Berita

Dakwaan Akta Hasutan ke atas Teresa mengarut

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Pendakwaan ke atas Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok Suh Sim di bawah Akta Hasutan 1948 hari ini adalah “mengarut” dan tidak sepatutnya berlaku.

“Dakwaan (terhadap Teresa) mengarut dan beliau tidak sepatutnya didakwa pun,” kata peguambelanya, Sankara Nair.

“Ia tidak boleh diterima. Jika satira politik dianggap hasutan, maka tiada lagi ruang untuk kebebasan bersuara,” ujarnya selepas sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

“Ada banyak kes seumpama ini sebelum ini dan tiada tindakan yang dikenakan. (Saya yakin) Dakwaan ini juga akan sama dengan kes-kes itu,” katanya, sambil menyifatkan pendakwaan tersebut sebagai sekadar bermotif politik.

Teresa yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta serupa, ekoran klip video satira politik Onederful Malaysia sempena Tahun Baru Cina yang lalu.

Pendakwaan itu dibuat kira-kira dua bulan selepas bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh dijatuhkan hukuman bersalah atas kesalahan yang sama.

Teresa mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mahkamah turut membacakan transkrip Bahasa Melayu kandungan video itu yang didakwa menghasut, antaranya dialog menyentuh isu keselamatan negara di Lahad Datu, kadar peningkatan jenayah di Malaysia dan ketakutan kerajaan terhadap warna kuning – simbol NGO Bersih.

Peguam Dato’ Param Cumaraswamy pula menyifatkan dakwaan itu adalah satu penghinaan kepada rakyat yang bebas berfikir, apatah lagi video itu hanyalah satira berhubung isu semasa negara.

“Ini adalah penghinaan kepada rakyat yang boleh berfikir. Video itu adalah satira, sesiapa yang menonton hanya akan ketawa. Amat malang apabila pendakwaan dibuat disebabkannya,” katanya.

Peguam ternama itu telah menawarkan diri untuk membantu Teresa kelmarin setelah mendapat khabar bahawa ahli parlimen itu akan didakwa.
Hakim Norsharidah Awang menetapkan ikat jamin sebanyak RM4000, selain menjadualkan 9 Jun untuk pengurusan kes dan 2-5 September ditetapkan sebagai tarikh bicara.

Sabit kesalahan, Teresa boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, serta mungkin hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. – Roketkini.com