Berita

Selepas perhimpunan bantah GST, rakyat ‘Bantah dengan Bantal’ pula

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Sekumpulan orang bermalam di kawasan berhampiran Dataran Merdeka malam tadi bagi meneruskan protes terhadap sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ia adalah susulan kepada Perhimpunan Bantah GST petang semalam, yang menyaksikan lebih 30,000 hadir bagi menyuarakan rasa tidak puas hati ke atas sistem cukai yang bakal dilaksanakan 1 April 2015.

Protes yang dinamakan ‘Bantah dengan Bantal’ itu diketuai Ketua Publisiti Pilihanraya DAP Hew Kuan Yau, dan dijangka akan berterusan sehingga Ahad ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Bilut Chow Yu Hui yang turut menyertai protes itu menyifatkannya sebagai langkah awal ke arah protes rakyat yang lebih berkesan.

“Ini adalah langkah awal ke arah gerakan sosial yang lebih berkesan dan radikal.

“Kini tidak cukup sekadar demonstrasi besar yang sudah banyak kali dilakukan. Kerajaan sudah tahu bagaimana untuk menanganinya, dan dalam masa sama terus menyalahgunakan kuasa,” katanya kepada Roketkini.

Justeru, beliau menggesa agar lebih ramai yang menyertai aksi tersebut, terutamanya pada hujung minggu ini.

Protes bertempat di kawasan bersebelahan lampu trafik utama menuju Dataran Merdeka dari Masjid Jamek, ekoran penutupan kawasan bersejarah itu, dengan alasan kerja-kerja penambahbaikan.

Dalam pada itu, Hew yang lebih popular dengan panggilan ‘Superman’ menyifatkan kehadiran sangat membanggakan, dan yakin akan terus bertambah pada hari berikutnya.

“Lebih 100 yang turut serta pada malam pertama, dan ini sangat penting. Kita bimbang akan ada samseng atau pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengganggu dan buat kacau.

“Tetapi dengan kehadiran yang ramai, tentulah mereka tidak akan berani,” katanya, yang turut membuat mogok lapar sepanjang protes ini.

Beliau turut memaklumkan, hari-hari seterusnya bakal diisi dengan sesi diskusi santai bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat, terutama daripada DAP, selain persembahan daripada artis popular di kalangan masyarakat Cina.

Pihak penganjur akan menyediakan makanan dan minuman kepada peserta sepanjang protes, selain sumbangan daripada orang ramai. – Roketkini.com