Rencana

Hudud dan politik perkauman UMNO – Howard Lee Chuan How

DAPSY Perak ingin menegaskan perkara berikut; kami tidak menentang pelaksanaan hudud kerana kami menentang Islam, tetapi kami menentang pelaksanaan sesuatu dasar di luar Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, mengimplentasi hudud sebagai Enakmen Kod Jenayah Syariah Kelantan II.

Fakta bahawa pimpinan MCA pada hari ini mengambil pendirian ofensif terhadap PAS adalah bukti kukuh bahawa MCA adalah hamba suruhan UMNO dalam melaksanakan tugas untuk memecahbelahkan masyarakat dari segi kaum dan perbezaan agama.

Meskipun PAS merupakan sahabat dan sekutu DAP, kami tidak akan berlapik atau berkias dalam memperjuangkan segala prinsip kami yang utuh dan tidak mungkin tergoyah.

Kami juga menghormati hak yang sama bagi Ahli-Ahli Parlimen PAS juga untuk memperjuangkan prinsip mereka. Kesannya terhadap ikatan kita dalam sebuah perjuangan pula adalah sebuah isu yang berbeza kerana kami mempercayai pendirian mendiang Karpal Singh bahawa “tiada sahabat atau musuh yang kekal, hanya ada prinsip yang kekal.”

Kami berdiri teguh dalam menegakkan keadilan sosial, kesaksamaan sejagat dan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Kami akan terus dalam perjuangan kami meskipun berhadapan dengan keretakkan pakatan kami dengan PAS. Berpendirian merupakan sesuatu ciri yang tidak dimiliki MCA, mereka telah membuktikan sebelum ini dan pada waktu-waktu suram pada hari ini.

Sebagai sebuah sekutu kepada UMNO, MCA berada dalam kedudukan yang cukup berpengaruh untuk memadamkan isu ini buat selama-lamanya. Malangnya, apa yang didengari hanyalah keheningan yang memekakkan daripada MCA dan MIC. Mereka tidak berani berhadapan Syahidan Kassim dan Jamil Khir Baharom yang merupakan ketua penghasut dalam politik jijik yang meracun dan memecahbelahkan masyarakat ini. Kita harus ingat bahawa ‘cucukan’ mereka terhadap PAS merupakan sebuah perangkap untuk menghancurkan Pakatan Rakyat, sebuah perangkap yang begitu mudah dimasuki oleh PAS.

Kita juga harus beringat bahawa niat jahat UMNO yang memasang perangkap ini bukan sekadar untuk menghancurkan Pakatan Rakyat, tetapi juga untuk memacu politik perkauman ke tahap yang tidak boleh diperbetulkan lagi.

MCA sebagai rakan sekutu dan rakan sekongkol UMNO juga harus mengetahui hal ini. Jika mereka tidak melihat ini maka mereka adalah lebih sampah daripada yang disangka. Hakikatnya mereka sedar semua perancangan ini, tetapi terlalu pengecut dan terlalu ingin menjaga kepentingan peribadi mereka untuk bertindak. Lebih teruk lagi, mereka terus melacurkan diri mereka kepada pelanggan tetap mereka iaitu UMNO dengan telatah lucu seperti ‘sejuta tandatangan anti-hudud’, dan berterusan menghina PAS sedangkan seluar mereka sendiri terlondeh, mulut tersumbat, tidur sekatil bersama syaitan yang amat dikenali.

DAPSY Perak ingin mencadangkan yang berikut kepada MCA, maklumkan kepada UMNO bahawa seandainya kerajaan persekutuan meluluskan rang undang-undang tersebut, atau menjadi orang tengah dalam agenda tidak berperlembagaan ini, maka MCA akan berundur daripada Barisan Nasional.

Inilah masa untuk MCA menuntut kembali maruah mereka yang sedikit itu dan mengembalikan kerelevanan mereka kepada rakyat Malaysia. Tibalah masa untuk mereka meleburkan rantaian tuan mereka iaitu UMNO, yang memberikan keselesaan jawatan kepada mereka.

Muslihat UMNO dalam perancangan mereka adalah untuk meledakkan senjata utama mereka iaitu semangat asabiyah dan politik perkauman yang jelas sekali tidak berasaskan Islam.

Saya ingin berkongsi sebuah hadis sahih yang diriwayatkan Al-Sayuti di dalam Al-Jami’ al-Saghir:

“Telah bertanya seorang lelaki, wahai Rasulullah s.a.w adakah asabiyyah itu mencintai kaumnya? Sabda Nabi, tidak. Tetapi asabiyyah itu adalah seorang yang menolong kaumnya di atas kezaliman.”

“Bukan dari golongan kami sesiapa yang menyeru kepada asabiyyah dan bukan daripada kami sesiapa yang membunuh (berperang) kerana asabiyyah dan bukan dari kami sesiapa yang mati di atas dasar asabiyyah.”

* Howard Lee Chuan How adalah Setiausaha DAPSY Perak dan ADUN Pasir Pinji, Perak.