Berita

Kerajaan Selangor perlu kemukakan bukti air bekas lombong selamat

KLANG, 28 APR: DAP hari ini menyeru kerajaan Selangor supaya mengumumkan laporan kesihatan dan memperincikan kandungan kimia terlebih dahulu sebelum memindahkan air bekas lombong ke Sungai Selangor.

Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago berkata, langkah itu perlu kerana lombong yang telah lama terbiar mungkin menjadi tempat buangan bahan-bahan tercemar dan beracun, termasuk bahan radioaktif, dan sebahagian besarnya tidak diurus atau dirawat untuk tujuan pemulihan.

Menurut Charles, berikutan kenyataan Menteri Besar Selangor baru-baru ini yang menyebut bahawa air bekas lombong lebih bersih daripada air sungai dan ia diakui oleh Jabatan Kesihatan sebagai selamat untuk digunakan, beberapa pihak telah menghubungi beliau untuk menyuarakan kebimbangan mereka.

“Saya telah menerima banyak panggilan telefon daripada beberapa pihak, termasuk ahli bidang kesihatan, yang tidak yakin dengan hujah MB itu. Mereka mahu melihat sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan dan perincian kandungan kimia dalam air kolam lombong,” beritahu beliau.

Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu, penyelidikan di beberapa buah negara mendedahkan bahawa lombong terbiar mengeluarkan air yang mengandungi logam berat dan lainnya yang mencemarkan sungai serta tasik.

“Bermakna, pemindahan air lombong ke Sungai Selangor boleh membawa kepada pencemaran sungai itu. Dan yang paling penting, loji rawatan tidak mempunyai kelengkapan untuk membersihkan logam berat dan bahan beracun. Ini mampu menimbulkan krisis kesihatan yang parah,” tegas beliau.

Justeru itu, Charles meminta agar MB dan kerajaan negeri mendedahkan terlebih dahulu kepada orang ramai laporan Jabatan Kesihatan berkenaan status setiap satu kolam bekas lombong dan memperincikan kandungan kimia di dalamnya bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai.

Pada 25 April lalu, Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa penggunaan air bekas lombong selamat digunakan berdasarkan kaedah pensampelan dari Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan.

Namun, dakwaan Khalid itu dikecam beberapa pihak, termasuk Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia Prof Datuk Dr Zaini Ujang, yang menyatakan ia tidak sesuai kerana boleh menyebabkan penyakit kulit. -Roketkini.com