpang kaki dalam menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, dalam pada ketika itu semua mereka yang lain sudah kecut perut pun hanya diungkapkan setelah beliau sudah tiada.

Membaca tribute demi tribute, yang ditulis oleh rakan dan lawan ketika mendiang hidup, melengkapkan lagi rasa kesal kerana tidak berkesempatan untuk bertemu dan menyapa beliau ketika hidup. Membaca penghargaan-penghargaan mereka terhadap mendiang Karpal untuk apa yang telah belia lakukan ketika hidupnya, memberi gambaran bahawa sumbangan dan jasa beliau bukanlah boleh dipandang sepi begitu sahaja oleh sejarah dan bangsa Malaysia.

Alangkah ruginya generasi anak-anak kecil Malaysia yang tidak mengenal siapa beliau ketika beliau masih lagi bersama dengan kita di dunia ini.

Alangkah ruginya apabila hampir 2 dekad umur kebanyakan generasi-Y negara ini dicemoloti dengan kisah penuh bobrok mengenai mendiang Karpal Singh, tanpa ada peluang untuk belajar sesuatu dari sosok yang penuh berprinsip ini.

Alangkah ruginya generasi anak-anak kecil Malaysia cuma diajar untuk mengenal beberapa sosok ahli politik negara yang saban hari bergulat dengan cerita rasuah dan kejelikan akhlak.
Alangkah baiknya jikalau ada pihak yang sudi untuk mempotretkan kisah mendiang Karpal Singh untuk menjadi tatapan dan pengajaran kepada generasi anak-anak kecil Malaysia, agar mereka membesar dan mengenali siapakah sosok yang penuh karismatik ini, yang barang sekali tidak berenggang dengan kitab perlembagaan, dan paling indah, sosok ini sehingga saat nyawanya yang terakhir masih terus berpegang dengan cita-citanya yang mahu negara Malaysia menjadi lebih baik untuk sekalian warganya.

Tenanglah wahai mendiang Karpal Singh, sesungguhnya memori dan cita-cita anda sudah pasti akan diteruskan dan digagahi oleh generasi anak-anak kecil Malaysia!