Rencana

GST: Membangkang kerana BN? – Fairuz Azhan

Pada Hari Buruh yang baru sahaja berlalu, lebih kurang 30,000 rakyat berbilang bangsa dan agama telah menyertai Perhimpunan Membantah GST yang berlangsung di Kuala Lumpur. Walaupun terdapat lebih banyak lagi isu yang lebih spesifik yang berkait langsung dengan hak dan hal-ehwal pekerja yang boleh diketengahkan seperti gaji minima dan sebagainya, GST merupakan ‘flavour of the day’ kerana baru sahaja diluluskan oleh kerajaan BN pada April lalu.

Perdebatan samada GST itu wajar ataupun tidak kini hanya merupakan satu soalan yang akademik kerana BN begitu tergesa-gesa untuk melaksanakannya tanpa berbincangan yang lanjut dan telah pun meluluskannya di Parlimen. Sudah semestinya dalam mana-mana perdebatan terdapat pro dan kontranya yang boleh dicari dengan mudah di internet.

Apabila saya berceramah di sekitar Perak pada musim PRU-13 yang lalu, saya telah menyatakan jaminan dan janji BN sekiranya mereka memegang tampok kuasa. Antaranya, pelaksanaan GST, harga minyak akan naik, tarif elektrik dan air akan naik, tol akan naik dan cukai syarikat telekomunikasi akan naik 6%. Satu persatu janji mereka ditepati. Tetapi BN, khususnya di Perak, lebih dahsyat, mereka ‘tambah janji’ dan mengenakan kenaikan 300% terhadap cukai tanah perindustrian.

Soal yang saya mahu kupas adalah GST dan pendekatan Pakatan Rakyat terhadapnya. Setelah mengikuti perkembangan GST ini dengan agak mendalam (dipaksa pergi ke forum-forum GST dan menemuramah ahli panel), saya mendapati 3 sebab yang nyata mengapa GST itu ditentang oleh Pakatan Rakyat. Pertama, ia tidak adil terhadap mereka yang tidak mempunyai ‘disposable income’ yang tinggi kerana apabila pengguna berbelanja untuk kos sara hidup, setiap transaksi mereka akan dikenakan cukai GST. Contohnya, seorang pekerja kolar biru mendapat gaji RM1,000 sebulan, dan mempunyai kos sara hidup sebulan sebanyak RM950. Peratusan gaji beliau yang membayar GST itu lebih tinggi daripada seorang pekerja kolar putih yang bergaji RM5,000 meskipun kos sara hidupnya adalah sekitar RM3,500. Ini berbeza dengan orang kaya yang boleh menyimpan wang.

Sebab kedua adalah Malaysia masih belum bersedia dan sebab ketiga adalah kerana BN tidak boleh dipercayai dalam pentadbiran kewangan. Oleh kerana wujudnya sebab kedua dan ketiga inilah Pakatan Rakyat harus berhati-hati dalam pendekatan mereka terhadap soal GST ini.

Hakikatnya saya fikir bahawa rakyat Malaysia yang mempunyai akal yang waras mengetahui mengapa kerajaan BN begitu terdesak untuk memotong segala macam subsidi dan melaksanakan GST ini. Mereka yang mengambil endah terhadap hal-ehwal negara akan mengetahui keadaan sebenar ekonomi negara yang mana hutang negara berada di luar kawalan dan mengalami defisit berlipat kali ganda semenjak 1998. Mereka juga akan tahu bahawa kadar hutang negara berbanding KDNK sudah hampir ke paras siling yang dibenarkan undang-undang iaitu 55% (meskipun telah dipinda 2 kali). Mengapa boleh menjadi sebegitu teruk? Lihat laporan Ketua Audit Negara setiap tahun dan kita akan mengetahui mengapa. Tambah duit lembu sana, komisyen kapal selam sini, projek kroni-kroni sini, bailout kroni sana, mana tidaknya perbendaharaan negara tidak jahanam.

Apabila perbendaharaan negara berada dalam dakwat merah, siapa yang kena bayar? Isteri pemimpin tidak akan menghentikan penggunaan jet peribadi meskipun kos satu trip RM400,000. Seri Perdana tidak akan mengurangkan bil apinya yang mencecah RM2juta setahun. Andalah yang terpaksa menanggung kerana salah tadbirnya pemimpin melalui seksa kos sara hidup di Malaysia yang disebabkan pemotongan subsidi dan cukai seperti GST.

Masalah defisit kewangan Malaysia bukan masalah BN semata-mata. Ia juga masalah Pakatan Rakyat. Andaikata Pakatan Rakyat pada suatu hari nanti mengambil tampuk pemerintahan negara, mereka juga terpaksa mewarisi defisit dan hutang negara yang teruk. Bukan sahaja mereka akan mewarisi defisit dan hutang, tetapi juga bakal mewarisi sistem percukaian GST.

Oleh kerana itu, pada pendapat saya yang kerdil ini, pendekatan untuk menangani isu GST ini harus berhemah dan berhikmah, bukan atas prejudis terhadap pemerintahan BN semata-mata. Pendekatan PR seharusnya koheren, dan bermatlamat, bukannya pendekatan retorik dan membangkang kerana BN. PR sebagai harapan Malaysia seharusnya menunjukkan kredibilti mereka dengan mengemukakan syarat seandainya BN mahu melaksanakan GST.

Antara yang boleh dijadikan syarat adalah, 1) pengurangan hutang negara sekurang-kurangnya 10% setiap tahun dan hutang jumlah defisit perbendaharaan negara dikurangkan 50% (sukar, tetapi BN kena bersihkan kesalahan mereka), 2) penghapusan monopoli (termasuk subsidi dan IPP) 3) tindakan tegas kepada sesiapa yang didapati menyeleweng dalam Laporan Ketua Audit Negara, 4) pelaksanaan gaji minima, 5) pengukuhan institusi penting PDRM, SPRM dan Badan Kehakiman, 6) pertumbuhan ekonomi yang konsisten setiap tahun. Ini antara cadangan saya yang bukan pakar ekonomi. Poin di sini adalah PR harus lebih teliti bagaimana untuk menangani isu-isu semasa supaya tidak menampar diri sendiri kelak.

Suatu hari nanti, mungkin pada 2018, mungkin pada 2023, PR berkemungkinan mentadbir negara ini dan mewarisi masalah kewangan yang teruk hasil pemerintahan BN selama berdekad-dekad dan juga akan mewarisi sistem GST ketika itu rakyat Malaysia sudah terbiasa dengannya. Apakah pada ketika itu PR akan menghapuskan GST? Apakah Malaysia akan sedia hanya apabila PR memerintah sahaja? Silap percaturan hari ini, kesannya terpalit sampai bila-bila. – Roketkini.com