Budaya

Ulasan Filem: Perhambaan 12 tahun, perhambaan selamanya – Zikri Rahman

Lama menunggu jodoh untuk menonton filem sutradara Steve McQueen yang ketiga selepas Hunger dan Shame. Untuk seorang yang memburuh lapan jam sehari, dari jam sembilan pagi hingga enam petang, kecuali hujung minggu, sukar mencari masa yang sesuai dengan waktu tayangan filem ini.

Masa dan tarikh tayangan filem ini, jika tidak pun awal petang, langsung lewat malam. Hinggalah satu hari itu, aku yang memburuh ini (kata lainnya menghamba, ya, menghamba) demi mahu menunai pilihan menjadi manusia moden yang sempurna, berpeluang untuk menonton filem soal perhambaan ini. Ironis.

Aku seorang penonton filem yang kasual, tidaklah ketagihan, tidaklah ‘kesangapan’, tidak seperti Mario Louis Vargas, dan tidak seperti Pak Samad yang pernah aku terserempak dalam tandas pawagam GSC Mid Valley.

“Nonton filem Pak Samad?”

“Ha, ya, ya, dua filem sudah.”

Banyak juga filem, tiga atau empat, yang aku terlepas waktu wajib tayangnya. Tapi garapan Steve McQueen kali ini, Twelve Years a Slave, benar-benar menggamit aku untuk menatap filem berdurasi lebih satu jam setengah ini.

Untuk beberapa kali pula aku nonton filem tidak pernah seorang, seringkali berdua, bak kata Acha Septriasa dan skandal ‘cin-loknya’ Irwansyah satu ketika dahulu, “berdua denganmu, pasti lebih baik,” seperti Solomon dan Patsey dalam cerita ini, jika tidakpun dizahirkan dengan ungkap percintaan, cukuplah dengan dakapan keterdesakan.

Latar filem ini tahun 1841, tika angin politik anti-perhambaan sepoi-sepoi, tidak kencang. Sepoi-sepoi angin gerakan abolisionist ini kerana apa? Nah, itu yang kita akan persoalkan.

Sesungguhnya perhambaan itu masih berjalan – jenguk kilang eletronik di China, yang memilih untuk putus nyawa terjun tingkat sembilan bukan sedikit; di balik puing runtuhan kilang fabrik di Bangladesh; petani di India yang menghirup racun rumpai akibat terhimpit hutang dipaksa beli benih Monsanto; kuli Nepal memburuh di Qatar untuk sebuah tempat duduk paling murah sewaktu perlawanan akhir piala dunia yang harganya melebihi gaji bertahun kudrat.

Ah, perhambaan itu bukan sahaja berjalan, tampaknya ia berlari deras memacu apa yang kita sorak-sorai raikan – ketamadunan.

Masokis-nya sejarah

Orang kata, Steve McQueen ini sadist-masochist dengan realisme sosial anutannya, mencatat nyata visual setiap akar parut tercela. Dikatakan, untuk filem awalnya yang memperihalkan Bobby Sands dan IRA, dia biarkan pelakonnya keding dan kebulur malnutrisi dan dehidrasi, terhindar dari keperluan asasi, untuk menyelami perwatakan dan jalan ceritanya.

Dalam pada itu, watak manusia dalam 12 Years A Slave yang diasingkan dari sisi kemanusiaan, dapat tidak dapat, menyerlah sisi kebinatangannya. Begitulah juga sebaliknya.

Jika benar Steve McQueen ini sadis maha masokis, syukur, sekurangnya-kurangnya beliau tidak seperti kita yang hidup dalam kebanalan ini.

Sejarah bertamadun, tamadun bersejarah – dua sisi yang gerak seiring, paradoks asing-asing. Setiap tamadun itu mencipta sejarah masing-masing, tetapi untuk melihat sejarah, apakah ia bertamadun, itu soal lain.

Penilaian sejarah itu sendiri berkaca dari sebuah cermin yang membias kita pada hari ini – jika mahu melihat molek, moleklah. Tetapi apakah kita sudi melihat cermin sejarah dari yang serpih, jika tidakpun retak seribu ini?

Dan dalam realiti filem ini, kita melihat sejarah dari serpih cermin sejarah, kita mengakui bahawa perkauman diinstitusikan, diskriminasi terpimpin, dan penindasan berkala itu wujud dan, pada itu, sejarah sudah nekad, Solomon sudah mencatat.

Dalam 12 Years A Slave ini ada babak di mana Northup bergaduh dengan penjaga hamba abdinya, yang pada mulanya, dengan kudrat yang adil, Northup langsung menewaskan penjaga hambanya itu yang kemudiannya, keesokannya datang semula kepada Northup dengan senapang membelasah tanpa ihsan dan menyangkut batang leher Northup ke dahan pokok itu.

Apakah kita akan lupa deru nafas mengeruh Northup yang terinjak-injak ibu jari kakinya mahu bertapak di atas tanah becak itu? Dalam suasana ini bersinar pancar kebanalan dan kebejatan bagaimana masyarakat yang diperhambakan itu meneruskan kelangsungan hidup tanpa maruah dan harga diri.

Apakah sepenuhnya suasana ini terbeban hanya kepada masyarakat yang diperhambakan itu, yang diperhambakan dari segenap kulit derianya dari budaya hinggakan kepada kehidupan beragama yang acuan anutnya itu dimaknai dalam hubungan tragis subjek-objek, Tuan-Hamba, semata-mata?

Pengakuan diri

Kekuatan Northup mungkin termaktub dalam kata kata novelis dari Kenya, Ngungi Wa Thiongo ini,

“Pengakuan tentang masa silam adalah tapak pengukuh untuk masa ketika dan jendela untuk masa mendepan.”

Northup yang awalnya seorang hamba yang merdeka kemudiannya diperdaya di Washington, dijual dan diseludup ke negeri Louisana yang ketika itu masih mengamalkan perhambaan.

Northup mengakui dirinya seorang yang sudah merdeka, tidak lagi terikat kepada rantai perhambaan seperti masa silamnya dan Northup keras dengan kenyataannya itu – dia sudah merdeka dan bukan hamba lagi. Oleh itu, masa silamnya itu yang menjadikannya sekurang-kurangnya tabah untuk seketika, untuk belasan tahun dan untuk masa depannya.

Tetapi keberanian untuk memperakui sejarah silam bukan kerja mudah. Awal-awal lagi adegan Northup dibogelkan dan belikat badannya dipiat-piat dengan cemeti dan apa saja yang tercapai dek pemenjaranya itu. Northup dihambur dengan ratib cacian, “Kau hamba, kau hamba, kau hamba tidak terdaya!” dan gemanya berulang ulang dalam cerita ini dalam beberapa adegan filem ini.

Dan sejarah juga tidak segan-silu mengajar kita satu perkara: proses dominasi mudah sekali berlaku, khususnya dalam sebuah sistem yang menganjurkan pemerasan dan ugutan sistematik melalui kebudayaan, agama dan kesenian, contohnya dengan nilai fatalisme.

Pengalaman menguliti buku-buku sejarah, khususnya dalam kerangka genre “sejarah rakyat” yang seringkali memberi satu sudut pandang insani dalam menilai bagaimana sejarah, yang utamanya bagaimana sejarah itu sendiri dicatat. Dalam 12 Years A Slave ini, jerih-perih mencatat sejarahnya itu sendiri adalah sebuah cerita yang panjang dan merimaskan.

Umum mengetahui penulisan sejarah ini adalah gelanggang penafsiran yang menjadi rebut-rebutan. Sudut pandang sejarah seorang hamba pasti berbeza dengan tuannya. Bahkan alat tulisnya itu sendiri berbeza, apatah lagi atas apa catatannya itu dicatat. Bagi Northup, alat tulisnya itu adalah kalam kayu yang diracik, air renehan beri hitam sebagai dakwat dan kertas yang dicuri dari tuannya.

Solomon Northup. Itu namanya ketika “merdeka” yang kemudiannya ditukar kepada nama panggilan abdinya, Platt. Ini salah satu caranya bagaimana pemerasan identiti secara emosi berlangsung, bermula dengan penafian terhadap identiti mereka sendiri.

Dalam karya Howard Zinn, The People’s History Of The United States, diajukan bagaimana sistem kapitalisme ketika itu menjalankan apa yang dipanggil sebagai “accumulation through dispossession,” dan penjarahan ini tidak terhad hanya kepada material, ia berlanjutan hingga ke sisi sisi peribadi identiti sesebuah masyarakat yang dijarah.

‘Kelabu’ sebuah perhubungan

Keserakahan kapitalisme kolonial ini dimanifestasi oleh tuan-tuan pemodal dalam adegan filem ini di mana waktu usai memburuh di ladang kapas, para buruh beratur untuk dinilai keberhasilan pekerjaan sehari-hari dengan menimbang berat kapas yang dipungut mereka. Buruh yang tidak lepas KPI, akhirnya disebat cemeti biar melecet luka sebadan.

Serakah itu masih berjalan dalam apa yang dipanggil ekonomi pasar bebas hari ini yang dari sok sek sok sek yang pernah aku dengar, di mana ada pasar bebas, wujudlah masyarakat bebas. Bebas menjarah, ya!

Apa yang terjadi, definisi “malas” dari sudut pandang sejarahwan jalur orientalis ini turut terpalit hingga ke dunia sebelah kita ini. Meminjam ulas kata Usman Awang,

“Bagi penjajah mudah saja, malas. Orang-orang kampung dan petani itu malas. Sebab itu mereka tidak maju, miskin dan susah hidupnya. Malaskah rakyat yang sejak Subuh sehingga Maghrib bertungkus-lumus di pangkal pohon getah, di ladang, di sawah, di lautan, di sungai, di bukit, di mana saja alam dan daerah…..Malaskah rakyat yang tidak dapat memajukan dirinya dalam sistem masyarakat yang mengizinkan penindasan, yang menghalalkan pemerasan tenaga oleh golongan terhadap golongan lain, oleh manusia ke atas manusia lain?”

Menilai filem ini dan menelusuri babad sejarah perhambaan ini meninggalkan kita dengan perkara utama seperti yang dikatakan oleh Albert Memmi dalam makalahnya, “The Colonizer And The Colonized, A Destructive Relationship” bahawa dalam sesebuah penjajahan (baca: perhambaan), terdapat tiga entiti utama, iaitu kolonial, penduduk jajahan dan penjajah.

Dalam filem ini, hubungan ini diertikan dalam kerangka hubungan ladang kapas tempat Northup memburuh, di mana kolonial itu adalah tempat jajahan di mana tanah asal warga peribumi yang diusir, penduduk jajahan di mana ‘warga’-nya dieksploitasi untuk kepentingan dan akhirnya penjajah yang mewakili kaum pemodal pemilik ladang.

Secara kasar, tulisan Albert Memmi ini membawa tema bagaimana hubungan di antara penjajah (baca: tuan) dan yang dijajah (baca: hamba) itu saling meruntuhkan,

He finds himself on one side of a scale, the other side of which bears the colonized man. If his living standards are high, it is because those of the colonized are low; if he can be benefit from plentiful and undemanding labor and servants, it is because the colonized can be exploited at will and not be protected by the laws of the colony; if he can easily obtain administrative positions, it is because they are reserved for him and the colonized are excluded from them; the more freely he breathes, the more the colonized are chocked.”

dan,

He is part of the group of colonizers whose values are sovereign. The colony follows the cadence of his traditional holidays, even religious holidays, and not those of inhabitants. The weekly day of rest is that of his native country; it is his nation’s flag which flies over the monuments, his mother tounge which permits social communication. Even his dress, his accent and his manners are eventually imitated by the colonized…

Segala macam perlambangan, dari cara berfesyen hingga ke runut bunyi tarian dalam filem 12 Years A Slave ini mencerminkan pembinaan hubungan yang kemudiannya diruntuhkan kontradiksi serta keambivalenan hubungan manusia dalam dunia ‘kelabu’ ini.

Hubungan ini boleh terlihat dalam watak Brad Pitt sebagai Samuel Bass – dalam filem ini berlakon menjadi tukang kayu – yang secara persuasif mengangkat nilai keadilan serta kesejagatan dan menunjukkan sikap kesian kepada sistem perhambaan. Sikap ini ditunjukkan dalam dialog “bisik-bisik” antara Northup dan Bass perihal logik perhambaan, tetapi ia tetap sekadar cakap-cakap kosong yang akhirnya hilang di angin yang lalu…

Northup, jika dinilai secara kasar, mengambil langkah orang bijak – pragmatik dan kalkulatif dalam merangka kebebasan untuk dirinya. Bahkan, jika diukur sikapnya ini, Northup bahkan dilihat polemikal dan dari satu pandangan, terasing. Sikap antihero yang sangat manusiawi; kebebasan baginya (dalam filem ini sekurang kurangnya) hanyalah untuk dirinya, belum lagi untuk orang lain.

Lihat bagaimana ketika Northup mendapat surat “kemerdekaannya” itu, watak Northup dilihat kaku dengan tidak meninggalkan cebisan pengharapan kebebasan pun buat Patsey, malahan watak Northup segera menggonggong memeluk ‘Tuan’-nya yang datang itu.

Melihat metafora besar dari perwatakan dan adegan saat akhir Northup ini, adalah persis watak seorang reformis politik yang tahu sistem politik yang direbutnya sudah berulang-ulang menipu, malahan menyeksanya, tetap akur dan setia tanpa ada nilai yang lebih progresif dalam menggeluti apa yang diertikan kebebasan.

Mungkin ada benarnya filem ini sengaja menunjukkan sisi seorang Northup yang ‘reformis’ semata untuk akhirnya membenarkan apa yang Last Poet pom pang pom pang sedari awal lagi bahawa “Niggers Are Scared Of Revolution!”

Kita yang tertindas ini pengecut jika mendengar sorai revolusi!