Rencana

Anjing pun tahu kasih-sayang – Tarmizi Anuwar

Membaca artikel “Bahawa ISMA tak akan menang” yang terbit dalam Roketkini sebelum ini, saya terus terfikir akan sebuah kisah yang menyentuh jiwa dan telah menjadi sejarah dunia.

Peristiwa ini sudah berlaku 79 tahun yang lalu, terselit antara Perang Dunia Pertama (28 Julai 1914 hingga 11 November 1918) dengan Perang Dunia Kedua (1 September 1939 hingga 2 September 1045). Sedang dunia melalui zaman kebencian sesama manusia dan kerakusan ingin menguasai politik dunia tiba-tiba lahir seekor anjing yang mengajar kepada manusia akan erti kasih-sayang dan kecintaan.

Hachiko dilahirkan pada tahun 10 November 1923 dan mati pada 8 Mac 1935. Setiap hari ia akan menghantar tuannya pergi ke stesen keretapi pada pagi hari dan menunggu pada sebelah petangnya untuk pulang ke rumah bersama.

Sehingga suatu hari tuannya meninggal dunia akibat serangan jantung di tempat kerja. Tidak mengetahui perkara tersebut, seperti biasa pada sebelah petang Hachiko pergi menunggu di hadapan stesen kereta api untuk pulang bersama, namun si tuan tidak muncul.

Walaupun tahu si tuan tidak pulang seperti biasa, Hachiko terus melakukan rutin hariannya sebelum ini sehingga setahun lamanya. Orang ramai di sekitar stesen keretapi Shibuya yang mengenali Hachiko tersentuh melihat sifat anjing ini. Akhir hayatnya, Hachiko dijumpai mati di stesen keretapi itu, dalam keadaan masih menunggu ‘sayangnya’.

Alangkah murni cinta Hachiko kepada tuannya.

Dalam Tafsir al-Azhar, Prof. Dr. Hamka ada menceritakan perihal seekor anjing dengan seorang lelaki untuk menjelaskan ayat ketiga surah al-Fatihah yang menyebut, “Engkau Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.” Hamka menerangkan betapa Maha Penyayangnya Tuhan sehingga kasih sayang terjalin tidak hanya pada manusia sesama manusia tetapi juga antara manusia dan haiwan:

“Maka pertalian anjing itu dengan tuannya adalah pertalian Rahmat Ilahi, yang ada dalam jiwa si tuan dan dimasukkan pula ke dalam naluri si anjing.” (Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas, jilid 1, hal. 82)

(Hamka tidak menyebut nama Hachiko. Kata tokoh itu, “Konon di satu kota di Amerika Syarikat ada sebuah kuburan kecil tidak berapa jauh dari stasiun keretapi, yaitu kuburan dari seekor anjing.” Penceritaan selepas itu mirip sekali dengan kisah Hachiko. Barangkali Hamka tersalah tempat atau barangkali dua kisah hampir sama telah terjadi di dua buah negara.)

Sayyed Hossein Nasr pula dalam The Encounter Man and Nature: The Spiritual Crisis of Modern Man (1968) menjelaskan bahawa keadaan dan kerosakan alam sekitar adalah akibat daripada kegersangan rohani kemanusiaan. Bukankah ini bermaksud wujud keharmonian cinta dan kasih-sayang antara manusia dengan alam sekitar serta bahawa kasih sayang itu tidak terhad hanya antara manusia dengan manusia atau manusia dengan haiwan tetapi meliputi keseluruhan makhluk.

Hachiko adalah seekor anjing yang berbudi dan berjiwa murni. Saya sendiri terasa kalah dengannya. Sehingga hari ini namanya disanjung dan diagungkan setara nama manusia, bahkan diuruskan ‘jenazah’nya seperti manusia.

Dua buah buku ditulis khas buat mengenang sejarah cinta Hachiko; Hachi: The Truth of The Life and Legend of the Most Famous Dog in Japan oleh Mayumi Itoh dan Empire of Dogs: Canines, Japan, and the Making of the Modern Imperial World (2011) oleh Aaron Herald Skabelund.

Juga diproduksikan dua buah filem; Hachiko Monotagari (1987) yang diarahkan oleh Seijirō Kōyama dan Hachi: A Dog’s Tale (2009) yang diarahkan oleh Lasse Hallström.

Apabila Sang Pencipta memilih manusia sebagai pemimpin di dunia maka menjadi tanggungjawab manusia untuk memelihara dan berkasih-kasihan dengan seluruh kehidupan di dunia ini. Saya percaya “li ta’arafu” yang diseru kepada manusia bukanlah untuk bermusuh-musuhan dan menanam benih kebencian.

Manusia yang memiliki sifat seperti Hachiko pasti akan lebih menjadi sebutan sepanjang zaman berbanding seekor anjing.

Manusia yang mengajak kepada kebencian dan bermusuh-musuhan pula sudah pasti martabatnya lebih rendah daripada Hachiko, kerana manusia itu sendiri adalah ‘haiwan’ yang diberikan akal.

Barangkali dalam kekalutan manusia mencari kepentingan politik dan kekuasaan, Tuhan hantarkan seekor anjing yang selama ini dipandang jijik oleh banyak umat Islam (Malaysia khususnya) sebagai pembawa berita tentang kecintaan.

Sekarang sekiranya saya diberikan pilihan untuk menjadi Hachiko atau manusia yang mengajak kepada permusuhan (walaupun dengan bersandarkan beberapa ayat dalam al-Quran), saya akan memilih untuk menjadi Hachiko. Biarlah menjadi anjing asal tidak menyemai benih kebencian sesama makhluk yang menganggap dunia dan akhirat miliknya semata-mata. – Roketkini.com