Rencana

Hudud, Suvival Politik Melayu Konservatif – Haris Zuan

Artikel ini ditulis ketika Malaysia sedang hangat membicarakan cadangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk melaksanakan hukuman Hudud di negeri Kelantan yang ditadbir oleh parti Islam itu sejak lebih 20 tahun. Hudud menjadi duri dalam daging bagi Pakatan Rakyat, gabungan pembangkang di Malaysia, yang berjaya memenangi undi popular melebih 51% dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas (namun oleh kerana manipulasi pensempadanan kawasan pilihan raya, Pakatan Rakyat hanya menguasai 89 kerusi Parlimen, manakala parti pemerintah, Barisan Nasional menguasai 133 kerusi Parlimen).

Pada PRU13 yang lalu, PAS telah menjenamakan semula agenda Hudud dan Negara Islam yang diperjuangkan oleh parti itu sejak sekian lama sebagai kompromi dalam gabungan Pakatan Rakyat yang juga dianggotai oleh Democratic Action Party (DAP), sebuah parti pelbagai kaum dan memperjuangkan negara sekular serta Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga sebuah parti multi-etnik, diterajui bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga tokoh Islam moderat, Anwar Ibrahim.

PAS dalam PRU13 yang lalu telah memfokuskan kempennya untuk Negara Kebajikan dengan menekankan keperluan kepada kebajikan sosial dan hak sivil – salah satu common ground Pakatan Rakyat. Akan tetapi, berdasarkan keputusan PRU-13 yang lalu, PAS hanya memenangi 21 kerusi Parlimen, manakala DAP 38 dan PKR 30. PAS banyak kehilangan kerusi luar bandar kepada UMNO, parti politik Melayu konservatif yang merupakan parti komponen utama dalam Barisan Nasional. Secara demografi, meskipun budaya politik Malaysia kini secara keseluruhannya semakin progresif dengan penekanan hal sivil, masih ramai Melayu Islam yang tinggal di luar bandar serta berada dalam kelas ekonomi terendah, kuat dipengaruhi oleh communal politics – faham bahawa agama adalah prinsip asas sosial.

Dengan alasan ini, kelompok konservatif dalam PAS mula menekankan kembali keperluan untuk membawa isu konvensional mereka – Hudud dan Negara Islam. Hal ini ditambah pula dengan cadangan Brunei Darussalam untuk melaksanakan undang-undang Syariah sepenuhnya. Malah, UMNO, parti pemerintah yang memerintah Malaysia sejak lebih 50 tahun merdeka, turut menyokong hasrat PAS ini meskipun selama ini UMNO tidak pernah berminat untuk melaksanakan Hudud.

Sebagai rekod, Malaysia mengamalkan sistem dwi-perundangan – sivil dan Syariah. Namun, Undang-Undang Syariah di Malaysia hanya terpakai kepada orang Islam dan hanya meliputi soal perkahwinan, nikah cerai, pewarisan harta dan hal-hal berkaitan lainnya

Hudud Hanya Percaturan Survival Politik Melayu Konservatif?

Atas alasan ini, PAS mula meniupkan kembali hasrat untuk melaksanakan Hudud, bermula di Kelantan, negeri yang dikuasai PAS dengan 95% rakyatnya beragama Islam. Cadangan PAS ini telah menyebabkan DAP, rakan kongsi mereka dalam gabungan Pakatan Rakyat, berasa tidak selesa kerana Hudud tidak pernah menjadi agenda bersama Pakatan Rakyat.

Cadangan perlaksanaan Hudud ini lebih kepada percaturan politik pihak konservatif dalam PAS (dan UMNO) yang semakin tidak releven dalam persekitaran politik Malaysia yang semakin progresif dan dinamik dengan isu-isu demokrasi, hak asasi, good governance dan policy based politics.

Buktinya, ide pelaksanaan Hudud ini hanya muncul saat golongan konservatif dalam PAS dan UMNO kian terpinggir. PAS sebagai sebuah parti organik dengan jumlah keahlian paling ramai di Malaysia – meskipun UMNO mendakwa mempunyai 3 juta ahli – kini sedang mengalami transisi politik yang sangat dramatik. PAS kini bukan sahaja dapat bekerjasama dengan pemimpin bukan Islam tetapi juga berjaya menarik lebih ramai Melayu Islam progresif dan profesional ke dalam parti tersebut.

Dinamik baru dalam PAS ini membolehkan PAS mendepani banyak persoalan di luar kerangka communal politics. PAS kini lebih aktif memperjuangkan pemilikan tanah generasi kedua Felda – antara skim tanah rancangan terbesar di dunia – peningkatan kos hartanah di bandar, memperhalusi hubungan antara kaum dan pembentukan bangsa (nation building) dan sebagainya.

Sepanjang Hudud dibawa ke medan awam, dapat diperhatikan Hudud bukan dipacu oleh ideologi tetapi oleh pergelutan politik antara dua parti politik Melayu Islam paling dominan di Malaysia – PAS dan UMNO – untuk menunjukkan parti mana yang lebih Islamik.

Malah, UMNO harus lebih disangsikan kesanggupan dan keikhlasannya berkenaan Hudud kerana bukan sahaja tidak pernah membentangkan draf Hudud mereka, meskipun menyelar draf Hudud PAS sebagai tidak holistik, bahkan UMNO langsung tiada keberanian untuk membidas kelancangan parti komponen BN lain, khasnya MCA dan Gerakan yang turut menentang Hudud.

Melayu Islam di Malaysia Mahukan Hudud?

Hasrat PAS untuk membentangkan rang undang-undang di Parlimen Malaysia bagi meminda Perlembagaan Malaysia ini bukan sahaja ditentang oleh DAP dan masyarakat bukan-Islam tetapi juga oleh sebahagian masyarakat Melayu Islam di negara ini. Akan tetapi memandangkan tidak pernah ada perbincangan yang benar-benar terbuka dan telus dalam membincangkan isu Hudud ini, serta ditambah pula kawalan media massa oleh parti pemerintah, maka kritikan terhadap Hudud oleh masyarakat Melayu Islam di negara ini tidak kedengaran lantang.

Suara majoriti masyarakat Melayu sering ditenggelamkan oleh jerit pekik para ahli politik etno-nasionalis koservatif yang rakus mencari publisiti dalam media massa. Di samping itu, kerana tiada budaya wacana yang sihat, kebanyakkan yang tidak bersetuju dengan Hudud ini, agar menggunakan alasan; ‘elok bertanya yang pakar’, ‘Malaysia belum bersedia’, ‘perlu lebih kajian’, bagi mengelakkan diri daripada mengambil sikap dan dituduh cuba melawan Tuhan.

Sikap ini disokong lagi dengan dapatan kajian pendapat awam yang dikumpulkan oleh Merdeka Centre ketika musim pilihanraya sebelum ini bahawa masyarakat Malaysia termasuk Melayu Islam lebih terkesan dengan kenaikan kos sara hidup berbanding isu perkauman dan agama.
Maka salah satu kaedah untuk memahami pemahaman dan sikap masyarakat Melayu, mungkin bayangannya dapat dicermati daripada bentuk budaya popular seperti novel, filem dan fesyen.

Masyarakat Melayu Islam di negara ini, sebagaimana masyarat lainnya juga, mempunyai berbagai dimensi identiti yang berlapis dan bertindan-tindih. Meskipun secara umumnya, masyarakat Melayu kini tidak menolak perundangan Syariah atas alasan sebahagian tuntutan agama Islam, namun perlaksanaannya tidak mungkin dapat dilakukan sebagaiman di Timur Tengah kerana konteksnya yang sangat berbeza. Salah satu aspek yang penting adalah hubungan kekuasaan antara lelaki dan perempuan Melayu di negara ini jauh berbeza dengan Timur Tengah.

Sepanjang sejarah kebudayaan masyarakat Melayu terlalu banyak contoh bagaimana emansipasi perempuan itu menjadi fokus utama dalam karya seperti Hikayat Faridah Hanum (1925) karya Syed Syeikh al-Hadi dan novel Iakah Salmah? (1929) karya Ahmad Rashid Talu. Seawal sebelum Perang Dunia Ke-2 lagi, dua buah novel klasik moden Melayu yang menerima sambutan yang baik semasa diterbitkan ini telah mengangkat hak perempuan untuk menentukan masa depan dan cara hidupnya sendiri termasuk hak mendapat pendidikan dan memilih pasangan hidup.

Demikian juga dalam filem popular arahan Seniman Agung P Ramlee, seperti Madu Tiga (1964) yang bertemakan poligami dan bagaimana P Ramlee menanggapi sikap masyarakat Melayu yang tidak mudah untuk memperlekehkan wanita dalam rumah tangga serta hak wanita untuk menerima layanan yang adil. Begitu juga dalam filem arahan P Ramlee sebelumnnya, Musang Berjanggut (1959) yang memaparkan kebijaksanaan perempuan sehingga mampu memperdaya seluruh pembesar negeri, termasuk Raja.

Meskipun di Malaysia masih terdapat halangan yang bersifat struktural bagi meningkatkan penglibatan perempuan dalam politik dan bidang profesional lainnya, namun sehingga kini akses kepada pendidikan adalah sama rata. Malah, penuntut perempuan di Institut Pengajian Tinggi negara kini telah mencecah 60%.

Hudud dan Tudung?

Apa kaitan antara Hudud dan hubungan kekuasaan (power relation) antara lelaki dan perempuan? Pertamanya, dalam kebanyakkan negara yang melaksanakan Hudud, termasuk di Pakistan, masyarakatnya sangat patriaki dan terdapat banyak kritikan terhadap amalan Hudud yang menindas golongan perempuan. Dalam masyarakat yang patriaki, Hudud yang seharusnya membebaskan perempuan dan mengangkat maruah mereka telah menjadi mimpi buruk buat perempuan dan kanak-kanak. Di Malaysia, sebagaimana terbukti, perempuan Melayu Islam secara tradisinya lebih terbuka dan bebas. Pada satu sisi, ini merupakan peluang untuk PAS membuktikan Hudud tidak merendahkan perempuan, tetapi pada masa yang sama, ini juga cabaran untuk menentukan batas negara terhadap kehidupan peribadi.

Sebagai contoh, dalam soal kod etika pakaian masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini, amalan memakai tudung adalah fenomena yang berkembang sejak kebangkinan Islam tahun 1970an. Namun, tidak seperti perempuan di negara Arab yang telah ratusan – kalau bukan ribuan – tahun dikaitkan dengan jubah dan tudung hitam, perempuan Melayu Islam di Malaysia – dan juga Indonesia – lebih ekpresif dalam berfesyen.

Kini, muncul fenomena fesyen tudung yang pelbagai gaya dan ekskusif. Mudahnya, perempuan Melayu Islam Malaysia yang lebih bebas, mandiri daripada segi ekonomi mampu untuk menentukan identiti mereka dan tidak mudah ‘diikat’ dengan kod etika pakaian yang rigid. Jika, Hudud dilaksanakan, apakah perempuan Melayu akan kekal bertudung atau berhijab hitam sebagaimana perempuan Taliban?

Jelas, Hudud di Malaysia tidak mudah dilaksanakan bukan hanya kerana demografi negara ini yang berbilang bangsa dan agama tetapi juga kerana identiti politik masyarakat Melayu yang rencam serta jauh berbeza dengan pengalaman sejarah masyarakat Arab. Tanpa memahami kerencaman identiti ini, perlaksanaan Hudud di Malaysia akan kekal sebagai modal politik Melayu konservatif dan tudung tetap laris di pasaran.

Atau apakah sebenarnya PAS sedar dan maklum bahawa usaha untuk melaksanakan Hudud ini hampir mustahil, dan membawanya ke Parlimen hanya akan membolehkan PAS cuci tangan dan meletakkan kegagalan tersebut kepada mereka yang mengundi untuk menolakkannya? Semoga prasangka ini jauh dari benar. – Roketkini.com