Berita

Lulus kenaikan royalti minyak Sarawak, ikut cadangan Buku Jingga

KUCHING, 8 MEI: Keputusan Kerajaan Sarawak meluluskan permohonan peningkatan royalti minyak adalah bukti Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) munasabah, kata ADUN DAP Kota Sentosa Chong Chieng Jen.

Mengulas keputusan DUN Sarawak pada 6 Mei lalu yang akhirnya meluluskan supaya kerajaan negeri menuntut kenaikan royalti minyak dari 5 peratus ke 20 peratus daripada kerajaan pusat selepas beberapa kali dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini, beliau berkata, “Kelulusan ini menepati apa yang telah sekian lama kita suarakan dan membuktikan bahawa Buku Jingga yang dilancarkan pada Disember 2010 sangat relevan.

“Walaupun usul itu dibuat oleh saya dan kemudian diambil serta dianggap berasal daripada mereka, tapi saya berasa sangat gembira apabila keadilan yang kita tuntut untuk rakyat Sarawak selama ini akhirnya didengari,” katanya kepada Roketkini.

Namun demikian, menurut Pengerusi DAP Sarawak itu, pihaknya dan seluruh jentera parti negeri akan memantau perkembangan serta proses yang akan dijalankan nanti.

Beliau juga menyokong cadangan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa agar negeri pengeluar minyak lain membuat tuntutan sama.

“Kenaikan kepada 20 peratus ini akan membawa kepada tambahan RM5 bilion untuk kerajaan negeri. Hasil yang diterima harus digunakan untuk kesejahteraan dan pembangunan negeri.

“Untuk itu, kami akan memantau perjalanan struktur perbelanjaan dana nanti berjalan secara sepatutnya dan telus supaya tidak ada sebarang penyelewengan mahupun ketirisan,” ujarnya.

Sebanyak 68 ADUN Sarawak secara sebulat suara menyokong sekaligus meluluskan usul mengenai permohonan menaikkan 20 peratus royalti minyak dan gas untuk negeri itu pada 6 Mei lalu.

Usul itu terlebih dahulu dibawa oleh Chieng Jen, sebelum dipinda dan dikemukakan oleh ADUN BN Semop Abdullah Saidol.

Sarawak sehingga kini menerima lima peratus royalti minyak dan gas iaitu kira-kira RM600 juta hingga RM900 juta setahun. – Roketkini.com