Rencana

Tentang “Bantah dengan Bantal” – “Superman” Dr. Hew Kuan Yau

Kalau kita mahu rejim autoritarian berundur, gerakan sivil tidak harus ikut SOP himpunan BERSIH: Berhimpun 12 tengahari, mula berarak pukul 2, tiba destinasi pukul 3, dengar ucapan pemimpin sambil mengambil foto dan bermain Facebook sementara menunggu layanan meriam air daripada FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan).

Perhimpunan selalunya bersurai aman jika polis tidak bertindak. Orang ramai balik rumah makan malam tepat pukul 6. Inilah kesudahan perhimpunan tersebut.

Bantahan sebegini terlalu lemah untuk Najib. Pihak polis juga mempunyai SOP yang sepadan, iaitu: Amaran keras diberi oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sebelum perhimpunan, perhimpunan aman dilabelkan “perhimpunan haram”, menakutkan dan menahan demonstran.

Akan tetapi, ketika hari perhimpunan, pihak polis pula tidak bertindak sementara menunggu pihak penganjur mengarahkan orang ramai bersurai. Akhirnya, polis bersurai bersama pihak penganjur.

Perhimpunan sedemikian tidak cukup untuk memberi sebarang tekanan politik terhadap Kerajaan BN, bahkan tuntutan rakyat diketepikan. Ini disebabkan garis dasar kita telah pun diketahui Kerajaan BN.

Selagi Pakatan Rakyat dan gerakan sivil tidak memberanikan diri dalam bantahan terhadap kezaliman BN, ia akan semakin melampau.

Oleh itu, saya mencadangkan himpunan bantah GST 1 Mei ini perlu bebas daripada SOP dahulu. Saya bersedia untuk memimpin melalui teladan. Dengan ini saya mengajak saudara-saudari menyertai saya melakukan Bantah dengan Bantal.

Apa yang akan kita lakukan sewaktu “Bantah dengan Bantal”?

1. Mogok Lapar

Saya akan mula berpuasa dari jam 8 pagi, 1 Mei. Tindakan tersebut akan menunjukkan semangat perjuangan tanpa menggunakan kekerasan supaya tidak difitnah oleh pihak Polis bahawa saya dituduh mencabar undang-undang melalui tindakan keganasan.

“Mogok lapar” dan “Bantal” merupakan senjata saya terhadap kezaliman BN. Saya tidak akan menggunakan kekerasan untuk melawan sebarang tindakan ganas BN terhadap saya.

Anda dipersilakan untuk ikut berpuasa menurut kekuatan fizikal masing masing (saya pernah berpuasa selama 16 hari ketika PRU-13). Anda boleh memilih untuk berpuasa selama 24 jam, ataupun 48 jam, ataupun hanya tidur bantah.

2. Bermalam di Dataran

Kesederhanaan tak bermaksud berkompromi, radikal juga tak bermakna keganasan. Saya tidak setuju dengan sebarang tindakan ganas atau keras, tetapi strategi bantahan perlulah radikal.

Bantahan saya menggunakan bantal. Maka, saya menyeru orang ramai supaya, pada 1 Mei,  bawa bantal turun dan bermalam di Dataran Merdeka.

3. Cuti kerja satu hari

Pesanan kepada semua bahawa 1 Mei ialah hari Khamis. Maka, jika anda bermalam sehingga keesokan hari iaitu hari Jumaat, 2 Mei, anda hanya perlu memohon cuti satu (1) hari.

Saya berharap, orang ramai boleh ikut jejak saya, hari seterusnya merupakan hujung minggu dan orang ramai boleh berasak-asak di sekeliling saya. Bantahan bantal orang ramai pastinya memberikan tekanan politik kepada rejim Najib.

1 Mei, marilah kita turun bantah dan bermalam di jalanraya!