Rencana

Bahasa Terjajah – Edry Faizal

“Bahasa penjajah,” demikianlah gelaran yang diberikan seorang teman kepada Bahasa Inggeris untuk menjustifikasi keengganannya menggunakan bahasa itu. Alasannya tidaklah bersandarkan falsafah rumit. Orang Inggeris pernah menjajah di rantau ini, maka bahasanya adalah bahasa milik penjajah. Itu sahaja.

Mungkin itu cara yang dia pilih untuk membuktikan pada umum bahawa jatidiri Melayunya sangat utuh. Perlu ada yang berlawanan sebagai landasan kewujudan dirinya.

Seorang teman lain menegurnya. Mengingatkan bahasa tidak kira apa pun, bukan milik siapa-siapa. Bukan milik yang datang menjajah atau yang dijajah. Perbincangan mereka tamat di situ.

Beberapa tahun selepas itu saya kembali memikirkan, apakah itu bahasa penjajah atau bahasa yang diperlukan untuk menolong keluar dari penjajahan bentuk lain?

Baru-baru ini, ada NGO tidak berpuas hati apabila sebuah gereja menggunakan Bahasa Melayu dalam promosi Muzikal Easter mereka. Dikatakan itu cubaan untuk mengajak mereka yang bukan-Kristian ke acara itu. Sudah tentu ‘bukan-Kristian’ yang dimaksudkan itu orang Melayu beragama Islam.

Dalam situasi lain yang lebih meruncing, corak tindakan yang sama boleh dilihat pada amalan aparat-aparat pemerintah. Meskipun seringkali lagaknya seolah-olah jurucakap Tuhan di muka bumi, naskhah Bible bahasa Melayu, yang kandungannya tentu sekali menceritakan ketuhanan,  lebih kuat dimusuhi dan ditekan. Berbeza halnya dengan buku yang mahu mendobrak konsep Tuhan. God Delusion dalam bahasa Inggeris, misalnya, bebas dijual tanpa berdepan tekanan.

Baru-baru ini seorang teman membangkitkan dalam tulisannya, terjemahan kepada karya Charles Darwin ke Bahasa Melayu bertajuk Asal-usul Spesies berada di dalam Senarai Penerbitan Haram Kementerian Dalam Negeri. Sedangkan naskah The Origin of Species dalam bahasa Inggeris boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai buku besar.

Banyak orang mengatakan ia berpunca daripada kelemahan Bahasa Inggeris penguatkuasa dan puak pengongkong. Sehingga lebih mudah menghidu bahan-bahan bacaan berbahasa Melayu berbanding bahasa lain. Ada pula mengatakan oleh kerana warga yang hanya mahir Bahasa Melayu semata itu majoriti, lebih untung untuk dikuasai. Entahlah.

Yang membimbangkan, amalan-amalan kongkongan perlahan-lahan menjadi tembok penjara. Meringkuk di sebalik tirai besi adalah bahasa. Kerana dengan memenjara bahasa maka terperangkaplah penuturnya.

Sudahlah usaha penterjemahan ke Bahasa Melayu di negara ini masih perlu kerja keras. Bahasa Melayu pula semakin hari dipagari dek ketakutan sesetengah puak pro-kongkongan. Malah sudah ada yang menampakkan belang mahu menuntut agar Bahasa Melayu menjadi hak eksklusif mereka. Ini bukan lagi permasalahan bahasa penjajah, tetapi bahasa terjajah.

Terjadilah ironi, apabila melaungkan betapa pentingnya Bahasa Kebangsaan dan pada masa sama menelan hakikat bahawa rugi menguasai Bahasa Melayu sahaja. Banyak pengetahuan akan terlepas daripada cerapan. Tiada nuansa dalam dunia melainkan apa yang dikehendaki puak-puak berkepentingan.

Bahasa Melayu perlu dibebaskan. Dalam keadaan ini mungkin mudah untuk mengulang bait puisi Widji Thukul, “Maka hanya ada satu kata: LAWAN!”

Persoalannya lawan yang bagaimana?

Ada pihak faham akan permasalahan ini, mahu melawan, namun dengan meninggalkan terus bahasa yang terpenjara. Malah mengejek-ejek mereka yang tersekat dengan bahasa itu. Itu bukan melawan, tetapi melarikan diri.

Kebebasan tidak diperolehi dengan memohon, tetapi direnggut dari tangan-tangan yang mencekiknya. Dalam cubaan itu, pena kini benar-benar perlu menjadi pedang. Atau tukul meruntuh tembok.