Rencana

Reviu Buku: Tsunami Cina; Retorik atau Realiti, dedah natijah politik Cina – Hafiz Zainuddin

Kita sebenarnya, khususnya orang Melayu, tidak terasa denyut minda dan debar kalbu masyarakat Cina yang sebenar.”-A.Samad Said

Setelah memberikan taat setia tidak berbelah bagi kepada pemerintah, mereka dituduh pengkhianat pula. Sebab itu, jadi Cina susah. Susah yang bukan-bukan. Dari diburu Jepun sebelum merdeka; pasca merdeka, mereka diburu bayang-bayang penjajah. Dari cemerlang sekolah, tertolak masuk ke universiti awam – buka kedai sendiri – jadi agen insuran – buat menyara hidup sampai mati, hinggalah bersangkut hal-hal lain yang tidak enak untuk kita dengar. Begitu secara kasarnya.

Jika dihitung, diskriminasi terhadap masyarakat Cina dalam negara ini tidak sedikit malahan terpindah badinya kepada orang-orang Melayu, tidak terkecuali juga dengan yang lain. Katanya, graduan-graduan Melayu dipinggir syarikat-syarikat  yang taukeh-nya Cina. Justeru, jangan berasa hairan jika ‘Cina’ terus mendapat cemuh segelintir orang yang berasa terancam, tidak mahu mengerti makna dan bahasa negara bangsa. Malaysia.

Sudah setahun Pilihan Raya Umum ke-13 berlalu namun belum reda melakar resah masyarakat. Kalau sebelumnya masyarakat berasa khuatir kerana pilihanraya bertangguh-tangguh, selepas pilihanraya juga begitu. Cuma rasa resahnya mungkin lebih kencang. Begitu akibat lacakan media arus perdana menutup malu bila parti pemerintah yang hilang banyak kerusi, malah hilang majoriti dan tidak pula henti mencari mangsa untuk dipersalah. Maka, tidak fasal-fasal keluarlah perkataan ‘Tsunami Cina’.

Musibah ke atas BN bukan musibah negara

BN wajar menanggung musibah hilang sokongan. Saya percaya kita sudah naik jelak dan bosan dengan mainan politik semacam ini. Slogan, pelayanan dan bantuan yang mereka usahakan nampaknya tidak berhasil mendapat habuan. Banyak wang habis tetapi prestasi tidak naik-naik. Meski Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diangkat sebagai pemimpin moderat, beliau tetap gagal menjadi pemimpin bersih. Pentadbiran beliau hingga sekarang pun terus dibelenggu dengan pelbagai persoalan melibatkan kredibilitinya hingga berturut-turut ditegur dalam laporan Ketua Audit Negara gara-gara wang negara banyak yang sudah bolos.

BN juga wajar menerima musibah akibat kegagalan mereka membendung kemunculan beberapa kelompok chauvinis yang  tidak segan-silu pula bertindak sebagai hero Melayu dan Islam hingga mengundang pelbagai polemik dan mampu mengancam keharmonian serta kestabilan. Jadi, kebosanan kita terhadap tindak-tanduk BN dilempiaskan ke atas kertas undi. Malangnya, orang Malaysia mengundi tolak BN, orang Cina sahaja yang dapat nama.

Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?

Rekod terburuk BN terlakar bukan akibat sentimen perkauman dari orang Cina tetapi pertentangan kelas-kelas ekonomi dalam masyarakat. Adalah mustahil bagi PAS untuk menang kerusi parlimen di Shah Alam dan banyak kawasan Melayu lain misalnya jika pilihanraya kali ini hanya anjakan pengundi Cina. Semberono menyalahkan Cina akibat kekalahan BN adalah perkara yang tidak bertanggungjawab untuk parti yang sudah tua seperti BN. Ini kerja tidak waras.

Maka, dalam rangka wacana ini, buku “Tsunami Cina: Retorik atau Realiti” tulisan Lim Hong Siang wajar dimiliki untuk memahami dan menjawab persoalan yang timbul. Wartawan, pengamat dan penulis politik nasional yang dikenali ini secara padu, santai dan ringkas menyelongkar natijah perubahan politik masyarakat Malaysia yang boleh digambar secara dekat sebagai pertembungan kelas dan pemikiran masyarakat bandar dan luar bandar.

Selain itu ia juga memberi gambaran sebenar terhadap sentimen pengundi Cina sebagai warga yang peduli melalui beberapa temuramah tokoh-tokoh masyarakat dan analisa yang dijalankan.

Hong Siang memuatkan beberapa subjek seputar yang amat menarik untuk dikongsikan bersama seperti yang terkandung dalam tulisan ‘Apa Lagi Cina Mahu?, Impak Perubahan Politik Masyarakat Cina, Fenomena Superman, Demi Anak Mama Sanggup Lakukan Apa Saja’ dan sebagainya dengan kalam mula oleh Sasterawan Negara Pak Samad Said.

Buku terbitan Genta Media Sdn Bhd yang berharga RM15.00 ini akan dilancarkan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada 5 Mei 2014 dan boleh didapati langsung di sana atau terus ke Blok A, Tingkat 2, Wisma Wenworth, Jalan Off Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Untuk maklumat lanjut,  www.gentamedia.com Selamat menelaah! – Roketkini.com